Saturday, February 28, 2009

PEGUAMBELA : ANTARA YURAN DAN 'THE RULE OF LAW...

Kadar penggunaan peruntukan perundangan dan sistem kehakiman meningkat begitu mendadak sejak kebelakangan ini. Semua pihak cuba mempergunakan setiap ‘loopholes’ perundangan demi kepentingan politik dan bukan di atas maksud ‘The Rule of Law’.

Manipulasi terhadap peruntukan undang-undang ini sudah begitu leluasa sehingga apa juga hal-ehwal yang berlaku akan dikaji samada wujud atau tidak peruntukan undang-undang yang membolehkan mereka untuk ambil kesempatan. Jika terdapat ruang dan peluang melalui tafsiran tertentu, maka mereka akan gunakannya sebaik mungkin.

Sistem keadilan membenarkan sesiapa juga, termasuk yang memang sah telah melakukan pembunuhan atau melakukan kecurian untuk dibicara dan diberi hak untuk membela diri.

Peguambela pula, walaupun mengetahui bahawa tertuduh memang suspek sebenar, dia akan tetap membela pelanggannya dan akan mempergunakan segala ruang perundangan untuk membebaskan suspek dari tuduhan tersebut.

Di sini, keutamaan adalah yuran professional dan bukan soal mencari kebenaran. Misi utama peguambela adalah untuk memastikan agar status kebenaran menyebelahi mereka, walau pun pelanggan mereka sebenarnya memang bersalah. Ini memang proses dan kelaziman perundangan.

Kelaziman ini telah menyebabkan terbitnya ruang memanipulasi peruntukan undang-undang yang ada agar hujah dan tafsiran perundangan akan menyebelahi mereka atau pelanggan mereka.

Hasilnya undang-undang boleh dijadikan senjata dan perisai untuk menyerang lawan dan mempertahankan diri.

Apa akan jadi dengan ‘proses mencari kebenaran dan keadilan’ kalau dengan kepakaran yang dimiliki oleh seseorang peguambela, tertuduh yang benar-benar melakukan sesuatu kesalahan berjaya dipertahankan dan akhirnya didapati tidak bersalah hanya disebabkan kelebihan teknikal?

Apa akan jadi kepada kredibiliti pendakwa jika mereka gagal membuktikan kesalahan yang melampaui keraguan munasabah, walau pun suspek tersebut memang telah melakukan sebagaimana yang dituduh?

Apa pula akan jadi dengan hak kebenaran dan hak keadilan yang sepatutnya diperolehi oleh mangsa?

Apa pula akan jadi jika senario ini berjangkit kepada perkara-perkara penting dan pokok seperti pertikaian tentang hak dan bidang kuasa seorang raja berperlembagaan?

Apa akan jadi kepada negara kita, jika semua institusi-institusi ‘separation of power’ ini berjaya dicemar dan dijatuhkan kredibilitinya oleh mereka-mereka yang pakar dalam memanipulasi segala peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya?

Apa implikasinya jika ada di kalangan peguam yang berfikir secara luar kotak mentafsir sesuatu peruntukan undang-undang hingga kerajaan yang sah pun berjaya dinyahkan gara-gara manipulasi dan tafsiran perundangan?

Seluruh enjin pentadbiran sesebuah negara berdaulat akan rosak binasa jika tafsiran perundangan diletakkan secara total kepada lidah para peguam yang berkepentingan politik.

Etika dan profesionalisma seseorang peguam boleh dipertikaikan apabila mereka pada masa yang sama mempunyai kepentingan politik. Peguam politik sepatutnya tidak layak melabelkan diri mereka sebagai penegak ‘The Rule of Law’, jika keutamaan mereka adalah soal kuasa dan politik.

Seseorang YB atau menteri tidak boleh terlibat dalam perniagaan. Kenapa pula mereka yang terlibat secara langsung dengan perjuangan menegakkan ‘The Rule of Law’ dibenarkan bebas aktif dalam politik? Apakah tidak wujud percanggahan kepentingan di sini? Mampukah mereka mentafsir secara adil soal-soal perundangan yang melibatkan kepentingan politik parti yang mereka wakili?

Apakah kita sanggup melihat negara ini hancur hanya disebabkan kebolehupayaan ahli-ahli majlis peguam mentafsir perlembagaan dan undang-undang yang melampui keraguan munasabah melalui hujah-hujah teknikal perundangan untuk mencapai agenda politik mereka?

Di mana harus diletakkan garis sempadan tafsiran perundangan ini?

‘The Rule of Law’ wajib dijunjung tetapi jika elemen etika, moral, tanggungjawab & pertanggunjawaban, kesopanan & kesusilaan serta keluhuran jiwa kepada negara tidak dikesampingkan dalam mereka menjunjung ‘The Rule of Law’ , maka tiada bezanya ‘The Rule of Law’ dengan ‘Rule of the jungle’.

Bezanya hanya pada akal. Kehidupan di hutan berjalan tanpa akal, manakala kerajaan manusia berjalan dengan menggunakan akal.

Akal pula sudah diguna ‘lawyer politik’ untuk memperkudakan ‘The Rule of Law” bukan di atas maksud menjunjung undang-undang tetapi di atas maksud politik.

Siapa boleh tolong bantu, tolonglah fikir masalah ini ….

1 comment: