Sejauh mana warlord UMNO Kedah boleh berkorban demi mengembalikan Kedah ke pangkuan BN?
Sehingga kini belum kelihatan "kesukarelaan" di kalangan Ketua-Ketua Bahagian yang kalah di dalam PRU yang lalu membuat pengistiharan untuk memberi laluan kepada muka-muka baru untuk diketengahkan pada PRU13 ini.
Begitu juga dengan calon-calon BN lain yang kalah. Malah ada calon UMNO yang kalah diwaktu kekuatan BN paling ampuh pada PRU2004 pun masih tidak menunjukkan kesukarelaan mereka untuk memberi laluan kepada muka baru. Ada di kalangan mereka yang kalah di PRU2004 ini juga Ketua Bahagian, tapi tidak terdapat langsung tanda-tanda bahawa mereka akan berundur.
Struktur kepimpinan UMNO Kedah agak unik, tetapi ianya merupakan keunikan yang membayangkan bahawa tidak wujud langsung sikap untuk melebihkan parti dari kepentingan peribadi.
Apa yang boleh kita fahami di sini? Ketua Perhubungan diserahkan kepada Dato Ahmad Basha dan Timbalan diserahkan kepada Dato Mukhriz, tetapi Jabatan Pembangunan Persekutuan diserahkan kepada Dato Johari Baharom, manakala Ketua Pembangkang diserahkan kepada Mahathir Khalid?
Susunan dan pembahagian kuasa seperti ini hanya akan menyuburkan sistem warlord di dalam hiraki kepimpinan UMNO Kedah. Pembinaan empayar pengaruh lebih tertumpu kepada pembinaan pengaruh individu. Ia tidak akan memberi kekuatan atau kelebihan kepada parti, melainkan jika sumber kuasa yang dipegang oleh mereka-mereka ini digunakan semata-mata untuk memperkuatkan parti. Hakikatnya, keikhlasan sebegini jauh panggang dari api.
Decentralisation of power seperti ini tidak mungkin boleh membawa keuntungan kepada parti, sebaliknya faktor inilah yang menjadi tembok penghalang terbesar dalam proses membina perpaduan di kalangan pemimpin di Kedah.
Decentralisation of power sebegini hanya indah pada rupa yang zahir tetapi batinnya penuh dengan persaingan membina pengaruh peribadi.
Hakikatnya decentralisation of power sebegini tidak relevan di dalam sistem atau organisasi yang dipenuhi oleh kalangan pemimpin yang hanya tahu dan mahu terus berkuasa tanpa memikirkan nasib organisasi yang dipimpinnya. Ia hanya relevan di zaman sahabat nabi yang penuh dengan sifat taqwa dan takut serta bertolak-tolakan apabila diberi jawatan atau amanah.
Mentaliti pemimpin hari ini lebih ramai yang beranggapan sesuatu jawatan yang diberi itu sebagai satu privilege dan bukan sebagai satu tanggungjawab.
Apa yang kelihatan berlaku di Kedah, jawatan yang dipegang oleh para warlord ini tidak nampak pun telah membantu kepada peningkatan pengaruh parti.
Akhirnya, realiti sebenar yang berlaku ialah, UMNO Kedah terpaksa juga menumpang syafaat Tun Mahthir untuk mengambilalih Kedah dari tangan PAS. Akhirnya, Mukhriz juga yang dijadikan umpama orang tebusan untuk menebus maruah UMNO di Kedah.
Apakah Senario yang disusun ini adil dan patut? Senjata parang, pistol dan keris diberi kepada warlord-warlord ini tetapi yang dihantar beradu tenaga di tengah gelanggang, orang lain yang hanya bersenjatakan tulang empat kerat. Senjata yang diberi kepada mereka hanya disisp dipinggang dan digunakan andainya ada musuh yang cuba datang dekat untuk melindungi diri sendiri.
Hari ini telah ditiup nafiri seantero negara bahawa Mukhriz akan dijadikan MB Kedah, konon seluruh rakyat jelata akan berbondong-bondong balik ke pangkuan UMNO, jika Mukhriz dibawa pulang untuk mencurahkan bakti di bumi Kedah.
Siapakah yang memainkan tiupan nafiri kesyirikan ini yang punya keyakinan, "jika Mukhriz balik memimpin Kedah, UMNO pasti akan menang"?
Apakah Kedah boleh dirampas hanya dengan fahaman "taklid buta" dengan menumpang (memperkudakan) syafaat orang lain untuk menawan Kedah tanpa mereka berusaha untuk berubah sikap dan berkorban demi parti?
Warlord-warlord Kedah ini, hakikatnya sedang mencari jalan untuk terus berada dipersada kuasa, jika BN kembali memerintah Kedah, dengan cara berselindung di sebalik lembaga besar yang pada perhitungannya boleh dijadikan alat untuk merampas Kedah, disamping melindungi diri mereka dari menerima bahana kekalahan yang bertali-arus.
Jika perhitungan ini berjaya mengembalikan Kedah ke tangan BN, alhamdulillah, syukur kepada tuhan. Tetapi jika Kedah masih gagal ditawan, tiada siapa yang bakal menerima bahana yangblebih besar selain dari Mukhriz dan Tun Mahathir.
Di waktu itu, ulangan keji nista terhadap Tun M mungkin akan berulang, dan Mukhriz pula mungkin akan menggantikan Mahathir Khalid sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kedah.
Sehubungan dengan pandangan yang berterus-terang dan realis ini, adalah diharapkan pucuk pimpinan mengambil pertimbangan dan perhatian yang sewajarnya untuk menilai secara holistik kedudukan UMNO Kedah agar tidak berlaku silap perhitungan di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment