Semua negara bersetuju bahawa kemelesetan ekonomi sedang melanda dunia. Semua pakar-pakar ekonomi dan kewangan juga bersetuju, kelembapan ekonomi dunia yang sedang dan bakal berlaku adalah di antara yang terburuk sejak kemelesetan pada 1930an.
Pekerja asing yang tidak tahu apa-apa pasal ekonomi juga mengakui hakikat ini. Ramai di antara mereka yang bekerja di sektor ladang dan binaan, ada yang sudah pulang, ada yang kapan akan pulang dan ada juga pulang berkapan kerana bot karam. Bermakna, mereka juga sudah merasa bahang kelembapan yang sedang berlaku.
Sambutan Tahun Baru Cina juga belum menampakkan kemeriahan seperti tahun babi, singa atau ular. Orang melayu yang tidak semewah orang cina dari segi ekonomi lebih meriah sambutan hari rayanya. Di sini pun kita nampak betapa fahamnya komuniti cina tentang masalah ekonomi.
Mantan arkitek ekonomi dan kewangan negara, Tengku Razaleigh Hamzah merangkap mastermind DEB, merangkap mantan Pengerusi Bank Dunia, Asian Development Bank dan Islamic Development Bank yang beribu pejabat di Jeddah, merangkap mantan Menteri Kewangan, merangkap pengasas Bank Bumiputera, merangkap perintis penubuhan Bank Islam bukan hadhari, merangkap perintis penubuhan PNB, Pernas dan lain-lain lagi, sudah pun melontarkan kerisauan yang sama dan menyarankan supaya kerajaan mengakui realiti ini. Beliau menyeru agar tidak ada pihak yang dihinggapi penyakit sindrom penafian masalah ekonomi.
Arkitek Islam Hadhari menyanggah pandangan mantan arkitek ekonomi dalam soal isu ekonomi. Dia mendakwa Tengku Razaleigh tidak ada akses kepada data-data dan maklumat yang ada pada kerajaan.
Mungkin data-data dan maklumat yang tidak boleh diakses oleh siapa-siapa ini telah menyatakan sebaliknya. Itu sebab arkitek Islam Hadhari begitu yakin menyanggah pandangan yang secara tidak langsung telah memperlekehkan pandangan mantan arkitek ekonomi negara.
Secara tidak langsung juga, ini membayangkan bahawa mereka-mereka yang sependapat dengan Tengku Razaleigh juga telah tersilap baca. Di antara mereka-mereka yang tersilap ini termasuklah pakar-pakar ekonomi yang berada di bank dunia dan lain-lain pakar di institusi kewangan terkemuka yang lain.
Adakah penelitian yang dibuat oleh arkitek ekonomi yang benar atau laporan yang dibaca oleh arkitek hadhari tentang ekonomi yang tepat? Atau data dan maklumat yang diperolehi oleh arkitek hadhari telah dimanipulasi?
Apakah arkitek Islam hadhari akan mengulangi kehebatan Tun Mahathir yang telah berjaya membuktikan IMF dan konvensional kapitalis tersilap formula dalam usaha menangani krisis kewangan yang melanda negara-negara asia dalam tahun 1997/98 dulu? Tun Mahathir berjaya buktikan preskripsi beliau lebih tepat dalam membawa negara keluar dari kemelut ekonomi.
Jika arkitek hadhari boleh membuktikan bahawa mantan arkitek ekonomi dan seluruh pakar serta penganalisis tersohor tersilap telahan tentang kemelesetan ekonomi dunia, maka dia lebih hebat dari Tun Mahathir.
Tun Mahathir dulu hanya berjaya mengatasi krisis kewangan peringkat asia pasifik. Arkitek hadhari pula berjaya mengatasi kemelesetan ekonomi peringkat global. Pencapaian yang bakal diperolehi oleh arkitek hadhari dalam masalah ‘architecture’ ekonomi dunia ini, tentu sekali melebihi 2 kali ganda pencapaian Tun Mahathir.
‘Multiple state of denial syndrome’ yang sedang dihidapi oleh arkitek Islam hadhari ini amat kronik. Kemerosotan politik pasca PRU 12 tidak diakui, kini masalah ekonomi juga turut dinafi.
Penyakit kencing manis dirujuk pada psikiatris. Penyakit kemurungan dirujuk ke unit pathology. Terkena sampok yang patut dirujuk pada tok bomoh, dirujuk pulak pada doktor gigi.
Adakah hanya kerana ingin menjaga ‘sejambak EGO’ seperti menatang minyak yang penuh….segala pandangan dan cadangan untuk selamatkan negara, ditong sampahkan begitu saja walau pun ianya baik.
Hanya kerana takut orang lain dilihat lebih wibawa dan popular disebabkan cadangannya yang bernas, maka terpaksa mengambil sikap bodoh sombong dan teraba-raba mencari formula lain sehingga terambil formula dari pakar tikus yang telah berjaya membaiki labu…
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment