Terimakasih sahabat blogger.Ramai yang bertanya pasal politik pemuda, dan kenapa saya berani mengambil risiko menghadirkan diri pada sidang akhbar DMM. Sebenarnya saya tidak minat untuk menjawab soalan yang tidak berkait kepada isu sebenar.
Saya lebih cenderung berbincang tentang isu-isu, permasalahan dan masa depan yang berhubung kait dengan parti dan kepimpinan. Apa masalah, apa punca kepada masalah, apakah rawatan, ubat dan rencah untuk memulih dan meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap umno dan kerajaan.
Kalau kita asyik membincangkan kenapa berani sangat?, kawan-kawan marah ke? Ada juga yang mengatakan ‘engkau ni idealis sangat, susah macam ni’ dan macam-macam lagi persoalan yang premisnya hanya berkisar kepada hal-ehwal keselamatan diri, perut, poket dan pangkat. Habis siapa yang nak fikir pasal survival umno? Pasal perjuangan?
DS Rafidah Aziz kata jangan jadikan umno seperti tebusan! Saya amat setuju dengan saranan tersebut. Umno ini gunanya untuk dijadikan senjata dalam melindungi bangsa dan negara. Bukan dijadikan sebagai senjata untuk mendapatkan pampasan berupa keselamatan diri, perut dan pangkat.
Ada pula pemimpin yang menjadikan umno, perpaduan dan kesetiaan kepada parti sebagai tebusan bagi tujuan untuk terus kekal memegang jawatan!
Kalau begitu apa bezanya dengan mereka yang meletakkan syarat hanya akan masuk semula ke dalam parti setelah berlaku perubahan di dalam parti dan kepimpinan? Sekurang-kurangnya Tun Mahathir memberi syarat ini bukan di atas kepentingan diri perut dan poket tetapi di atas niat untuk melihat parti kembali kuat dan dapat meraih kembali kepercayaan rakyat!
Setiap kali kedudukan pemimpin dalam parti tergugat, kerap kali umno dan perjuangannya dijadikan tebusan untuk memaksa ahli menyokong dan berterusan menerima kepimpinannya. Kerap kali kesetiaan dijadikan senjata ampuh untuk membunuh dan melenyapkan segala teguran dan kritikan terhadap pemimpin, walau pun teguran itu baik untuk parti dan masa depannya.
Kefahaman kita sudah tunggang terbalik.Buat perlembagaan penat-penat tapi kita sendiri yang tidak mengiktiraf kewujudannya. Hari ini perlembagaan parti menerima nasib yang sama seperti Quran buruk. Hanya layak diletak di kepala tiang rumah.
Demokrasi dijadikan lambang parti, sebaliknya tukul besi pula yang kita agungkan. Kita iktiraf hak kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan dalam parti, tapi mereka yang mengamalkan kebebasan bersuara pula yang menjadi mangsa kecaman.
Kita disuruh mengikut saluran dalaman parti untuk meluahkan perasaan dan kritikan, tetapi bila kita cuba ikut saluran yang paling sahih seperti EGM, dihalang pula!
Kita dituntut untuk ‘setia kepada parti’ tetapi dalam masa yang sama, kesetiaan terhadap parti dijadikan pula tebusan untuk memaksa ahli setia terhadap pemimpin!
Hakikatnya, pemimpin perlu jelas pemikiran. Pemimpin wajib tahu membezakan di antara maksud ‘sayang kepada parti’ dan ‘sayang kepada jawatan dalam parti’, manakala ahli pula perlu tahu membezakan di antara ‘kesetiaan terhadap parti’ dan ‘kesetiaan terhadap pemimpin parti’.
Budaya, semangat dan kefahaman sudah tunggang terbalik. Kalaulah Dato Onn dan orang melayu dulu punya sikap dan pembawaan sebegini, sudah pasti mereka tidak berdaya dan hanya membiarkan sahaja Raja-Raja Melayu ketika itu menandatangani pembentukan Malayan Union. Raja-raja Melayu akan menyerahkan sahaja kuasa yang ada kepada british.
Mungkin hari ini tidak wujud lagi apa yang dikatakan ketuanan melayu, kedudukan raja-raja melayu, bahasa melayu dan islam sebagai bahasa dan agama rasmi, Dasar Ekonomi Baru dan segala dasar yang menyentuh tentang kepentingan dan kedudukan orang melayu.
Mungkin juga negara ini dan negeri-negeri di bawahnya bukan lagi dipimpin oleh bangsa melayu yang beragama islam. Tiada peruntukan perlembagaan dan tiada undang-undang tubuh untuk melindungi ketuanan melayu dan agama suci ini.
Juga, tidak timbul isu ‘Kerajaan Johor-Riau-Lingga’ kehilangan kedaulatannya terhadap Pulau Batu Putih kerana mungkin seluruh Tanah Melayu ini bukan lagi orang melayu yang menguasainya. Mungkin namanya ketika ini adalah ‘Republic of Malaya’.
Tepuk dada tanya kemahuan…apa yang wajib dilakukan kini….
No comments:
Post a Comment