Wednesday, August 20, 2008

ULAMAK : MELERAI ATAU MENAMBAH KEKUSUTAN?

Para ulamak sepatutnya lebih arif apa yang wajib mereka lakukan dalam kekalutan fitnah yang bermaharajalela dalam masyarakat. Sepatutnya mereka tidak terlibat dalam menyumbang mahupun menambah kalut lagi keadaan.

Kalau benar sumpah Saiful tidak mengikut tertib Islam, para ulamak ini sepatutnya memberi panduan bagaimana cara yang betul untuk bersumpah. Kalau benar sumpah Saiful mirip sumpah orang Kristian, tunjukkanlah macam mana cara sumpah ikut cara Islam. Tanggungjawab memberi panduan kepada mereka yang jahil terletak di bahu para ulamak.

Isu liwat dan sumpah laknat ini bukan sahaja dugaan untuk Anwar dan Saiful, malahan dugaan Allah untuk para ahlinya. Ahli Allah adalah para ulamak yang mewarisi ilmu ketuhanan yang sepatutnya menjadi sumber rujukan bagi mengelakkan berlakunya kesesatan dan fitnah dalam masyarakat. Bukan ahli yang menyumbang dan menambah kalut lagi keadaan yang ada.

Tugas dan tanggungjawab hakiki para ulamak amat jarang diperbahaskan dalam masyarakat kerana masyarakat masih menghormati institusi ulamak. Seolah-olah para ulamak mempunyai imuniti tersendiri. Para ulamak harus ingat bahawa mereka mempunyai beban dan tanggungjawab secara langsung kepada Allah dan rasul untuk menyebarkan kefahaman yang benar-benar menepati suruhan sebagaimana yang dikehendaki oleh kitab suci dan sunnah nabi.

Kita tidak mahu para ulamak digambarkan seperti se ekor burong yang penuh bersalut dengan ayat-ayat suci al-quran tetapi akhirnya hinggap ke tanah dan memakan tahi di jalanan.

Para ulamak harus tahu meletakkan diri mereka ditempat yang sepatutnya sesuai dengan kesucian dan status mereka sebagai penyimpan khazanah ilmu ketuhanan. Mereka tidak boleh terlibat dengan perkara-perkara yang menimbulkan syubahat dan fitnah dalam masyarakat.

Sudah disebut dalam posting yang lalu, saki baki para sahabat nabi yang masih hidup di zaman tabiin begitu takut untuk memberikan pandangan apabila dirujuk oleh para tabiin berkaitan sesuatu perkara yang tidak dapat diputuskan. Takut mereka adalah kerana memikirkan bebanan yang bakal ditanggung seandainya pandangan mereka akan mendatangkan musibah kepada masyarakat.

Di sinilah dugaan terbesar para ulamak, samada mereka cenderung untuk mendahulukan kepentingan agama atau mendahulukan kepentingan fahaman politik kepartian. Samada mereka mendahulukan dunia atau mengutamakan akhirat. Samada mereka mendahulukan hukum Allah atau ijtihad sendiri yang sering berubah-ubah.

Dalam kitab Imam Ghazali ada diterangkan dengan jelas berkaitan ciri-ciri ulamak dunia dan ciri-ciri ulamak akhirat. Siapa yang termasuk di kalangan ulamak dunia dan siapa yang tergolong di kalangan ulamak akhirat.

Wahai para ulamak pewaris nabi…tolonglah pandu umat nabi Muhammad SAW keluar dari kegelapan menuju jalan yang ditunjukki oleh baginda. Janganlah mengkhianati amanah yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad ke atas pundak kalian hanya disebabkan oleh suatu isu yang melibatkan survival politik kepartian dan maruah puak serta kabilah. Kalian terlalu suci untuk meletakkan diri dalam syubahat dan fitnah dunia!

Kamu menyeru masyarakat supaya jangan menjadi asabiyyah tetapi apabila sampai kepada perkara yang boleh menjejaskan puak dan kabilah sendiri, maka kamu menjilat kembali ludah tersebut atas nama ‘ijtihad’ yang dibolehkan. Janganlah permainkan agama Allah.

Kami yang jahil tidaklah seberat kalian untuk dihisab segala ilmu dan perbuatan di hari pengadilan kelak. Jadilah ulamak akhirat dan jauhi dari tergolong di kalangan ulamak ‘suuk’. Janganlah mengulangi peristiwa mantan ketua para malaikat sebelum Jibrail A.S yang bernama Azaazil. Begitu hampir dengan Allah, memiliki segala ilmu Allah dan segala doa dimakbulkan tetapi akhirnya telah dilaknat Allah. Dilaknat kerana merasakan diri terlalu hebat dan hampir dengan Allah sehingga terlupa mendoakan keselamatan diri sendiri.

Kenapa hanya disebabkan persoalan liwat, benar berlaku atau tidak, Saiful atau Anwar yang benar atau soal kaedah mana harus disiasat, dijadikan sandaran untuk meraih secebis keuntungan dunia. Orang jahil ditipu syaitan cukup dengan arak, judi dan zina. Syaitan tidak bodoh untuk menyesatkan ulamak dengan perkara-perkara maksiat sebegini.

Tidak mungkin syaitan menggoda ulamak supaya berjoget sambil minum arak dengan GRO di hadapan khalayak. Sudah pasti syaitan akan melakukan penipuan dan menggoda para ulamak melalui jalan agama, fatwa-fatwa, ijtihad dan ayat-ayat quran serta hadis. Kelihatan fatwa bersandarkan al quran dan hadis, tapi disebabkan tersedik kepentingan puak dan bukan semata-mata bermaksud mencari kebenaran, akhirnya fitnah bertambah melata dan rakyat makin keliru lantaran muntahan fatwa dan hukum yang berbeza-beza dari pelbagai jenis ulamak. Maka akhirnya jerat si syaitan terhadap ulamak juga yang mengena…!

Awaslah wahai AHLULLAH!… akan tipu daya syaitan.

1 comment:

  1. Dalam hal mubahalah, saya lihat ulama berrpihak menyebelah anwar.

    Saya lihat hanya Mufti Perlis sahaja yang bersikap pro-mubahalah berdasarkan untuk mententeramkan masyarakat yang rata2 yang berpihak.

    Yang jelas, Harussani, Nik Aziz, Harun Din, Hadi dan beberpa yang lain mengambil pandngan yang berbau politik dari berhukum benar2.

    ReplyDelete