Wednesday, June 11, 2008

SEMBANG MEDIA SEKRETARIAT PEMUDA

Dalam sesi 'sembang media' ini pelbagai pandangan dan kritikan terbuka telah dilontarkan oleh pengamal media samada dari media perdana mahupun oleh media alternatif.

Pandangan saya secara peribadi, usaha yang dilakukan ini adalah satu pendekatan baru yang sedang dilakukan bagi mewujudkan suasana interaktif secara langsung dengan pihak media.

Peranan media tidak harus dinafikan dalam membentuk persepsi masyarakat. Hak dan kebebasan mereka dalam melapur sesuatu isu adalah merupakan satu tugas hakiki.

Di sinilah terletaknya cabaran sebenar pemuda atau siapa saja termasuk pihak kerajaan di dalam menterjemahkan idealisma dan perjuangan yang ingin dipersembahkan kepada rakyat. Bagaimana untuk memastikan rakyat dan ahli sentiasa bersama dan tertarik untuk menerima pendekatan dan idealism yang di bawa.

Kita tidak boleh memaksa pihak media menyokong kita dalam apa juga isu atau dasar-dasar yang dibawa. Hubungan yang baik dengan mereka hanyalah satu bonus kepada kita. Mereka sebenarnya tidak terikat untuk menyokong apa juga usaha yang kita lakukan hanya disebabkan wujudnya hubungan baik dengan mereka.

Sebagaimana parti dan kerajaan, ada fungsi dan tanggungjawab tertentu yang perlu dipenuhi, komuniti media juga terikat dengan fungsi dan tangungjawab mereka.

Tidak juga dinafikan, dalam proses kita mentadbir dan berorganisasi, kita terdedah kepada beberapa kelemahan, mereka juga terdedah kepada kemungkinan yang sama.

Tetapi, itu bukanlah faktor penghalang kepada kita untuk terus mendapat keyakinan rakyat, kalau perjuangan parti dan kerajaan yang kita dukung sentiasa berada di barisan hadapan di dalam memenuhi aspirasi dan persepsi rakyat terbanyak.

Kalau umno dan pemimpinnya dapat memastikan perjuangan dan kepemimpinannya sentiasa relevan dengan aspirasi dan keperluan rakyat , media bukanlah mediumnya yang boleh menghapuskan keyakinan tersebut.

Rakyat menjadi celik bukan disebabkan peranan 100% pihak media. Rakyat celik kerana perkembangan pendidikan, pengetahuan, pendedahan yang mereka terima dan lain-lain faktor yang menyumbang kepada pembentukan kematangan, pendirian dan pemikiran mereka.

Kalau persepsi dan pemikiran rakyat 100% bergantung kepada peranan media, mungkin kerajaan yang ada hari ini telah lama berkubur kerana selama ini bukan sedikit media perdana dan alternatif yang tidak menyebelahi kerajaan.

Apa yang semestinya diberikan perhatian adalah bagaimana idealisma perjuangan, dasar dan perlaksanaan yang ingin dibawa oleh umno dan kerajaan dapat disesuaikan dengan tahap kematangan, pendirian dan pemikiran yang terbentuk di kalangan rakyat hari ini.

Kalau umno dan kerajaan gagal mewujudkan relevensi antara ‘dua benua’ ini, maka kenapa kita harus menyalahkan pihak media akibat dari kegagalan kita memahami aspirasi, kehendak atau pun ‘kecenderungan baru’ rakyat?

Benua kerajaan di sebelah sini tidak boleh memaksa pihak media menjadi jambatan atau kapal untuk memunggah kargo atau beban yang hanya dipenuhi oleh barangan yang tidak berkaitan atau tidak dikehendaki oleh benua rakyat di sebelah sana.

Pihak kerajaan harus pandai mengenal pasti apa barangan dan keperluan yang benar-benar dikehendaki oleh rakyat. Jadi barulah boleh pihak media disuruh atau diminta pertolongan untuk menghantarkannya kepada rakyat.

Kesimpulan dari analogi ni, saya berpandangan pemuda harus menyelami semula dasar lautan di mana khazanah-khazanah bernilai telah hilang dan tenggelam. Pemuda harus mencari dan mendapatkannya semula kerana mungkin itulah yang selama ini diigau dan diimpikan oleh rakyat dan ahli.

Khazanah-khazanah bernilai seperti pemuda pendesak, pemuda halia atau pemuda lasak, pemuda gagah berani atau apa juga gelaran-gelaran yang menyebabkan pemuda itu dipandang tinggi oleh segenap lapisan rakyat dan ahli, mungkin perlu dicari dan diolah semula mengikut tuntutan dan kehendak hari ini.

Kalau khazanah ini dijumpai semula, sudah pasti tidak ada tanda harga yang boleh diletak atau dibandingkan dengan apa yang kita miliki hari ini. Tidak dapat untuk kita gambarkan bagaimana segenap lapisan rakyat dan ahli akan datang berbondong-bondong untuk melihat, merasai dan berbangga kerana khazanah warisan yang telah sekian lama hilang telah kembali dimartabatkan oleh kepimpinan pemuda hari ini.

Akhirnya, barulah ahli pemuda dan bangsa melayu akan dapat merasai nilai dan makna sebenar keris panca warisan yang selama ini diperleceh dan disalah ertikan bukan sahaja oleh bangsa lain malahan oleh bangsa sendiri.

Selamat menyelami semula perjuangan...

1 comment:

  1. tahniah di atas kewujudan blog sakabangsa.ia dapat menjadi satu saluran untuk akar umbi suarakan pendapat secara terus pada pergerakan pemuda umno malaysia.
    terima kasih kerana bro sudi link kan blog saya dalm blog bro.
    salam suaraperubahan.

    ReplyDelete