Monday, December 22, 2008

POLITIK KUASA DALAM UMNO: LAIN YANG DIRANCANG, LAIN YANG JADI.

Rupanya ada juga yang nak ambil kesempatan main isu perlantikan PM Thailand yang baru dan buat teori domino. Perlantikan PM paling muda dan bijak yang berlaku di Thailand akan sampai ke Malaysia. ‘Kalau di Thailand lulusan Oxford jadi PM, tak mustahil di Malaysia juga akan menampilkan PM lulusan Oxford yang pertama’, katanya.

Politik ‘tumpang tui’ ni adalah satu kaedah percuma untuk mengharap agar mereka beroleh nasib yang sama seperti orang lain. Teringat lagi masa Anwar Ibrahim buat persiapan untuk jadi PM dulu (Percubaan masa dalam UMNO. Bukan percubaan 16 September tu). Kebetulan ketika itu, Bill Clinton dan kemudian, diikuti Tony Blair jadi Presiden dan PM pada usia muda.

Maka disebar luaslah isu Clinton dan Blair di dada-dada akhbar oleh pencacai politik ‘tumpang tui’ bahawa dunia sedang beralih angin dan lebih cenderung memilih PM dan Presiden muda dan dinamik. Negara kita juga tidak ketinggalan dan bakal mendapat PM muda.

Akhirnya, hanya penduduk tembok Sungai Buluh sahaja yang merasa nikmat mendapat PM muda. Rakyat Malaysia yang lain sampai sekarang belum merasa PM muda.

Kadang-kadang bila manusia sudah terlalu desperado mengejar cita-cita dan mileage politik supaya dilihat layak memimpin, dia akan jadi macam orang lemas di sungai. Apa yang lalu depan mata semua hendak dicapai. Ranting kayu hanyut pun dipaut untuk dijadikan tempat bergantung.

Sudah terlalu banyak kisah untuk dijadikan contoh teladan. Dalam negara pun kita boleh lihat. Siapa juga yang terlalu berstrategi siang dan malam merancang untuk jadi PM, semuanya gagal. Siapa saja yang cuba ambil kesempatan mengguna segala ruang, kuasa, harta (wang) dan apa juga untuk mengumpul pengaruh agar orang menyokong mereka untuk jadi PM, semuanya tersadai di tepi jalan.

Kalau kita kata mereka terkena sumpahan tanah air ketuanan Melayu, nanti warganegara Malaysia yang lagi satu marah pula. Nak kata sumpahan keramat Umno berdaulat, nanti ada pula orang kata syirik.

Jalan menuju ke kerusi PM tak semena-mena terbuka untuk Tunku Abd Rahman bila YDP Umno dikosongkan oleh Dato Onn. Tun Razak yang taat kepada bos tanpa banyak politiking akhirnya jadi PM. Tun Hussein pun tidak rancang apa-apa untuk duduk di kerusi PM. Ruang untuk beliau terbuka secara tiba-tiba bila Tun Dr Ismail meninggal dunia.

Tun Mahathir pun sama. Tahun 72 kalah bertanding Naib Presiden, tahun 74 jadi menteri kabinet buat pertama kali, tahun 75 menang Naib Presiden no.3, alih-alih jadi TPM tahun 76 bila Tun Razak meninggal mengejut. Tahun 81 terus jadi PM.

DS (Tun in the waiting) Pak Lah pun tak beria-ia sangat merancang nak jadi PM. Malah telah terpelanting keluar dari hairaki kepimpinan pada tahun 1993 oleh orang yang berhajat besar untuk jadi PM. Tapi akhirnya orang yang berhajat besar tu yang terpelanting balik. Pak Lah juga yang dapat duduk di kerusi empuk yang melenakan.

Di antara PM ke PM yang betul-betul jadi ni, banyak nama-nama besar timbul dan dikatakan layak dan bakal menjadi PM. Dato Onn, Tun Sardon, Tun Dr Ismail, Dato Harun, King Ghaz, Ku Li, Tun Musa, Tun Ghafar, DS Anwar dan ramai lagi.

Di kalangan nama-nama ini ada juga yang buat perancangan rapi untuk jadi PM. Akhirnya yang tidak buat apa-apa perancangan rapi juga yang ditabal. Kadang-kadang depa pandai baca ayat “wamakaru wamakarullah…” tapi bila sampai batang hidung sendiri hanya dapat bau tapi akhirnya tak jadi PM, mereka tak mahu terima hakikat pula. Mereka kalih pulak ayat Allah ni ke lain….ikut selera dan keperluan mereka.

Itu sebablah “mangko eh” jangan terlebih-lebih sangat merancang sampai kita rasa perancangan kita lebih licik dari perancangan dan ketentuan Allah.

Siapa sangka segala perancangan yang telah dirangka oleh orang yang bercita-cita besar untuk berkuasa dalam parti melalui jalan pintas dan ‘protective’ sebelum PRU 12 terbatal dengan sendirinya bila Umno/BN hampir hilang kuasa selepas 8 Mac?

Semua option, pelan A, B atau C terpaksa diolah semula apabila hasil PRU 12 telah mengakibatkan orang yang selama ini memberi perlindungan politik kepadanya terpaksa serahkan kuasa. Kini dia terpaksa bersaing dalam alam meritokrasi tanpa dasar perlindungan, tanpa hak keistimewaan dan tanpa ketuanan politik.

Kita kena ambil maklum, ‘Trend’ pemilihan parti Mac 2009 akan datang ini, tidak termasuk dalam perancangan sesiapa pun sebelum PRU 12. Tiada siapa yang terbayang suasana ini ketika itu. Lain yang dirancang lain yang terjadi.

Jadi, jangan asyik dok baca ‘wamakaru’ tapi tak terbawa dek badan. Dalam masa yang sama kena faham juga maksud “Qulilla huma ma…” wirid lepas sembahyang tu…Allah berkuasa memberi dan mencabut kuasa kepada dan dari siapa yang Dia kehendaki….Allah juga berkuasa memulia dan menghina sesiapa yang Dia kehendaki…

Ops..cukup.. cukup. Tak mahulah main ayat-ayat tuhan untuk politik dunia yang tak berapa bersih ni. Nanti kalau terlalu pandai kudakan agama untuk gamit kuasa tak dapat pulak jadi PM…

Dah. Salam.

2 comments:

  1. rancak bana tulisan eh... tapi apa nak buat, dio org semuo pandai cakap, bilo buek ... haram!!!
    termasuk lah ese ni ha. golo dek eh!!

    keep up the good work
    salam..

    ReplyDelete
  2. koi dok menyengat tuuuu... bila nak p terengganu. tapi kena pesan kat depa yang betanding tu "wama karu...", pun macam tu kena gak pesan dengan team yang kalah baru2 ni kena terima hakikat laa, jgn dok sabotaj plak.

    Biaq kalah kena tikam di depan, jangan kalah kena tikam belakang....

    jangan amalkan main belakang , jangan ikut budaya orang....

    ReplyDelete