Monday, April 5, 2010

BOLEH UBAH DAN TAK BOLEH UBAH

MEB bahagian 1 sudah diumum. Bahagian 2 akan menyusul bulan Oktober.

Secara umumnya ia merupakan model baru ekonomi bagi memacu dan melonjak ekonomi negara untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.

Ini merupakan tanggungjawab hakiki semua kerajaan di dunia. Perkara-perkara asas dalam membangun negara antaranya termasuklah membangun ekonomi dan taraf sosial masyarakat. Kesan akhir yang ingin dilihat dari pembangunan sesuatu negara adalah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Perkara pertama yang perlu dilakukan selepas sesuatu dasar digubal ialah, bagaimana kaedah ianya dilaksanakan. Ke dua ialah, adakah perlaksanaan ini mencapai matlamatnya. Ke tiga pula ialah, adakah pencapaian matlamat ini benar-benar di atas memberi keadilan dan kesaksamaan kepada segenap lapisan rakyat.

Apakah pengagihan ini sudah mengambil kira faktor-faktor holistik, makro dan mikro. Adakah pengagihan ini sudah mengambil kira faktor-faktor asas yang wujud di sesebuah negara . Faktor-faktor asas ini termasuklah kepelbagaian etnik, kepercayaan dan budaya, latar belakang taraf hidup pelbagai kelompok rakyat dan lain-lain. Adakah wujud jurang yang besar atau tidak di dalam asas-asas ini.

Apakah juga model ekonomi ini turut mengambil pertimbangan dan rukun-rukun boleh ubah dan tidak boleh diubah. Apakah rukun dan faktor yang boleh ubah dan tidak boleh diubah?

Jika dalam sembahyang, antara perkara-perkara yang tidak boleh ubah ialah 13 rukun yang sudah ditetapkan, kiblat, cara berwudhu dan menutup aurat . Pelanggaran atau peninggalan terhadap mana-mana rukun ini akan menyebabkan sembahyang terdedah kepada ‘batal’ atau tidak sah. Asas ini tidak boleh diubah walau di zaman apa pun, samada zaman kemajuan, kemunduran atau kemelesetan. Perkara boleh ubah ialah seperti cara pemakaian, tetapi tidak boleh melanggar syarat aurat bagi lelaki atau perempuan. Bangunan masjid boleh dibuat ikut macam mana pun, tetapi kiblat tetap tidak boleh diubah. Air untuk berwudhu pun sama, ambillah air wudhu di sungai, melalui paip atau perigi asalkan ia suci dan melebihi 2 kolah. Suci dan melebihi 2 kolah itu yang tidak boleh diubah.

Dalam membangun ekonomi negara juga begitu. Perancangan mesti mengambil pertimbangan-pertimbangan asas yang mana boleh dan tidak boleh diubah.

Apa saja yang sudah termaktub dalam kitab perlembagaan negara adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan tidak boleh disentuh. “Enshrine”, kata orang undang-undang.

Sebarang pelanggaran yang dilakukan terhadap apa yang sudah termaktub dalam kitab perlembagaan ini boleh dianggap sebagai tidak taat atau derhaka kepada negara. Sesuatu pembangunan yang dilakukan tanpa mengikut hukum-hukum yang telah termaktub dalam kitab perlembagaan negara, juga boleh dianggap tidak sah atau batal. Dalam hal ini ia boleh menjurus kepada ketidakadilan di dalam masyarakat. Tidak adil bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Ia semaksud dengan makna zalim.

Dalam perlembagaan tiada hukuman khusus yang dikenakan kepada sesiapa yang melanggarnya. Tetapi hukuman terhadap pihak-pihak yang engkar atau derhaka boleh dikuatkuasakan melalui instrumen penguatkuasaan atau mana-mana ordinan yang telah diwujudkan oleh kerajaan seperti ISA, akta darurat, akta OSA dan lain-lain.

Berbalik kepada soal MEB. Adakah MEB yang diumumkan, sudah mengambil kira semua faktor dan pertimbangan-pertimbangan yang sudah dijelaskan ini?

8 inisiatif pembaharuan strategik yang diumumkan oleh MEB seperti menyubur sektor swasta, membangun tenaga kerja, mencerna daya saing ekonomi domestik, memperkukuh sektor awam, tindakan affirmative yang telus dan mesra pasaran, membangun infrastruktur, meningkatkan sumber pertumbuhan dan memastikan pertumbuhan mapan ,adalah termasuk dalam perkara-perkara boleh ubah mengikut kesesuaian masa, tempat dan keadaan setempat. Ini dikatakan kaedah pelaksanaan.

Faktor tidak boleh ubah ialah perkara-perkara yang berhubungkait dengan perlembagaan seperti kedudukan dan hak setiap kaum, hak Islam sebagai agama persekutuan, hak-hak kebebasan mengamalkan kepercayaan oleh bukan Islam, hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan raja-raja Melayu dan lain-lain yang telah dimaktubkan.

Hak-hak ini apabila diterjemah dalam realiti kehidupan, maka kita akan melihatnya dalam bentuk kek ekonomi, sosio-budaya masyarakat dan pendidikan. Di sinilah wujudnya apa yang diperkatakan tentang hak-hak rakyat. Di sinilah tindakan affirmative diperlukan bagi memastikan pelaksanaan MEB ini berjalan mengikut pendulum-pendulum yang telah disebutkan ini. Apa yang telah digariskan oleh perlembagaan ini tidak boleh terjejas walau pun seinci.

Soal membasmi kemiskinan rakyat yang berpendapatan RM1500 ke bawah amatlah baik. Ia membawa kepada perpindahan taraf hidup rakyat dari golongan kelas bawahan kepada golongan kelas menengah. Jika mengikut MEB selepas 2020, hanya golongan berpendapatan kelas menengah dan golongan berpendapatan tinggi saja yang akan mendiami negara ini selepas 2020.
Pertumbuhan sektor swasta dan peningkatan pertumbuhan sektor domestik akan berkait secara langsung dengan faktor tenaga kerja tempatan dari segi pendapatan sebagai pekerja. Secara realitinya mungkin sasaran 40% golongan berpendapatan di bawah RM1500 boleh dicapai dan tidak menjejaskan kedudukan mana-mana kaum, jika sasaran pertumbuhan berjaya dicapai.

Tetapi dari pemilikan sektor swasta dan sektor domestik itu sendiri bagaimana? Adakah ia akan wujud pengagihan adil untuk semua kaum. Apakah jika ada pihak yang cuba memperjuangkan nasib kaum yang ketinggalan boleh dianggap sebagai tindakan rasis? Apakah kita dianggap berfikiran 1Malaysia apabila kita membiarkan jurang kekayaan negara ini melebar hanya disebabkan kita mahu berpegang teguh dengan liberalisasi, meritokrasi dan kesamarataan?

Siapa sebenarnya yang opportinis? Adakah orang yang dituduh oleh Nazri itu yang opportunis atau si Nazri sendiri yang opportunis? Siapa yang selalunya jatuh dalam kategori opportunis? Adakah golongan berpendapatan rendah atau golongan kapitalis? Kerajaan lebih berkewajiban membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin dan sederhana kepada tahap kehidupan yang lebih baik dari membantu golongan kapitalis kaya yang mahu mencapai taraf ‘self actualization’.

Di manakah penekanan yang bakal difokuskan oleh jawatankuasa kesamarataan? Letaklah atas nama apa pun, sama ada nama jawatankuasa keadilan atau kesaksamaan mahu pun kesamarataan, tapi jawatankuasa ini seharusnya bertindak memastikan wujudnya keseimbangan dalam 'opportunity' dan jurang kehidupan antara kaum dihapuskan.

No comments:

Post a Comment