Wednesday, October 20, 2010

UCAPAN MUHYIDDIN SETARAF DATO ONN DAN TUNKU..

Amanat TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO semasa perasmian 3 sayap amat tepat, jelas dan tiada siapa yang boleh mempertikaikannya. Itulah realiti sebenar sama ada dari segi sejarah mahu pun dari segi keperluan masa depan bagi negara.

Tiada sesuatu yang baru pun diucapkan oleh TS Muhyiddin. Semuanya ulangan sejarah dan apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan parti dan juga perlembagaan negara. Walau pun ucapan beliau menyentuh tentang sejarah, tetapi ia se olah-olah satu suntikan semangat baru bagi umat Melayu khususnya bagi golongan muda dalam parti.

Jika di amat-amati ucapan beliau dan kita mengimbau apa yang sedang berlaku sama ada dalam politik, hubungan kaum dan segala isu yang diperdebatkan tanpa kesudahan oleh pelbagai pihak hari ini, kita menjadi hairan kenapa suasana tidak selesa yang terjadi hari ini boleh berlaku hingga tahap yang sukar dibendung.

Hari ini kita lihat kefahaman bagaimana untuk hidup bernegara secara inklusif dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan pada persepsi sesama rakan komponen dalam BN semakin bercelaru dan tersasar. Keadaan ini lebih kronik jika kita baca dan dengar pandangan dari pakatan pembangkang. Se olah-olah tidak ada titik pertemuan bagaimana mahu hidup mengikut cara yang terbaik dan menang-menang di dalam kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini. Senario yang wujud se olah-olah negara ini baru mahu dibina dan baru mahu dibebaskan dari penjajah. Pelbagai pihak memperdebatkan dan memaksa orang lain mengikut kefahaman yang mereka mahu bagaimana mahu menyusun masyarakat, bagaimana mahu berekonomi dalam keadaan kepelbagaian kaum dan bagaimana mahu hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai anutan kepercayaan.

Perdebatan seperti ini tidaklah menghairankan jika ia berlaku pada zaman pra-kemerdekaan. Tunku Abd Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan ramai lagi berbahas, berbincang dan berhujah bagaimana negara ini mahu dibentuk untuk kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan. Ketika itu lebih kronik kerana mereka terpaksa menyelesaikan status pendatang dari china dan india, sama ada mahu dihantar pulang kampung atau dihantar ke Great Britain ataupun mahu dijadikan warganegara di sini.

Mereka juga terpaksa memikirkan bagaimana mahu menyusun kehidupan bernegara jika kaum pendatang ini diputuskan menjadi warganegara. Apabila sudah jadi warganegara bagaimana mahu dijaga dan dilindungi segala kepentingan sah mereka. Bagaimana mahu dilindungi kepentingan sah dan hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh kaum asal. Mereka juga terpaksa memikirkan soal kedudukan ekonomi antara kaum-kaum ini. Mereka juga terpaksa memikirkan bagaimana untuk mengelak dan mengurus ketegangan dan persengketaan jika terjadi di antara kaum-kaum ini. Mereka juga terpaksa memerah otak bagaimana rakyat berbilang kaum ini mahu mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing. Mereka terpaksa meyakinkan dan merayu seluruh umat Melayu dan bumiputera agar sedia melakukan pengorbanan, menerima dan mengiktiraf kaum pendatang ini sebagai sebahagian dari warga di tanah air ini.

Mereka terpaksa pula menggubal pelbagai dasar yang dipersetujui bersama bagi membolehkan semua masalah dan persoalan yang ditimbulkan ini dapat memuaskan hati semua pihak.

Akhirnya, selepas mendapat persetujuan semua pihak barulah semua perkara ini dimaktubkan di dalam perlembagaan negara dan diisytiharkan sebagai sesuatu yang sensitif dan tidak boleh disentuh langsung oleh mana-mana pihak dan kaum.

Perkara-perkara asas dan pokok yang melibatkan soal agama, kepentingan sah semua kaum dan hak-hak perlindungan terhadap segala kedaulatan kaum asal seperti Raja-raja Melayu, tanah rezab dan lain-lain hak keistimewaan adalah antara perkara paling penting yang telah di maktub dan diikat di dalam perlembagaan.

PERLU DIINGAT, INILAH PERJANJIAN YANG AKHIRNYA TELAH MEMBAWA NEGARA KE ARAH KEMERDEKAAN DAN SEHINGGA KINI, NEGARA INI MASIH SELAMAT DAN TELAH MENAFIKAN SEGALA RAMALAN PIHAK LUAR YANG MENJANGKA FORMULA YANG DIPERSETUJUI INI AKAN MENYEBABKAN NEGARA INI HANCUR DI DALAM PERSENGKETAAN DAN HURU HARA.

Perjanjian ini tidak akan luput kerana perjanjian yang dipersetujui ini tiada tarikh luput. Selagi ada bulan dan bintang selagi itulah perjanjian ini berkuat kuasa. Perjanjian ini tidak sama dengan perjanjian konsesi tol dan lebuh raya yang ada tarikh luputnya.

Perjanjian dalam alam Melayu bermaksud sama seperti persumpahan janji. Sebarang perlanggaran terhadap persumpahan sudah pasti akan membawa musibah yang bakal menjejaskan beberapa keturunan dan generasi akan datang. Itulah maksud persumpahan janji bagi alam Melayu raya. Menebus semula sebarang persumpahan yang telah dimungkiri bukanlah semudah menebus barang kemas yang digadai. Kesan dan akibat dari pelanggaran terhadap persumpahan ini tidak mungkin boleh dibayar dengan wang dan nyawa. Ia tidak boleh diganti walau dalam keadaan apa sekali pun, melainkan ia dipersetujui bersama oleh ke dua-dua belah pihak yang telah bersumpah janji. Selagi salah satu pihak tidak bersetuju, maka selagi itulah tidak akan berlaku pindaan terhadap segala perjanjian asal yang telah termeteri.

Perjanjian yang telah dipersetujui dan dimeteri inilah yang telah disebut semula oleh TS Muhyiddin Yassin di dalam amanat beliau kepada sayap-sayap parti semalam.

Golongan yang mengaku mereka menjadi ahli dan pemimpin kepada parti yang telah membuat sumpah janji ini wajib faham dan masak dengan apa yang sewajibnya mereka teruskan sebagai pewaris.

Jika pemegang warisan ini jahil, lalai, alpa dan lari dari garis asas yang telah dimaktubkan di dalam persumpahan ini, maka besar kemungkinan mereka akan dimakan sumpah. Jika individu pemimpin yang menjadi pemegang warisan ini melanggar sumpah janji ini, tidak mustahil mereka akan terkena sumpahan. Jika majoriti ahli yang menganggotai jemaah yang telah beraku janji ini yang sudah jahil, lalai dan lari dari perjuangan mendaulatkan sumpah janji ini, maka kita tidak perlu terkejut jika parti yang telah bersumpah janji ini akan hancur dan tidak lagi disokong oleh majoriti umat Melayu.

Apabila difikirkan betul-betul, terlintas di fikiran mungkin inilah faktor yang menyebabkan UMNO tidak sekuat dulu lagi sehingga ada Melayu yang sudah tidak bangga lagi menjadi orang Melayu, malahan ada Melayu sendiri yang meminta supaya segala hak dan keistimewaan Melayu ini dihapuskan.

Jika Melayu sendiri pun sudah begitu, tidak hairanlah hari ini, pihak yang telah bersumpah janji dengan bangsa Melayu hari ini semakin mengasak dan menyusahkan bangsa Melayu sehingga Melayu hampir-hampir tunduk dan terperosok ke sudut dinding.

Kesan akhir dari perlanggaran sumpah janji ini sudah pasti akan menjalar kepada kegagalan dan kehancuran kepada kehidupan bernegara.

Yang kalah jadi abu. Yang menang jadi arang.

Walau pun api berjaya dipadamkan, ia tetap merbahaya jika puntung masih berasap kerana bila-bila masa api akan kembali menyala bila ditiup angin. Pemimpin UMNO harus pastikan bukan saja api perkauman dipadamkan, malahan pemimpin UMNO juga harus pastikan puntung dihanyutkan.

No comments:

Post a Comment