Seseorang itu akan dianggap sebagai pembunuh bukan sahaja apabila dia menembak dengan senapang. Seseorang yang membunuh dengan cara memenggal kepala menggunakan pedang atau menikam dengan keris juga adalah dianggap pembunuh.
Seseorang itu akan dianggap membunuh atau menikam parti bukan sahaja apabila dia meninggalkan parti dan menyeru orang lain turut meninggalkannya. Seseorang itu juga akan dianggap membunuh dan menikam partinya sendiri apabila gara-gara tindakan dan kenyataan yang dibuat menyebabkan ahli dan rakyat berasa mual dan semakin jauh dari parti.
Kalau orang yang mengajak orang lain keluar parti itu tidak layak berada dalam parti, maka mereka yang menjadi penyebab kepada ahli dan rakyat menjadi semakin mual dan jauh dari parti juga tidak layak duduk dan memegang jawatan di dalam parti. Mereka juga harus keluar dari parti kerana umno sebenarnya tidak memerlukan orang seperti ini.
Umno memerlukan pemimpin yang diterima bukan sahaja oleh ahli, malahan boleh diterima dan dipercayai rakyat. Umno tidak perlu kepada pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti. Umno memerlukan pemimpin yang boleh menjadi asset kepada parti.
Pemimpin ibarat burung pemikat yang boleh menarik masyarakat burung untuk mendiami sesuatu habitat.
Kalau setiap hari pemimpin-pemimpin mengeluarkan kenyataan yang tidak popular dan menambah rasa benci dan meluat di kalangan ahli dan rakyat, bagaimana parti akan pulih?
Inilah muhasabah yang paling dituntut dalam keadaan kepimpinan parti menjadi pertikaian hari ini. Ahli umno dan rakyat sedang menilai setiap gerak dan langkah setiap pemimpin. Sebarang usaha ke arah pemulihan, mestilah dipastikan setiap tindakan itu akan menambahbaik kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat terhadap parti, bukan semakin menambah kerosakan! DAN, bukan juga bertujuan untuk mendapat keyakinan pimpinan atasan. Bukan sekadar untuk dilihat oleh pimpinan atasan kita telah berbuat sesuatu atau sekadar untuk membuktikan kesetiaan. Sasaran mesti jelas. Ikhlas dan jujurlah sikit!
Kalau nak jadi pemimpin, jadilah pemimpin pengepal nasi, makin dikepal semakin bulat dan bersatu. Jangan jadi pemimpin pengepal beras, makin dikepal makin berserakan.
Selamat mencuba untuk menjadi mukhlisin…
Saudara Kamarulzaman,
ReplyDeleteMengamati tulisan saudara, fikiran saya menyimpang jauh lalu membuat kesimpulan bahawa ia penuh dengan siratan yang dipersembahkan secara berhemah.
Sebagai perkongsian pengalaman, ingin saya melakarkan diruangan ini suatu pengalaman peribadi tentang politik dalam kehidupan diri saya.Untuk makluman, saya dilahirkan sebagai anak Ketua Cawangan UMNO (arwah ayah jadi ketua 1955-1983). Jadi cerita-cerita politik saya perolehi dari curi dengar perbualan ayah dengan tetamu yang ke rumah.
Meskipun saya terdedah dengan persekitaran politik UMNO, saya cuma menjadi ahli UMNO pada 1986 dan hanya bergerak aktif pada tahun 1995. Malahan, saya tidak menyertai cawangan yang pernah dipimpin oleh ayah saya, sebalikya menyertai di cawangan dan di bahagian lain.
Seawal zaman remaja (pertengahan 70an), saya telah melihat sendiri segala pergolakan yang berlaku dalam UMNO, contohnya pergeseran antara sayap pemuda dan kepimpinan parti dalam era 'kumpulan pendesak - Dato'Harun Idris', krisis perlembagaan,pergolakan team A & B dan lain-lain lagi.
Saya tidak nampak ketika itu, pemuda mendesak Tun Razak untuk meletakkan jawatan (mungkin rasa hormat terhadap kewibawaannya), cuma pada pengamatan saya mereka mahu dasar-dasar parti dan kerajaan haruslah mengikut acuan mereka. Namun, sebaliknya tekanan dan asakan dikenakan kepada Ketua Pemuda supaya berundur dari jawatan kerajaan dan dalam parti.
Semasa era Tun Hussein, seolah-olah wujud 'grand-design' dengan penghantaran Dato' Harun ke penjara, penangkapan 'Tiga Abdul' dan TDM dimalukan dengan dakwaan Setpolnya sebagai agen KGB. Setelah dewasa, timbul persoalan dalam diri saya, khususnya dalam kes 'Tiga Abdul'(2 daripadanya, iaitu Dato' Abdullah Majid dan Dato' Abdullah Ahmad merupakan pembantu kanan Tun Razak serta Tan Sri Abdul Samad Ismail), mengapakah mereka ini didakwa sebagai subversif dan dikenakan tindakan ISA? Saya berpendapat dengan tindakan Tun Hussein itu seolah-olah selama ini Tun Razak dikelilingi oleh anasir-anasir pro-komunis. Secara tidak langsung, pemikiran dan keputusan Tun Hussein dipengaruhi oleh pihak lain, jika tidak tentu beliau tergamak berbuat demikian.
Daripada pengkisahan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa PM atau Presiden parti haruslah mempunyai kebolehan dan keyakinan terhadap diri sendiri tanpa mudah dipengaruhi oleh orang lain. Hal ini seterusnya mendorong kepada timbulya cakap-cakap di akar umbi, bahawa perlunya peralihan kuasa. Masing-masing ketika itu sudah mula tidak sabar menanti kemunculan
seorang PM yang baru.
Dikaitkan kepada suasana politik hari ini, seakan-akan berlaku kitaran semula pada peristiwa-peristiwa sebelumnya. Tanpa penghuraian kepada corak kepimpinan selepas 'Tragedi 13 Mei' (kerana ketika itu saya masih kecil), tetapi apa yang dicerita dan disampaikan, kelemahan kepimpinan adalah faktor yang mendorong kepada desakan-desakan peralihan kuasa dalam kerajaan dan parti. Namun begitu, pemimpin terdahulu tetap disanjung kerana mereka faham dengan isyarat yang diberikan oleh akar umbi.
Memang diakui bahawa kita tidak perlu khuatir kepada sejarah. Namun suka dingat, sejarahlah yang mencorakkan hari ini. Atas rasa kekhuatiran pada masa depan yang berterusan lanjutan daripada keadaan hari ini, maka belajarlah dari sejarah untuk memperbetulkan keadaan. Kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan untuk memimpin dengan berkesan, dengarlah pandangan akar umbi kerana tuan/puan akan lebih dihormati sekiranya kerana ia adalah sebahagian dari proses PEMULIHAN!
Salam Perjuangan.
P/s Sdr Kamarulzaman;
Dari BIN mungkin sdr adik kepada Ahmad Kamal (?). Kalau ya, sampai salam saya kepadanya.