Menyambung dari ulasan Maulana Arif di dalam Mingguan Malaysia yang membicarakan soal kemunculan kuasa ke 3, ia memang sesuatu yang amat menarik untuk dianalisa lebih lanjut.
Kuasa ke 3 ini secara lazimnya muncul apabila wujudnya krisis atau peperangan di dalam sesebuah komuniti, negara atau pun organisasi. Setiap kali berlaku krisis, maka akan lahirlah pemimpin atau gerakan alternatif kesan dari krisis yang terjadi.
Krisis perang dunia ke 2, telah banyak membuktikan kelaziman ini. Pergeseran kuasa British/tentera bersekutu dengan tentera Jepun di Tanah Melayu telah melahirkan kuasa Ke 3, iaitu UMNO kesan dari kesedaran sebuah bangsa yang tersepit ditengah-tengah keadaan.
Hampir di seluruh negara yang terlibat di dalam kancah krisis perang ini, akhirnya telah menyebabkan munculnya gerakan kuasa ke 3 ini dan sebahagian besarnya telah diiktiraf oleh rakyat di negara terbabit untuk memimpin negara bangsa mereka.
Krisis di antara kuasa pertama, Berjaya dan kuasa ke 2, Usno di Sabah telah menyebabkan munculnya kuasa ke 3 secara tidak dijangka di Sabah pada tahun 1985.
Krisis perebutan kuasa di Kelantan pada tahun 1978 telah menyebabkan munculnya BERJASA selaku kuasa ke 3, sehingga akhirnua telah berjaya memerintah Kelantan.
Berdasarkan semua fakta sejarah ini, jelas membuktikan bahawa setiap kali berlaku krisis yang genting ditengah-tengah masyarakat, maka akan lahirlah faktor kuasa ke 3 ini. Akan lahirlah pemimpin alternatif dan gerakan alternatif sebagai pengimbang atau sebagai faktor konsolidasi dari penyuraian kepada krisis yang berlaku.
Waima krisis kesesakan lalu-lintas yang berlaku di sesuatu kawasan pun pasti akan wujud penyuraian jalan-jalan atau highway alternatif sebagai penyelesaian dan konsolidasi kepada krisis kesesakan tersebut.
Melainkan jika tiada sesiapa atau tiada apa-apa kesedaran sedikit pun yang lahir dari mana-mana pemimpin atau organisasi dari krisis tersebut, maka barulah fasa konsolidasi ini tidak akan terjadi dan krisis akan terus tambah meruncing. Lihatlah Somalia dan beberapa lagi negara di Afrika. Tiada penyuraian dan tiada penyelesaian.
Melihat kepada krisis kepercayaan agama dan akidah, krisis perebutan kuasa dan politik serta krisis kepimpinan yang semakin menambah barometer perpecahan di kalangan umat yang sedang berlaku di negara ini sejak PRU 12, tidak mustahil akan sampai ketikanya muncul kuasa ke 3 sebagai penyurai kepada penyelesaian secara holistik terhadap kesucian agama, perpaduan bangsa dan terselamatnya negara dari kehancuran.
Saya tidak cenderung untuk bersetuju dengan IMR seperti yang disebut oleh Maulana Arif di dalam Mingguan kerana R yang bermaksud Raja-Raja itu statusnya pada hari ini bukan di dalam kategori yang perlu diselamatkan. Saya lebih cenderung kepada "Raja-Raja itu sebagai penyelamat kepada I yang bermaksud Islam, M yang bermaksud Melayu dan R itu sendiri bermaksud Rakyat dan bukan Raja.
Raja-rajalah seharusnya menjadi kuasa ke 3 sebagai penyelamat dan penyuraian kepada segala kemelut yang berlaku terhadap agama, bangsa dan tanah air yang sedang mencapai tahap RUNCING.
Mereka-mereka yang sedang cuba menempatkan diri menjadi kuasa ke 3 ini harus sedar dan ikhlas akan terhadap apa yang diperjuangkan.
Berapa banyak NGO ke arah ini sedang digerakkan oleh pelbagai pihak. Semua kalangan mereka menyebut tentang perkara yang lebih kurang sama, iaitu tetap berkisar kepada usaha-usaha untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air. Malah sebahagian besar gerakan ini digerakkan oleh "splinter group" politik samada ianya dari pihak BN mahu pun dari pihak pembangkang.
Sebut saja nama-nama besar sepert PERKASA, AMANAH dan yang terakhir, HIMPUN. Semua mereka adalah dari kalangan "splinter group" parti-parti politik.
Kumpulan yang cuba menempatkan diri menjadi kuasa ke 3 ini secara realistiknya tidak akan mampu mengatasi kekuatan kuasa pertama dan kuasa ke 2 yang wujud hari ini. Mereka hanya boleh menjadi kuasa penentu kepada kemenangan samada di pihak kuasa ke 1 atau kuasa ke 2, tapi tidak akan mampu sampai ke tahap menjadi leading entity dalam pembentukan sesebuah kerajaan.
Jika senario ini yang berlaku, maka peranan kuasa ke 3 ini akan menjadi entiti terpenting di dalam pembentukan sesebuah kerajaan.
Persoalannya, apakah kuasa ke 3 ini akan terus konsisten dengan fungsi asal yang mereka war-warkan untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air? Atau apakah ketika itu baru jelas agenda tersirat mereka, iaitu sama seperti parti-parti politik yang lain, hanya setakat untuk mendapatkan kuasa dan berkongsi pemerintahan?
Jika begini senarionya, maka keadaan akan berbalik seperti mana asal. Tidak ada jaminan bahawa kepentingan agama, bangsa dan tanah air akan menjadi lebih baik daripada keadaan sebelumnya.
Apakah ini yang rakyat mahukan? Apakah setakat ini saja agenda yang dikejar oleh penggerak kuasa ke 3 ini?
Maka di atas semua senario inilah saya menyarankan agar sebarang usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan Agama, Melayu dan Rakyat (IMR) harus diusahakan dan seterusnya diletakkan segala kuasa, mandat dan daulatnya kepada yang berhak dan layak melindunginya.
Kuasa ke3 yang diasaskan oleh Dato Onn melalui penubuhan UMNO telah menyelamatkan agama dan bangsa melayu ditempat yang sepatutnya. Dato Onn dan seluruh pemimpin melayu ketika itu hanya menjadikan diri mereka sebagai ALAT DAN PERKAKAS untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air seluruhnya.
Cara mereka menyelamatkan semua khazanah ini adalah dengan meletakkan segala mandat, daulat dan perlindungan keselamatan terhadap segala kepentingan agama, bangsa dan tanah air di bawah kuasa Raja-Raja Melayu
Di atas usaha ikhlas mereka inilah maka hari ini segala kepentingan dan hak-hak keistimewaan melayu dan kepentingan agama telah disimpul mati di bawah kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu. Tiada siapa yang dapat mengusiknya selama mana raja-raja melayu berpegang kepadanya.
Sekarang mari kita tanya kepada kuasa-kuasa ke 3 ini, apakah niat dan nada perjuangan kamu selari di antara satu sama lain? Adakah niat dan nada kamu selari dengan niat dan nada yang terbukti ikhlas dan luhur sepertimana yang telah dilakukan oleh Dato Onn dan UMNO yang dipimpinnya?
Jika benar niat dan nada kamu selari dengan niat dan nada Dato Onn dan Umnonya dulu, kenapa tidak kamu gerakkan massa yang ada dan beritahu seluruh rakyat bahawa tidak ada entiti yang paling ampuh, berkredibiliti, adil, selamat dan dipercayai untuk melindungi agama, bangsa dan tanah air ini serta bebas dari sebarang prasangka dan kepentingan lain melainkan di bawah Daulah Raja-Raja Melayu.
Maka usahakan. Setelah itu serahkan saja segala hak dan kuasa untuk menyelamat dan melindungi seluruh kepentingan agama, bangsa dan tanah air ini kepada mereka yang benar-benar mampu melindungi dan menjaganya.
Bukankah, Islam itu datang dan berkembang ke nusantara begitu mudah kaedahnya? Apabila Islam sudah berjaya masuk ke istana, maka seluruh rakyat jelata turut menerima Islam dengan tangan terbuka kerana ketaatan mereka kepada raja.
Ia sama sekali berbeza dengan cara Islam itu berkembang di tanah arab yang terpaksa bermula dari bawah dan digerakkan oleh golongan marhaen.
Inilah maha kuasa Allah. Hanya pencipta yang tahu cara terbaik agama ciptaanNya harus dikembangkan mengikut kehendak, kesesuaian masa, tempat dan cara hidupnya.
Bagi mereka yang berfikir dan ikhlas, kembalikanlah keadaan dan kepentingan agama, bangsa dan tanah air ini ke tempat asalnya. Di mana ia lahir dan membesar, di situlah tempat paling selamat untuk ianya dilindungi kembali.
No comments:
Post a Comment