29 Julai 2013 ini, genap 5 tahun ibu meninggalkan kami buat selamanya.
Al Fatihah buat arwah ibu dan ayah serta dato nenek yang telah pergi. Semoga berkat, hikmah, khasiat serta pahala di sebalik hadiah bacaan Ummul Kitab ini akan memberi mereka kehidupan yang bahagia di alam-alam seterusnya dengan pengakhiran kejayaan meniti titisan sirat, seterusnya syurga Allah swt.
Saat yang paling agong dan kehebatan yang tiada bandingan adalah kejayaan, apabila Allah memperlihatkan wajahNya kepada hambaNYa yang dikasihi sambil membaca Surah Ar-Rahman.
Fikiran ku melayang jauh menerjah 47 tahun ke belakang memikirkan bagaimana keadaan ibu ku ketika dia berhadapan dengan saat paling getir di kehidupan dunianya.
Ibuku telah kehilangan ibunya di usia muda, ketika melahirkan adiknya yang bongsu. Tak sampai 2 tahun selepas itu, atok pula meninggalkan ibu bersama 5 adiknya yang lain buat selama-lamanya. Selepas 5 tahun keluarga ibuku menjadi yatim piatu, ayah ku pula pergi buat selamanya di usia yang baru menjangkau 35 tahun.
Bermakna, dalam tempoh 5 tahun ibu telah kehilangan 3 tonggak terpenting dalam hidupnya. Kesemua pergi meninggalkannya pada usia yang muda.
Lebih memilukan, ibu tidak tahu pun suaminya telah pergi meninggalkan ibu buat selama-lamanya. Ibu hanya tahu suaminya telah tiada lagi di dunia ini 7 hari selepas kematiannya.
Tiada siapa yang sanggup untuk kehadapan memberitahu ibu bahawa suaminya sudah tiada lagi.
Ayah ku meninggal dunia tidak sampai 48 jam selepas aku dilahirkan. Diberitakan, ayah hanya sempat mengazankan dan mengiqamahkan, menatap serta mencium ku sekali. Itulah yang pertama dan itulah yang terakhir. Selepas itu ayah ku tidak muncul-muncul lagi.
Apabila ibu bertanya kepada adik-adiknya dan rakan-rakan berek polis yang ramai datang menziarah, "kenapa ayah ku tak datang-datang menjenguk muka", masing-masing memberi pelbagai alasan, dan semua alasan yang diberikan bercanggah di antara satu sama lain.
Ada yang memberitahu, ayah ku demam panas dan sedang berehat di berek. Ada yang memberitahu ayah telah dibawa oleh atok ku ke kampong untuk berubat kampong. Ada yang beritahu dia ada tugasan penting yang baru diarahkan oleh pegawai atasannya.
Ibu bingung dan tertanya-tanya kenapa setiap soalan yang ditanya, masing-masing memberi alasan yang berbeza. Lebih menjadi persoalan buat ibu ku, kenapa semua yang datang menziarah menyuruh ibu supaya banyak bersabar dan ada kalangan mereka yang hanya "membungkam" tidak mampu mengeluarkan sepatah kata pun.
Rupa-rupanya, daripada doktor, nurse, anggota polis, isteri-isteri polis sampailah kepada adik-adik ibu telah sepakat untuk menipu ibu. Walau pun terlintas juga di hati ibu pelbagai kemungkinan buruk yang berlaku, ibu cuba meyakinkan dirinya bahawa ayah ku memang benar-benar demam panas.
Ibu ku tidak putus-putus berpesan kepada adik-adik dan kawan-kawan bereknya yang datang menziarah supaya tolong tengok-tengokkan ayah ku. Ibu berpesan kalau ayah ku masih belum sembuh, ibu suruh bawa ayah ku ke hospital untuk buat rawatan. Dalam hati kecil, ibu tertanya-tanya juga, "kenapa adik-adik ku sanggup datang dari jauh semata-mata untuk ziarah aku bersalin".
Ibu tak sabar-sabar untuk "discharge" dari wad. Ibu memikir, walau pun baru lepas bersalin dan tak dapat menguruskan sakit pening suaminya, tapi sekurang-kurangnya biarlah suaminya ada di depan mata sewaktu dia sakit.
Apabila ditanya kepada nurse atau doktor yang datang memereksa kesihatan ku dan ibu, mereka kata, "puan kena duduk wad lagi, sampai puan betul-betul sehat". "Suami puan pesan supaya duduk wad sampai sehat sebab dia masih demam. Nanti dia tak dapat jaga puan."
Semakin banyak persoalan bermain di fikiran ibu. "kenapa semua orang nampak lain. Riak muka, cara masing-masing bercakap dan alasan-alasan yang diberikan seperti ada sesuatu yang tak kena". Ibu berdoa, "Ya Allah, kau sembuhkanlah aku cepat supaya aku dapat lekas-lekas keluar dan jika tidak dapat menjaganya sekurang-kurangnya aku dapat melihat suami ku di depan mata".
Ibu juga musykil kenapa dia ditahan wad agak lama kali ini, sedangkan sebelum itu Ibu dah lahirkan 5 anak, tapi taklah lama seperti itu.
Pagi hari yang ke 7, doktor dan seorang pegawai polis telah datang dan memaklumkan kepada ibu supaya bersiap untuk discharge, tapi ibu dimaklumkan oleh pegawai polis tersebut, bahawa ibu dan aku akan terus dihantar pulang ke kampong. Ibu ku sekali lagi musykil, "kenapa tidak terus balik ke berek". Bila ditanya, pegawai tersebut memberitahu, "semua anak-anak puan sudah berada di kampong dan tiada siapa yang tinggal di berek".
Jantung ibu semakin berdebar. Ibu berkata-kata di dalam hati, "apalah sebenarnya yang sedang berlaku". "Siapalah yang mengurus dan mengambil tahu hal-ehwal anak-anak ku yang masih kecil di rumah". "Siapa yang membawa mereka dan kenapa semua mesti balik ke kampong? Sakit sangatkah suami ku sehingga semuanya dibawa pulang. Anak ku yang lain sepatutnya bersekolah tapi dibawa juga balik ke kampong".
"Atau.... ahhh!!! Tak mungkin..." ibu cepat-cepat menepis sangkaan yang terlintas di benaknya. Ibu ku hanya mampu bertanya dan menjawab sendiri setiap persoalan yang bermain di fikirannya.
Aku dan ibuku dibawa pulang ke kampong dari Ipoh tempat ayahku bertugas sebagai polis sebaik keluar dari hospital. Sebaik sampai di kampong, ibu mendapati ramai sekali saudara mara dan orang-orang kampong menunggu kesampaian kami. Terdapat juga 2 atau 3 buah truk polis di tepi jalan. Ketika itu baru terlintas di fikiran ibu, kelibat truk polis inilah sebenarnya sejak dari Ipoh telah mengekori kenderaan yang membawa ibu. Rupa-rupanya truk itu membawa segala barangan rumah ibu untuk dipindahkan ke kampong.
Abang-abang dan kakak ku yang sudah mwngerti sedikit sebanyak erti hidup menyambut ibu dengan tangisan. Saudara mara dan orang kampong yang ramai menanti juga bertangisan sesama sendiri. Atok dan uwan serta ipar duai ibu meraung dan meratap.
Ibu selalu bercerita mengenai abang ku yang paling kecil sangat manja dengan ayah. Dia tidak mahu makan dan minum. Terpaksa dicari orang lelaki setiap kali mahu memberi makan, barulah dia akan makan.
Daripada peristiwa yang sedang berlaku di depan mata, terjawablah dengan sendiri apa sebenarnya yang telah terjadi kepada suaminya.
Ibuku berkata sendiri kepada dirinya, "Inilah dia bahagian ku, terimalah".
Ketika itu, terbentang di depan ibu segala bayangan kehidupan masa depan yang bakal ditempuhi. Sebuah kehidupan yang tidak pernah terfikir akan dilaluinya.
Dalam tempoh 7 hari, kehidupan ibu dan anak-anaknya berubah 100% dari kehidupan sebelumnya. Jika sebelum ini, suami yang menyara seluruh kehidupan keluarga, kini sekelip mata semuanya telah hilang. Dalam pemikiran ibu, hanya terbayang kebun getah dan sawah padi peninggalan atuk nenek yang bakal menjadi tempat pergantungan baru 2 adik yatim piatu yang masih kecil dan 6 anak yang sudah menjadi yatim.
Keluarga ku bernasib baik kerana ayah sempat menyiapkan rumah untuk kami tinggal di kampong. Tanah, kebun, sawah padi dan dusun peninggalan atok menjadi sumber rezeki dan tempat tinggal kami selepas ketiadaan ayah.
Semangat ibuku sungguh luar biasa. Jika dilihat dari kemampuan lahiriah tidak mungkin ibu begitu kuat semangat serta pantas mengambil tempat menjadi ibu dan bapa kepada kami 6 beradik dan pada masa yang sama menjadi kakak, ibu serta ayah kepada adik-adik lain yang sudah kehilangan tempat bergantung.
Tidak sempat untuk ibu menunggu sehingga lepas pantang. Kehilangan suami secara mengejut tidak sedikit pun mematahkan semangat ibu, malahan semangatnya bertambah kental. Semuanya dirempuh. Ibuku tidak lagi punya siang atau pun malam. Bagi ibu, siang atau malam sudah tiada beza dan tidak beri apa-apa kesan terhadap kehidupannya.
Pagi di kebun getah. Petang di sawah. Malam, kadang-kadang menghalau tikus di sawah. Kadang-kadang pergi ke rumah-rumah orang kampong yang difikirkannya boleh memberi ibu pinjam wang untuk perbelanjaan sekolah abang-abang ku. Kadang-kadang apabila tiba musim durian, ibu ke hulu dan ke hilir mengumpul durian peninggalan ayah dan atoknya yang berselerak di beberapa tempat.
Ibu juga memelihara ayam dan kambing yang "dipedua" oleh orang kampong kepada ibu ku. Ternakan ibu cepat berkembang biak. Ibu kadang-kadang jual ayam dan jual kambing untuk membayar yuran pepereksaan dan belanja persekolahan anak-anak.
Ibu buka buku 555 di kedai runcit Tn.Guru Hj.Hasan. Tidak terkira berapa jumlah hutang ibu dengan Tok Hj.Hasan. Satu ketika Tok Hj.Hasan pernah melupuskan buku 555 ibu dan menghalalkan semua hutang piutang ibu dengannya. Tinggi sungguh budi luhur Tok Hj.Hasan terhadap keluarga ku.
Begitu juga dengan seorang lagi yang ku panggil "Bang Udin Kodai". Budi baik Bang Udin dan Kak Timah tidak mungkin terbalas sehingga mati. Dialah yang menebus barang kemas peninggalan nenek yang digadai oleh ibu untuk membesarkan kami. Dialah di antara orang kampong yang paling bersimpati dan amat memahami akan kedaifan keluarga ku. Hutang ibu di kedainya juga tidak terhitung banyaknya.
Orang kampong juga ramai yang mengagihkan anak atau cucu mereka kepada ibuku. Seingat aku, ibu ada tidak kurang dari 7 orang anak agih. Aku tidak tahu kenapa masing-masing berebut-rebut untuk mengagih anak pada ibuku. Agaknya mungkin mahu ambil berkat.
Sebenarnya duit syarikat koperasi peninggalan arwah ayah ada berjumlah hampir RM2000. Jumlah itu dianggap besar ketika itu dan boleh menampung buat sementara waktu persekolahan abang-abang ku. Tapi ibu hanya setakat mendengar khabar. Ibu tidak tengok pun macam mana rupa wang tersebut.
Dari segi hukum, wang itu adalah dikira sebagai harta anak yatim. Aku tidak sanggup untuk menceritakannya lebih lanjut. Cuma aku boleh menyatakan, bahawa aku menjadi saksi, ibu pernah melafazkan di depan ku, bahawa ibu telah menghalalkan dunia dan akhirat kepada sesiapa yang mengambil dan menggunakan wang itu. Biarlah ia menjadi rahsia kami sekeluarga.
Masih teringat aku akan kata-kata ibu;
"Ini omak nak posan boto-boto. Omak mintak sangat-sangat, kalau omak dah mati sok, baik atok kau, pak sedaro, mak sedaro kau, jangan kau lupo. Jangan lupo sakit poning dio. Jangan lupo jongok dio. Dio semuo tu adik-adik omak. Dio semuo tu ipar duai omak! Pak mertuo omak, abah dek abah kau, adik-beradik abah kau".
"Kalau dio susah jangan lupo bantu apo yang buleh. Pelantingan duit kek dio semuo sekali-sekali bilo ado duit tu". Jangan kau biarkan sedaro kau meratap nasib kek orang lain. Macam tu jugak kek abang-abang kau, kek kok ngah kau. Jangan kau abaikan semuo. Jangan ikutkan fahaman bini dan anak-anak kau mano-mano yang tak boto".
Itulah kata-kata keramat ibuku. Setelah aku dewasa baru aku tahu betapa besarnya jiwa ibuku. Betapa adil dan tegasnya ibu ku dalam mempertahankan prinsip hidup. Betapa ibu sangat rasional dalam setiap langkah dan tindakannya. Ibu seorang yang benar-benar tahu meletakkan sesuatu di tempat dan alurnya yang patut.
Setahu aku, ibu hanya bersekolah sehingga darjah 2. Tapi kata-kata yang keluar dari mulutnya ibarat kata-kata seorang pujangga. Ibu ku belajar dari alam yang terkembang luas. Ibuku memahami erti hidup hasil dari perjalanan hidupnya yang aku kira sangat kurang dilalui oleh orang lain.
Allah swt telah memutuskan perjalanan hidup yang sebegitu untuk ibu lalui. Itu memang sudah ketentuan jodoh, pertemuan, rezeki dan maut yang sudah ditakdirkan ibu lalui.
Aku coretkan juga serba ringkas latar belakang ibuku.
Ibuku adalah anak sulong dari 6 beradik yang sempat membesar. Seorang meninggal sewaktu kecil dan seorang lagi adik tiri.
Setelah uwan dan atok meninggal pada usia muda, di bahu ibukulah terbebannya segala tanggungjawab terhadap keluarga. Uwan meninggal sewaktu melahirkan adiknya yang bongsu. Ibulah yang menjadi ibu dan ayah kepada adik-adiknya yang belum lepas.
Bagi ibu, 24 jam satu hari dan 7 hari satu minggu seolah-olah terlalu pendek baginya. Ada saja urusan ibu, tidak kira siang atau pun malam.
Teringat satu peristiwa aku bersama ibu. Ketika itu aku baru darjah 2. Jam lebih kurang pukul 10 malam ibuku membawa aku ke "rumah tinggal' atuk ku yang penuh dengan semak belukar untuk menunggu durian yang sudah mula 'belajar gugur'. Ibuku tidak mahu mensia-siakan walau pun sebiji durian. Semua harus dijadikan duit untuk menyara persekolahan anak dan adik-adik.
Ibu membawa aku merempuh hujan lebat dan kilat petir yang sedang sambar-menyambar. Masih terngiang-ngiang ditelingaku, bagaimana ibu mengajar doa ketika berlaku kilat dan petir. Aku menurut setiap bacaan yang disebut oleh ibu sehinggalah aku sampai di rumah tinggal atuk. Ibu mengemas "kepok padi" yang semak samun dan menghidupkan unggun api yang sudah siap dikumpul oleh ibu.
Ibu berkata kepada ku,, "Tidolah jang, omak nak poi suluh durian kok ada yang gugor kek rumah kocik. Taado apo-apo jangan takut, ini rumah kito, rumah atuk kau, taado sapo yang berhak duduk di rumah ni". Ibu meninggalkan aku seorang diri di rumah kepok yang dikelilingi semak belukar. Rumah kecil yang dimaksudkan oleh ibu berada 1/2 KM dari 'rumah bosa' tempat aku ditinggalkan. Aku tidor begitu lena hingga ke pagi. Bila aku terbangun aku melihat longgokkan durian di depan ku. Ibuku berkata kepada ku, "nah tengoklah banyak eh durian yang omak dapek. Kalaulah kito tak datang malam tadi, kito takkan raso, semuo abih dek musuh."
Keberanian ibu juga sangat luar biasa. Tiada erti takut dalam kamus hidup ibu. Hantu, syaitan, jin dan harimau juga tidak ada dalam kamus ibu. Ibu pernah berebut durian dengan harimau. Ibu pernah disergah oleh hantu dan jin di rumah tinggal atuk. Aku juga pernah terdengar seperti orang berjalan mengelilingi kepok tempat tidor ku. Ibuku selamba bercakap dengan ku kuat-kuat, 'jangan pedulikan orang tu. Buat tak tau yo. Lamo-lamo nanti poilah dio tu".
Ada orang kampong yang mengatakan ibuku gila kerana keberaniannya yang amat luar biasa. Tiada mana-mana lelaki yang punya keberanian seperti yang dimiliki oleh ibu.
Bila aku sudah besar baru aku dapat menilai dan membuat kesimpulan kenapa ibu ku sangat luar biasa orangnya. Sebenarnya Ibuku terus-terusan memasang suis pembakar semangat di dalam hati. "Hidup mesti diteruskan. Masa depan anak-anak dan adik-adik jangan dikecewakan walaupun ayahnya sudah tiada". "cukuplah omak yang menerimo kesusahan dan umpek koji orang". "Susah ni tak lamo".
Ibu meyakinkan diri dan anak-anaknya bahawa keperitan hidup yang dialami tidak akan lama. Pelaburan terhadap pendidikan anak-anak dan adik-adik pasti tidak akan dipersiakan Allah.
"Anak di kendong adik dipangkuan". "Tidak seorang pun adik dan anak yang ada akan aku serahkan kepada sesiapa". "Semua adik dan anakku akan ku usahakan persekolahannya selagi mahu." Ibu sangat hiba bila ada orang yang meminta untuk "membela" adiknya yang bongsu, seolah-olah ibu tidak mampu untuk memelihara adiknya.
Adik bongsunya hanya dilepaskan kepada adik lelaki sulongnya apabila ibuku benar-benar yakin adik lelaki sulongnya bersedia untuk menjaga adik yang bongsu.
Aku berbangga kerana memiliki ibu yang penuh dengan visi dan misi. Ibuku sangat berpandangan jauh. Kekuatan semangatnya tiada tandingan walaupun dibandingkan dengan mana-mana lelaki sekali pun.
Ada anak yang tidak bersekolah walaupun masih ada ibu-bapa. Tetapi ibuku berjaya memberi pendidikan kepada anak-anak dan adiknya dan tiada siapa pun yang tercicir dalam pendidikan melainkan anak atau adiknya sendiri yang memilih untuk tidak belajar.
Abang sulong ku berjaya menaiki menara gading di UiTM S. Alam pada tahun 1971. Kakak ku melanjutkan pengajian ke Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Adik bongsu yang disusuinya berjaya menjejak kaki ke Universiti Malaya.
Aku sendiri berjaya melanjutkan pengajian ke UiTM dan seterusnya melanjutkan pengajianku bersama isteri ke United Kingdom. Abang ku yang ke 4 juga menyambung pengajian hingga ke UiTM.
Walaupun tidak secemerlang seperti keluarga lain tapi ibu amat berbangga kerana hasil penat lelah dan pengorbanannya telah dibayar dan Allah tidak mempersiakan segala doa dan hajatnya. Anak-anaknya yang lain juga tidak ada yang kurang. Walaupun tidak menjejak kaki ke menara gading tetapi hidup mereka sempurna, malah lebih selesa dari kehidupan ku.
Aku menganggap keluargaku adalah keluarga 'late developer'. Bagi ku ia amat adil, sesuai dengan keadaan dan latar belakang serta kemampuan tulang empat kerat yang ada pada ibu.
Ibu tidak henti-henti membakar semangat kami, menyabarkan kami dan menasihatkan kami agar hidup "tidak terdorong". Jangan berdendam pada sesiapa. Jangan menyakiti hati sesiapa. Hormat pada yang lebih tua dan kasih pada yang muda. Hidup harus saling membantu dan jangan hidup seperti "anau dalam belukar". Jangan mementingkan diri sendiri dan jangan sombong, mogah dan takbur jika hidup berjaya.
"Omak yang menompuh semua asam garam dengan abah kau, tak ado sikit pun menyimpan dondam dan perasaan tak baik kek sesapo". Biarlah orang buek kito, asal jangan kito buek tak elok dengan orang".
"Omak ampunkan apo sajo kok ado kesalahan sesapo kek omak".
Sebelum Ibu menghembuskan nafas akhir, beliau sempat menyuruh abangku yang menjaganya membacakan Surah Yaasin untuknya sebanyak 2 kali dan beliau sendiri sempat menghabiskan 1 kali bacaan Yaasin sebelum menutup mata dengan lafaz Kalimah "Lailahaillallah".
Sempena Ramadan yang secara kebetulan tahun ke 5 ibu meninggalkan dunia fanak ini, aku kongsikan sebahagian kecil dari kehidupan arwah ini semata-mata kerana Allah. Semoga beroleh berkat, hikmah dan khasiat bagi sesiapa yang ikhlas dan jujur untuk mencari pengajaran di sebaliknya.
Semoga mana-mana nilai luhur yang dapat dicontohi dan diamalkan akan menjadi amal jariah, buat bekalan tambahan buat arwah.
Al Fatihah.
AlFatihah buat Ibu saudara .... sesungguhnya arwah merupakan seorang yang berjiwa besar. Terlalu besar dugaan yang dihadapi nya ketika hidup ...
ReplyDeleteSaya pasti arwah berbangga dengan peninggalannya ....
Touching! Tingginya pengorbanan seorang ibu.
ReplyDeleteSalam Ramadhan buat Sdr KNKB,
ReplyDeleteTergenang airmata saya pabila membaca kisah yg dititipkan kali ini.
Semoga roh arwah bonda dan ayahanda Sdr dirahmati Allah SWT hendaknya. Amin.
Kenangan bersama bonda tercinta adalah saat-saat paling indah hidup kita di dunia yg fana ini. InsyaAllah suatu ketika sesuai saya akan kongsi bersama kisah saya bersama kedua ibu bapa tercinta dalam sebuah Biografi berjudul 'Ibuku Airmataku'.
Saya cadangkan Sdr KNKB nukilkan pengalaman pahit manis lagi getir serta 1001 macam pengalaman yg sempat ditimba bersama bonda tercinta dalam sebuah Biografi sebagai tanda kasih kita kepada mereka. Saya pernah lihat di kedai buku sebuah Biografi yg ditulis oleh seorang anak perempuan buat ayahandanya yg dikasihi.
Ya Allah, kau bukakanlah hati anak-anak yg masih tidak menghiraukan ibubapa mereka di masa hayatnya.
Kematian bukanlah perpisahan selamanya, hanyalah perpindahan dr alam dunia ke alam Barzakh, hinggalah nanti kita dibangkitkan di alam Mahsyar, dan seterusnya mudah mudahan ke Syurga Allah swt bersama sama mrk yg "An 'am ta 'alaihim", insyaAllah !
ReplyDelete"...Sesungguhnya Allah swt tidak menyia nyiakan pahala ganjaran org org yg berbuat baik." Hud 115. Pengorbanan ibu saudara pastilah juga takkan disia siakan oleh Allah swt, pasti dibalasnya dgn berlipat ganda. Kerana itu bersungguhlah kita menjadi insan insan dan anak anak yg soleh, kerana setiap amalan baik kita berpahala juga utk kedua ibu bapa kita, dan org org yg soleh akan ditemukan dgn ahli keluarganya dlm keadaan bergembira,
"Dan dia akan pergi kpd keluarganya (yg beriman) dlm keadaan gembira." Al Insyiqaq 9.
Kisah ketabahan ibu saudara juga mengingatkan saya kpd ibu saya yg berpindah ke alam Barzakh pd 26 Ramadhan 1427, yg juga kematian suami dlm usia muda 35 thn dgn 5 anak yg sdg membesar. Antara kewajipan kita adalah mendoakan kedua ibu bapa setiap kali lepas solat dan setiap kali berdoa utk diri kita. Semoga termasuklah kita dlm golongan spt yg disebut dlm ayat 9 Surah Al Insyiqaq di atas, insyaAllah ! Amiin!.
Salam,
DeleteSebagai anak tidak cukup sekadar menadah tangan mendoakan kedua ibubapa. Kita mesti menjaga nama baik ibubapa dengan menjalin hubungan baik sesama handai taulan kaum kerabat mereka.
Juga memastikan apa jua warisan peninggalan mereka terjaga dan terpelihara dgn baik. Misalnya jgn biarkan rumah pusaka ibu kita terbiar sepi laman penuh semak samun haiwan berbisa berumah bertangga.
Jika memandu pulang berhariraya d kampung nanti lihatlah kiri kanan betapa sedih sayunya melihat banyak rumah pusaka senibina tradidional Melayu terbiar rebeh. ada yg rumput menjalar sampai ke bumbung.
Bukankah di rumah itulah emak ayah kahwinkan kita. sungguh meriah penuh seri majlis berzanji, berpantun seloka, bersilat berbunga? Juga di situ kita dikhatan, belajar Al Quran, mengenal abc ditemani pelita? Yg anak gadisnya melalui debar gugup malam pertama?
Sayunya hati mengenangkan legasi ini dilupakan di kala anak-anak segak bergaya di mercu jaya di ibukota!