Negara dikejutkan, pemimpin membuat kejutan dan rakyat tekejut dengan kenaikan harga bahan bakar yang amat mengejutkan..
Negara, pemimpin dan rakyat telah bertembung sama sendiri dan bersimpang siur umpama kenderaan di persimpangan jalan yang mengalami kerosakan lampu isyarat. Samalah seperti bersimpang-siurnya kenderaan menuju ke stesen-stesen minyak pada malam kenaikan harga bahan api diumumkan.
Negara tersepit akibat dari kenaikan harga spekulatif secara global bahan bakar. Pemimpin pula tersepit di dalam membuat keputusan drastik, manakala rakyat pula terhimpit dengan beban mendadak kenaikan kos bahan bakar yang bakal disusuli oleh kesan domino terhadap kenaikan harga barang keperluan harian.
Apa pun penstrukturan yang dijadualkan, kepentingan langsung rakyat telah terjejas. Tanpa perlu diingatkan, golongan berpendapatan rendah dan kelas menengah mahu tidak mahu terpaksa mengubah gaya hidup.
Berdasarkan pengalaman lalu, kenaikan 40% bahan bakar bermakna akan turut berlaku peningkatan terhadap lain-lain kos sara hidup pada tahap sekurang-kurangnya 40% juga. Ini bukan teori ekonomi, tapi realiti yang berlaku di negara ini setiap kali berlakunya kenaikan harga bahan bakar.
Ini bermaksud kalau perbelanjaan isi rumah bagi golongan berpendapatan rendah sebelum ini berada di sekitar RM2000/bulan, maka kos hidup mereka akan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM2800/bulan.
Bagi golongan kelas menengah yang membelanjakan RM5000/bulan sebelum ini pula akan membayar kos hidup sekurang-kurangnya sebanyak RM7000/bulan.
Rebat yang dinikmati secara puratanya RM2/hari pula hanya dapat menyerap kenaikan kos tariff baru elektrik sesebuah isi rumah, atau hanya dapat menyerap ¾ bulan perbelanjaan keseluruhan isi rumah. 11 ¼ bulan lagi terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh isi rumah.
Alasan membandingkan harga dalam negara dengan negara jiran yang lain sudah tidak boleh diterima lagi dan hanya menambah rasa ‘rindu rendam’ rakyat kepada pemerintah.
Singapura bukan negara pengeluar minyak. Membandingkan harga petrol di Singapura dalam nilai Ringgit Malaysia yang jauh lebih lemah berbanding dolar singapura, hanyalah satu percubaan untuk merendah-rendahkan keupayaan para pengguna untuk menganalisa dan memahami suatu matematik mudah.
Ini belum lagi dibuat perbandingan jurang pendapatan per-kapita penduduk antara ke dua negara. Tidak dimasuk kira lagi kadar dan jarak perjalanan harian di pulau sekecil itu berbanding kadar dan jarak perjalanan pengguna kenderaan di negara ini. Juga masih tak dimasuk kira lagi perbandingan jurang kemudahan pengangkutan awam antara ke dua negara. Tambahan pula, Malaysia adalah merupakan ‘net exporter’, manakala Singapura pula merupakan ‘net importer’ bahan bakar tersebut.
Kalau dicampur semua faktor ini, tidak ada asas untuk kita buat perbandingan harga dengan Singapura. Indonesia yang telah berstatus ‘net importer’ masih menawarkan harga yang lebih rendah kepada rakyatnya berbanding Malaysia. Hakikatnya RM5.20 se liter di Singapura adalah jauh lebih murah berbanding dengan RM2.70 se liter di Malaysia dari segi kuasa beli.
Kesimpulannya, ‘Technician’ kilang di Singapura yang bergaji RM5200/ bulan tidak terbeban dengan RM5.20/liter petrol berbanding Eksekutif Muda Telekom Malaysia yang bergaji RM2700/ bulan, untuk membayar RM2.70/liter.
Pengundi saluran 1 mungkin boleh terpengaruh dengan hujah perbandingan ini, tapi tidak kepada lain-lain saluran pengundi. Peningkatan rasa tidak puas hati rakyat meningkat secara mendadak jika dicampur dengan ‘kemarahan’ yang timbul akibat dari cara penjelasan dangkal kerajaan.
Sudah pasti kaedah penstrukturan semula yang telah diputuskan kerajaan ini bukan keputusan yang terbaik kalau kita memandang dari sudut kepentingan pengguna secara keseluruhannya.
Kalau rumah sedang terbakar, keutamaan yang harus diberikan adalah usaha menyelamatkan perkara-perkara pokok yang penting seperti ahli keluarga dan barang-barang berharga. Tidak masuk akal kalau kita selamatkan tikar bantal atau pun periuk belanga terlebih dahulu.
Dalam menghadapi krisis global ini, kerajaan sepatutnya merombak semula keseluruhan dasar belanja mengurus dan pembangunan yang telah dirancang. Mana-mana perancangan pembangunan yang tidak memberi pulangan atau pun lambat mendapat pulangan harus dinilai semula.
Keutamaan hari ini adalah usaha menyelamat situasi ‘darurat kos hidup’ yang dialami rakyat. Ia akan mengancam keselamatan negara.
Agihan penjimatan subsidi sebanyak 13.7 bilion kepada sector yang melibatkan barang keperluan asas seperti bekalan makanan, minyak masak, tepung dan roti tidak memberi apa-apa penyelesaian terhadap masalah pengguna.
Barang keperluan ini naik disebabkan oleh tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar. Kalau kos bahan bakar tidak meningkat atau hanya sedikit meningkat, tidak akan wujud kos domino terhadap barang keperluan asas secara mendadak. Jadi 13.7 bilion itu bukan agihan atau kaedah menyerap kos, tapi hanya proses memindahkan perbelanjaan dari satu tempat ke tempat yang lain. Itu namanya ‘creative accounting’!..sah dari segi prinsip perakaunan tapi tidak bermoral dari segi etika hidup dan pertanggungjawaban...
Salam. Nanti sambung lagi…
No comments:
Post a Comment