Allahyarham Dato Razali Ismail menang di Parlimen Kuala Terengganu walaupun ke semua 3 calon UMNO yang bertanding di peringkat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu kalah dalam PRU12 yang lalu.
Tapi di peringkat pemilihan parti yang baru lalu, Allahyarham kalah dalam perebutan jawatan Naib Ketua Bahagian dan juga pemilihan G7 ke Kuala Lumpur. Lebih pelik lagi, Allahyarham kalah kepada calon yang ditolak majoriti pengundi dalam PRU12 lalu.
Dari apa yang berlaku, nampak jelas pemikiran perwakilan UMNO songsang dengan suara majoriti rakyat. Pemimpin yang popular dan diterima rakyat telah ditolak oleh perwakilan parti.
PRK Kuala Terengganu yang bakal berlangsung nanti adalah ujian getir bagi masa depan UMNO. Pemilihan calon amat penting bagi memastikan kemenangan UMNO dan BN. Jika kepimpinan parti mengutamakan calon yang menang dalam pemilihan parti, ada kemungkinan mereka akan ditolak sekali lagi oleh pengundi dalam PRK itu nanti. Tapi jika dipilih pula calon yang tidak memegang jawatan di bahagian, wujud pula kemungkinan akan disabotaj oleh kepimpinan parti di bahagian.
Kedua-dua faktor ini boleh menjadi pembunuh bersiri kepada UMNO. Keyakinan masa depan parti di kalangan ahli umno, rakan komponen dan juga rakyat keseluruhan sudah pasti akan semakin terjejas.
Sebenarnya, inilah dilema paling ditakuti berlaku pada pemilihan parti peringkat pusat Mac nanti. Takut perwakilan sekali lagi bertindak songsang dengan persepsi dan kehendak majoriti ahli dan rakyat yang mengundi dalam PRU 13 nanti. Rakyat dan ahli akar umbi mahukan seseorang yang pada persepsi mereka mempunyai ciri-ciri yang boleh diterima rakyat tapi perwakilan pula memandai-mandai pilih pemimpin ikut selera semasa mereka.
Bagaimana parti mahu pulih kalau begitu keadaan yang berlaku? Dikhuatiri UMNO akan membilang hari untuk tumbang dari tampuk kekuasaan. Bila mana komponen sudah tidak yakin lagi dengan BN, maka tamatlah riwayat pemerintahan yang bertunjangkan UMNO. Sekarang mereka terang-terangan sudah berbahasa lain dalam banyak perkara termasuklah soal dasar parti dan negara. Mereka hanya menunggu cara untuk menghalalkan mereka meninggalkan UMNO terkonteng-konteng.
Teringat kembali sejarah Berjaya dan Usno yang bergaduh menyinsing lengan siang dan malam, akhirnya PBS yang berkuasa. Setelah PBS berkuasa, baru tersedar kuasa sudah hilang. Maka berpeluk dan bertangisanlah pemimpin Berjaya dan Usno menyesali kesilapan mereka. Tapi tangisan keinsafan itu tidak membantu mereka untuk berkuasa semula… Nasi sudah menjadi bubur.
…tapi MB Negeri Sembilan suka makan bubur. Kalau dah jadi bubur siapkan saja rempah ratusnya, jadilah bubur lambuk. Sedap juga dimakan…Kalau dah jenis ‘bega’, langit pun nak ditongkat….
Wallahualam..
No comments:
Post a Comment