Friday, May 4, 2012

SPR TIDAK AKAN LAYAN LAGI BERSIH3 - WAN AHMAD

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
SUDAH tiga memorandum diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya sejak Isnin lepas. Satu daripada sebuah NGO yang menggelarkan diri 'Jingga 13'.

Dakwa NGO itu, disebabkan kegagalan SPR untuk memastikan ketelusan daftar pemilihlah telah membawa perusuh ke jalanan. Kata NGO itu lagi, SPR mesti bertanggungjawab kepada penganjuran demo duduk/bantah yang kemudian menjadi ganas dekat Dataran Merdeka tempoh hari.

Tidak lama selepas itu, selang beberapa minit hari sama, satu lagi memorandum diterima oleh pegawai SPR. Kali ini daripada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. Kenyataan Mohamad atau nama 'glamour'nya Mat Sabu lagi 'sadis'.

Pas menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR masing-masing dipegang oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan. Sebabnya, dakwa Mat Sabu, kedua-dua orang kuat SPR ini adalah ahli UMNO.

Cuma kelmarin kedatangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ke SPR, nadanya agak berbeza.

Kepada SPR, disampaikan memorandum yang mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mendesak Abdul Aziz meletak jawatan kerana Pengerusi SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Memang benar Pengerusi SPR dilantik oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Majlis Raja-Raja.

Pelantikan itu bukan atas nasihat Perdana Menteri. Sebab itu apabila Mat Sabu atau dalam kalangan pesaingnya dipanggil 'Mat tak sabar-sabar' ini mendesak Abdul Aziz meletak jawatan, maka ia ibarat memperlekehkan institusi raja- raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan semua tujuh anggota panel SPR adalah atas perkenan Agong.

Sebenarnya, majoriti rakyat Malaysia maklum bahawa agenda Bersih 3.0 ini bukan untuk pilihan raya. Bersih 3.0 sekadar satu slogan yang dipakai untuk meneruskan gerakan merosakkan kestabilan dan nama baik negara.

"Ya, Bersih 3.0 ini adalah slogan di sebalik tuntutan penambahbaikan pilihan raya.

"Tindak-tanduk anggota kumpulan ini tidak secocok dengan perkataan-perkataan dan permintaan yang ingin didesak. Segala retoriknya tidak sepadan dengan tindak- tanduk," demikian komen Wan Ahmad kepada Utusan Malaysia.

Bagi Wan Ahmad, sudah terang lagi bersuluh. Dua kali 'Bersih' diadakan, maka setiap kali itulah keganasan berlaku. Ia cuba seboleh-bolehnya menggambarkan dan menguar-uarkan imej buruk negara kepada pihak antarabangsa. Dan kalau boleh mahu mencetuskan suasana tegang secara terbuka.

"Ia permainan retorik oleh perusuh-perusuh yang kalah di medan demokrasi," kata beliau.

Dalam soal ini, Wan Ahmad mengingatkan semua pihak supaya tidak perlu takut kepada proses pilihan raya dengan pergi ke jalanan pula.

Kata beliau: "Sebenarnya Malaysia adalah pendukung kuat sistem demokrasi dengan menjadikan rakyat kuasa penentu di peti-peti undi."

"Ambiga dan kumpulan perusuhnya tidak ada locus standi, ditambah pula lagi Bersih 3.0 itu 'pertubuhan' haram. Stakeholder sekarang adalah Parlimen.

"Kerana itu mulai saat ini, SPR akan hanya berhubung dan mengambil serius proses-proses penambahbaik pilihan raya hanya melalui Parlimen," katanya.

Baik SPR menerusi kenyataan Wan Ahmad atau sesiapa sahaja daripada angggota panelnya, suruhanjaya itu telah berbuat apa sahaja untuk melihat sistem demokrasi negara terus terpulihara melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

Nak dakwat dicalit ke kuku, diberi dakwat; nak pembaharuan di undi pos, sudah pun diberi dan diminta menjemput MIMOS Berhad untuk mengemas kini daftar pemilih, pun telah dilakukan.

Namun apabila diteliti dan disemak kembali, rupa-rupanya bukan itu kemahuan sebenar pembangkang dan Bersih 3.0. Dan belum pun sempat Parlimen meluluskan 22 perkara termasuk laporan awal 10 perkara berkenaan, keesokannya terus diumumkan perancangan penganjuran demonstrasi tersebut.

Sebelum Wan Ahmad mengakhiri temu bual menerusi telefon pada awal pagi Ahad lepas, beliau ingin penulis menitipkan coretannya ini: "Ambiga seperti mana aktivis lain di seluruh dunia hanyalah sekadar perosak demokrasi. Saya sudah berpengalaman tinjau negara-negara lain.

"Saya pernah tinggal di Amerika Syarikat dan melihat bagaimana segelintir aktivis seperti Ambiga ini yang cuba menghuru-harakan negara berkenaan.

"Memang ada sesetengah sentimen di Barat iaitu apabila sesebuah parti itu berkuasa terlalu lama, maka parti itu dianggap telah mengekalkan kuasa dengan cara yang tidak betul. Dan demikianlah juga tanggapan sesetengah pihak di Barat terhadap Barisan Nasional (BN).

"Padahal kalau dikaji dari segi sejarah, kita membangun dari sebuah negara mundur menerusi hasil demokrasi yang luhur ke tahap sekarang.

Namun pemerhati dari luar ini termasuk si Ambiga tidak nampak atau sengaja buat-buat tak tahu perkara ini.

"Justeru, SPR berpendirian selepas ini, kita akan teruskan dengan urusan kerja kita dan komited untuk patuh kepada Parlimen yang telah meluluskan cadangan 22 perkara tempoh hari.

"Kita tidak berurusan lagi dengan perosak demokrasi."- Utusan

2 comments:

  1. hermmm....macam mana nak cakap ni..AKU NAK CAKAP YANG AKU TAK YAKIN DENGAN BERSIH SEBAB SEMUA AHLI KOMITEE BERSIH ADALAH AHLI PARTI RAKATAN PEMBANGKANG ATAU PUN NGO YANG TAK BERDAFATAR DAN INDIVIDU YANG SENTIASA TIDAK BERSETUJU DENGAN KERAJAAN.

    boleh tak ambiga, samad said dan semua komitee letak jawatan dan bagi kepada mereka yang bebas...

    BERANI TAK!!!!

    ReplyDelete
  2. Bersih4.0, here we come...

    ReplyDelete