Tuesday, December 4, 2012

ANTARA SUMPAH NAJIB DAN DOA AZAB PAS UNTUK UMNO....

Sumpah saf kepimpinan tertinggi, MKT 2009-2012;

"Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam".

Sumpah seluruh saf kepimpinan dan perwakilan 2012;

"Marilah kita bersama-sama dalam dewan ini bersumpah dan berikrar dengan nama Allah, selagi darah masih mengalir, selagi hayat dikandung badan, agama suci Islam pasti kita daulatkan. Bangsa Melayu pasti kita perjuangkan, rakyat Malaysia pasti kita makmurkan, negara tercinta pasti kita pertahankan".

Siapakah yang berkesanggupan, berani, tegas dan bersedia mengharung cabaran dan risiko amanah dan tanggungjawab kepimpinan selain dari "ungkapan ikrar dan sumpah dengan nama Allah" seperti mana yang telah dilafazkan oleh YAB DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK?

Selaku Presiden UMNO, DS Najib sudah pun melafazkan ikrar dan sumpah dengan nama Allah. Sumpah dan ikrar DS Najib juga turut mewakili seluruh saf kepimpinan. DS Najib berserta seluruh perwakilan dan saf kepimpinan UMNO bahagian juga turut melafazkan "ikrar dan sumpah bersama di atas nama Allah" untuk terus mempertahankan dan mendaulatkan kesucian agama Islam, bangsa melayu dan kemakmuran seluruh rakyat serta mempertahankan tanah air.

Dengan sumpah dan ikrar yang dilafazkan dengan nama Allah dan disaksikan oleh berjuta rakyat Malaysia di kaca-kaca TV, membayangkan bahawa UMNO dan seluruh kepimpinannya telah bersedia memberi sepenuh komitmen untuk terus menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah, ikhlas dan jujur, demi agama, demi bangsa dan demi negara.

Tiada ikrar dan tiada sumpah yang lebih berat selain dari sumpah dan ikrar sepertimana yang telah dilafazkan. 

Hanya 2 implikasi yang bakal berlaku dari persumpahan dan ikrar yang telah dilafazkan oleh seluruh saf kepimpinan ini.

1. Apabila amanah dan tanggungjawab ini ditunaikan, tiada natijah selain dari kejayaan yang bakal diperolehi kepada pihak yang melafazkannya, dan juga kepada seluruh rakyat yang bernaung dibawah kepimpinannya.
2. Apabila amanah dan tanggungjawab ini gagal ditunaikan, tiada natijah lain selain dari kemusnahan dan musibah kepada pihak yang melafazkannya. Rakyat yang bernaung mungkin turut menerima musibah dan mungkin tidak. Ia terpulang sepenuhnya kepada Allah.

Dengan sumpah dan ikrar yang telah dilafazkan, rakyat tidak harus lagi merasa ragu dan harus memberi peluang sepenuhnya kepada BN dan UMNO untuk terus memimpin negara ini. 

Tiada apa lagi yang harus dibimbangi oleh seluruh rakyat kerana dengan sumpah dan ikrar di atas nama Allah, bermakna masa depan seluruh rakyat dan negara bakal dijamin sepenuhnya oleh Allah swt melalui "cagaran" berbentuk "sumpah dan ikrar" seperti yang telah dilafazkan oleh seluruh saf kepimpinan UMNO dalam perhimpunan agung yang baru lalu.

Kehancuran "bakal mengenai" pundak sesiapa saja dari kalangan saf kepimpinan samada yang berada di atas pentas mahupun yang berada di bawah, di dalam Dewan Merdeka, jika mereka mengingkari atau pun lari dari amanah dan tanggungjawab yang telah disumpahkan oleh mereka sendiri.

Sesungguhnya sumpah dan ikrar yang telah dilafazkan amat berat dan diri mereka akan "tercagar" dengan sendirinya sebaik saja mereka melafazkannya di atas nama Allah tuhan semesta alam.

Sudah pasti DS Najib secara peribadi amat maklum dan faham dengan apa yang telah dilafazkannya. Sudah pasti beliau bersedia menerima dan menghadapi segala risiko dan kemungkinan implikasi dari persumpahan yang telah diikrarkan.

Ia membayangkan kesediaan, azam dan iltizam untuk berbakti dan berkhidmat kepada agama, bangsa, rakyat dan negara dengan sepenuh komitmen dan kudrat yang ada dengan penuh keyakinan, keikhlasan dan kejujuran kepada diri selaku penguasa di bumi dan juga kepada Allah Yang Maha Kuasa, selaku penguasa mutlak kepada seluruh penguasa di mukabumi.

Untuk peringatan kepada seluruh yang berada di dalam Dewan Merdeka yang telah pun melakukan "baiah" berupa "sumpah dan ikrar" dengan nama Allah, saudara dan saudari pada hakikatnya sudah terikat dengan sebuah perjanjian yang sempurna dengan persaksian oleh seluruh rakyat jelata. Perjanjian tersebut sudah ikat-mengikat (binding). Sebarang pelanggaran atau perlakuan yang menjurus kepada "breach of cantract" di antara kamu dengan Allah, pasti akan mendatangkan musibah dan malapetaka secara peribadi kepada kamu, samada di dunia, di akhirat ataupun di kedua-duanya.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, berilah kepercayaan dan keyakinan kepada perjanjian (baiah) yang telah mereka lafazkan kerana mereka telah pun "bersedia mencagarkan diri" mereka sendiri untuk menerima sebarang risiko atau sebarang kemungkinan buruk jika andainya mereka gagal menunaikan janji atau pun gagal mengikat diri mereka terhadap apa yang telah dilafazkan.

Allah tidak pernah mungkir dengan segala yang dijanjikanNya samada di dalam kitab mahupun melalui RasulNya saw.

Sehubungan dengan ini, tugas kita sebagai rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan mereka, juga berkewajiban untuk berpegang kepada  perjanjian yang telah mereka lafazkan dengan cara memberi mereka kepercayaan untuk menggalas amanah dan tanggungjawab mentadbir dan memerintah negara ini secara adil dan saksama dalam menjaga dan mendaulatkan kesucian agama, bangsa dan seluruh rakyat serta negara.

Surah Al-Imran ayat 26;
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

No comments:

Post a Comment