Thursday, March 14, 2013

ANWAR: KENAPA HISHAMMUDIN/ZAHID LETAK ANGGOTA DIREBAN AYAM!!!

Ada hikmah tersembunyi yang wajar difikir dan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia di sebalik pencerobohan asing di Lahad Datu.

Jika tidak kerana pencerobohan asing ini, kita tidak akan dapat melihat dengan jelas "pendirian" dan "sejauh mana nilai patriotik" yang wujud di kalangan para pemimpin pembangkang.

Jika tidak kerana pencerobohan ini, usaha menghina dan merendah-rendahkan pihak PDRM terus-terusan dilakukan oleh pembangkang bagi menggambarkan institusi PDRM itu hanyalah bertugas untuk menjadi "anjing kerajaan".  

Penjenayah cuba dipertahankan, sebaliknya pihak polis pula cuba digambarkan sebagai pihak yang bersalah. Tugasan dan amanah PDRM, semua manusia tahu adalah untuk menjaga dan mengawal keselamatan negara dan rakyat, tetapi pembangkang cuba memberi gambaran  PDRM sebagai institusi yang sudah rosak dan hanya berfungsi untuk menyelamatkan sebuah kerajaan yang korup dan zalim. 

Jika tidak kerana peristiwa pencerobohan asing ini, sistem pertahanan negara akan terus dijadikan bahan untuk dipolitikkan oleh pembangkang untuk mereka mengalihkan kefahaman rakyat yang "betul" terhadap amanah dan tanggungjawab sesebuah pasukan keselamatan kepada pandangan salah dan syak wasangka yang berbau politik.

Rahsia pertahanan negara sentiasa dijadikan pertikaian di pentas ceramah. Malah sistem keselamatan pertahanan dan persenjataan negara turut dijadikan perdebatan umum, walaupun ia bertaraf "rahsia besar".

Setiap rancangan kerajaan untuk membangunkan dan memodenkan sistem pertahanan negara juga akan dipandang sinis oleh pihak pembangkang. Mereka sentiasa "tidak setuju" setiap langkah dan pandangan jauh kerajaan dalam memodenkan ATM dengan memberi gambaran bahawa "semua ini adalah projek untuk pemimpin kerajaan mencari rasuah dan komisyen". Terlalu busuk pandangan mereka.

Bila Kementerian Pertahanan membuat "perolehan kerajaan" untuk membeli dan meningkatkan taraf peralatan ketenteraan negara, pembangkang hanya akan mempertikaikan dari sudut "komersial", siapa di belakang pembelian besar ini dan kenapa tawaran diberi kepada syarikat A dan tidak B. 

Kenapa terlalu mahal. Tidakkah ini pembaziran. Kenapa mesti beli dengan negara A, tidak negara B dan kenapa pakai teknologi C dan tidak teknologi D. Kenapa, kenapa, kenapa dan kenapa akan terus dibangkitkan oleh pembangkang. Tujuan mereka membangkitkan semua isu ini "bukan kerana prihatin, sayang atau patriotik kepada negara", tetapi tidak lebih, hanyalah untuk mempolitikkan setiap isu tanpa mengenal batas dan sempadan.

Mereka bukan tidak faham, tapi sengaja. Kaedah pembelian dan peningkatan taraf sistem pertahanan negara mana-mana negara pun tidak akan dilakukan mengikut proses seperti lain-lain tender terbuka, malah sesetengah negara tidak akan mendedahkan sama sekali apa juga "maklumat yang berkait" dengan sistem keselamatan dan pertahanan negara mereka. 

Ada yang rakyat perlu tahu dan ada yang rakyat tidak perlu tahu. Ada yang negara lain boleh tahu tapi ada yang tidak boleh sama sekali diketahui oleh sesiapa. Sistem Kerahsiaan dalam soal keselamatan dan pertahanan negara adalah sangat paramount.

Dasar "Kerahsiaan" sistem keselamatan dan pertahanan negara ini sudah semestinya berlawanan dengan "sistem transparensi" yang mahu semua mesti dibogelkan. Sudah barang tentu wujud "hidden cost" yang besar disebabkan "kerahsiaan" yang menjadi premis asas kepada sistem keselamatan negara itu sendiri.

Negara tiba-tiba menghadapi ancaman yang selama ini hanya dianggap oleh pembangkang sebagai "ugutan UMNO" untuk menakut-nakutkan rakyat, hari ini "sudah benar-benar berlaku" dan bukan lagi sekadar "cobaan"!

Peristiwa pencerobohan terhadap kedaulatan negara ini sudah cukup mencabar dan menyentap setiap jiwa pemimpin dan rakyat yang bertanggungjawab dan patriotik kepada negara. Peristiwa ini benar-benar menakutkan dan menginsafkan sebahagian besar rakyat.

Tetapi, lihatlah seiap reaksi balas, kenyataan dan kecenderungan pihak pembangkang sebaik sahaja negara ini digemparkan dengan peristiwa benar yang berpotensi menghilangkan segala nikmat dan keharmonian yang dikecapi selama ini.

Tidak dilihat walau sekelumit pun perasaan kenegaraan di kalangan pembangkang. Jika ada pun hanyalah sekadar melepas batuk ditangga. 

Bagi mereka, peristiwa Beng Hock bunuh diri lebih besar dari nilai sebuah kedaulatan.

Bagi mereka, kematian "pencuri" kereta, Kugan lebih gempar dan lebih mengancam keselamatan negara.

Bagi mereka, kematian remaja yang ditembak polis kerana cuba lari dari sekatan jalanraya lebih penting dari kematian anggota keselamatan yang telah dicincang dan "disiang-siang" seperti melapah daging lembu yang diperlakukan oleh musuh negara.

Anwar sendiri, berdiri dengan penuh bangga di sebelah bekas Panglima tentera yang cuba menunjukkan kepakaran dan pengalamannya dengan membawa kisah "anggota keselamatan diberi rumah umpama reban ayam" di sepanjang operasi Lahad Datu. 

Di dalam saat dan ketika yang amat getir yang dialami oleh negara seperti ini pun Anwar masih menggerakkan jiwa khianatnya untuk meraih laba politik.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Hanya Si Luncai yang dengan bodohnya akan terjun dengan labu-labunya. Ketikanya akan sampai. Kehendak Allah akan berlaku jua. Pengkhianatan dan penghinaan terhadap agama, bangsa dan tanah air pasti akan dibalas dengan penghinaan jua.

2 comments:

  1. Anwar memang suka ayam....

    ReplyDelete
  2. Pengkhianatan dalang tidak setimpal didbalas oleh kerajaan - tak ada apa2 tindakan, hanya gembar gembur cuba untuk memburukkan individu.

    Bertindaklah jika benar dan berani.

    ReplyDelete