Sekarang, keadaan telah berubah. Tidak macam dulu lagi.
Keadaan hari ini lebih menguntungkan golongan pemangsa. Jika sesiapa yang menjadi mangsa rogol, hari ini kita sudah tidak boleh lagi membela mereka.
Sesiapa yang membela mangsa rogol hari ini, kemungkinan besar akan mendapat mala petaka disebat dengan 80 rotan, jika mereka gagal membawa 4 saksi yang muktabar. Saksi ini harus melihat secara jelas senjata perogol itu memasuki lubang larangan mangsa rogol tersebut. Jika pengadu atau pembela mangsa rogol ini tidak dapat membuktikan perlakuan pemangsa hingga tahap ini, maka mengikut hukum qazaf, pengadu atau pembela mangsa rogol ini akan dikenakan dengan hukuman 80 sebatan.
Pasangan yang ditangkap khalwat di hotel juga hari ini boleh menarik nafas lega kerana walaupun mereka ditangkap oleh pasukan jabatan agama Islam, mereka masih boleh terlepas dari hukuman jika mereka mendesak dihakimi mengikut hukum qazaf. Mereka boleh terlepas kerana pasukan penguatkuasaan yang lebih dari 4 orang itu hanya setakat mengetahui mereka duduk berduaan di dalam bilik dan mereka tidak layak menuduh perlakuan zina telah berlaku. Jika mereka menuduh tanpa melihat secara jelas perlakuan itu, maka persaksian mereka juga akan tertolak. Apabila perlakuan mereka tertolak maka mereka secara automatik akan dijatuh hukum dengan 80 sebatan setiap seorang.
Menurut para ulamak yang mesra perbuatan zina, Islam tidak menerima pakai persaksian secara saintifik, iaitu melalui ujian DNA. Ulamak mesra perbuatan zina ini juga turut menolak persaksian melalui video, walau bagaimana tulen sekali pun video yang dimaksudkan.
Ulamak mesra zina ini menyatakan, tidak boleh melihat orang melakukan hubungan jenis atau sejenis mahu pun pelbagai jenis.
Ulamak mesra zina juga menyatakan tidak boleh mendedah apa juga perbuatan sumbang yang boleh mengaibkan si pelaku tersebut. Titik. Tak ada dakwa dakwi.
Kita boleh mengambil kesimpulan dari fatwa ulamak mesra zina ini bahawa negara kita sudah benar-benar mengamalkan kebebasan mutlak. Malahan lebih bebas dari negara Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, Presiden Bill Clinton pun tidak boleh lari dari kesalahan berhubung secara sulit dengan wanita simpanannya.
Di Malaysia, sesiapa saja yang cuba mendedahkan perbuatan seperti ini harus bersedia dan berani menerima risiko hukum sebatan sebanyak 80 kali.
Jika benarlah begini caranya perlaksanaan sistem perundangan Islam ciptaan Allah, timbul persoalan di pemikiran kita, adakah sistem keadilan Islam ini sudah ketinggalan dan gagal membaca perkembangan tamadun ummah? Apakah mungkin Allah itu sama seperti kita, bersifat lupa dan lalai sehingga gagal mengetahui kemajuan alam ciptaanNya? Mana mungkin Allah tidak mengetahui kecanggihan teknologi mahupun kerosakan umat manusia dunia akhir zaman ciptaanNya sehingga gagal mengetahui kejadian-kejadian yang bakal terjadi di dekad-dekad terakhir alam ini.
Bukankah walau pun sebutir pasir yang bergerak di dasar lautan juga adalah di dalam pengetahuan dan izin Allah?
Apakah hukum Allah dalam hal perzinaan hanya ‘concern’ dengan hukuman terhadap penuduh dan terlupa untuk memberitahu nabi kekasihnya tentang hukuman terhadap tertuduh yang didapati bersalah?
Para ulamak warisan ambia’ harus bertanggungjawab memperjelaskan apakah maksud sebenar seperti yang diperjelaskan oleh rasul terhadap hukum qazaf yang sedang dimanipulasi oleh puak-puak yang sedang cuba untuk melepaskan diri dari hukuman di dunia.
Para ulamak harus kembali terlebih dahulu kepada tali Allah dan membebaskan diri mereka secara total dari sebarang kepentingan dunia walau pun sebesar zarah.
Jika masih ada golongan ulamak seperti ini, maka mereka harus bangkit menyatakan dan memperjelaskan semua kekeliruan ini walau pun pahit.
Siapa sebenarnya ulamak yang benar-benar muktabar yang boleh kita letakkan kepercayaan hari ini?
No comments:
Post a Comment