PAS akhirnya sama seperti lain-lain parti siasah yang tidak sunyi dari mengalami krisis keyakinan samada dari segi kepimpinan mahu pun prinsip dan ideologi parti. Ini menandakan bahawa perjuangan atas nama suci Islam bukanlah tiket pelepasan untuk terlepas dari sebarang krisis dalaman.
Jika dulu pertikaian ideologi yang berlaku hanya di antara PAS-UMNO dan di antara PAS-DAP, tapi hari ini pertikaian ini sudah menjalar hingga ke dalam batang tubuh PAS sendiri.
Ini membuktikan kepada kita bahawa sampai ke satu tahap, akal dan pertimbangan hati sebagai manusia dan hamba Allah akan mengambil tempat utama dalam menilai baik buruk tentang sesuatu perkara.
Ini yang membezakan di antara manusia dan haiwan.
Ketaatan seorang manusia kepada manusia yang lain ada had dan batas-batas tertentu dan ia tidak sama seperti ketaatan seekor haiwan kepada tuannya.
Sewaktu tiadanya pembimbing @ nabi-nabi yang dihantar oleh Allah di tengah-tengah masyarakat, manusia masih tercari-cari siapakah yang harus atau patut ditaati atau disembah. Ini berpunca dari naluri semula jadi yang wujud di dalam diri setiap manusia untuk mentaati tuhan yang menciptanya.
Cuma disebabkan tiada pembimbing atau nabi-nabi yang lahir di dalam kelompok atau zamannya, untuk membimbing dan memberitahunya bahawa "Tiada Tuhan Melainkan Allah", maka naluri semula jadinya secara kreatif telah mencipta pelbagai tuhannya sendiri.
Berbeza dengan ketaatan seekor haiwan seperti anjing, kucing, kuda dan lain-lain yang tidak diberi akal atau naluri semula jadi. Ia sanggup atau sentiasa bersedia mencurahkan segala taat setianya hanya kepada tuannya tanpa had atau larangan. Sebaliknya seseorang manusia walaupun ketaatannya kepada manusia atau pemimpin juga wujud, tetapi ketaatan itu ada had, pantang larang dan batas-batasnya yang tertentu.
Apabila ketaatan manusia kepada manusia yang lain telah sampai kepada had, melanggar pantang larang dan batas-batas ini, maka secara semula jadi akal dan naluri manusia akan berfungsi dan mencari titik konsolidasinya dengan sendiri, kecuali bagi manusia-manusia yang meletakkan dirinya setaraf dengan haiwan yang tidak berakal.
Manusia yang tidak menggunakan akal dan keupayaan pertimbangan naluri semulajadi inilah yang selalunya akan terjerat dengan "budaya ketaksuban melampau" kepada manusia atau objek yang lain.
Jika akal dan naluri manusia ini berfungsi dengan baik, ketaatan kepada makhluk yang lain tidak akan mampu mengatasi ketaatan mereka kepada tuhan yang maha pencipta. Sampai ke satu tahap, akal dan naluri mereka akan menolak sendiri sebarang "ketaksuban" melampau kepada makhluk. Mereka yang ikhlas sedar bahawa "ketaatan melampau" hanyalah untuk Allah.
Berdasarkan hujah ini, adalah tidak menghairankan mengapa sering terjadi pergolakan dan krisis kepercayaan di dalam satu-satu jemaah atau organisasi.
Ini jugalah yang berlaku di dalam PAS.
Secara realistiknya, pasti ada di kalangan mereka yang ikhlas dan jujur terhadap perjuangan menegakkan hukum Allah dan pasti ada pula kalangan mereka yang berniat sebaliknya. Perbezaan niat inilah yang menyebabkan berlakunya pemisahan secara natural, iaitu berpisahnya di antara yang hak dan yang batil. Tidak mungkin minyak akan bercampur dengan air.
Apabila "ketikanya" sampai, perpisahan di antara hak dan batil ini pasti akan terjadi.
Tidak mungkin ahli atau jemaah yang ikhlas akan menurut apa saja kemahuan dan kehendak pucuk pimpinan parti walaupun terpaksa berkompromi dengan sesuatu perkara yang jelas bertentangan dengan Islam dan syariatnya.
"Ketika" inilah akan terpisahnya (mungkin secara tak disedari), jemaah ini berdasarkan kepada niat-niat dan agenda sebenar yang terbuku di hati masing-masing.
"Ketika" inilah akan terserlah dan terbongkar segala niat dan agenda yang selama ini tersembunyi.
Ketika inilah segala niat-niat ini akan bertentangan dan berlaga sesama sendiri yang akhirnya mewujudkan beberapa kelompok di dalam jemaah atau organisasi mereka.
Tidak menghairankan hari ini kita melihat wujudnya "puak erdogan", puak ulamak, puak konservatif, malahan ada yang dipecat akibat dari perbezaan fahaman dan pendirian yang semakin ketara di antara sesama jemaah PAS.
Tidak menghairankan hari ini, ada kalangan ulamak PAS menjadi lunak dengan segala perkara yang mendatangkan syubhah dan meragukan. Tidak kurang juga yang terus membisu dalam soal-soal yang jelas bercanggah dengan perjuangan asal PAS.
Tidak hairanlah bila melihat sebahagian besar pimpinan PAS amat sukar membuat keputusan apabila timbul perkara-perkara yang menuntut mereka mendahulukan ketaatan kepada Allah dari ketaatan di dalam bentuk "ketaksuban" kepada makhluk, walaupun makhluk itu jelas telah berkompromi dengan sesuatu yang jelas bertentangan dengan kehendak Islam sebenar.
PAS gagal bertegas dengan pendirian makhluk yang jelas berkompromi dengan LBGT dan berhelah di dalam isu gunasama nama Allah. PAS juga gagal untuk berkata benar dan hanya berdiam diri apabila makhluk ini akan menjamin keselamatan Israel jika diberi kuasa memerintah kelak. Banyak lagi perkara-perkara yang jatuh dalam kategori "syubahah" yang dibawa oleh makhluk ini telah dikompromi oleh pimpinan PAS.
Ketakutan kepada makhluk dan penyakit "waahan" atau takut mati di kalangan pimpinan PAS yang selama ini tersembunyi sudah semakin jelas terbongkar.
Terbongkar disebabkan ketakutan kepada makhluk yang bernama Anwar. Golongan Anwarinas sudah hampir menguasai PAS secara total. Kehebatan golongan Anwarinas ini telah menyebabkan ketaatan kepada Allah yang telah lebih 60 tahun "dilafazkan" oleh pimpinan PAS, hari sudah terbukti palsu.
Apa yang jelas, mereka hanya sedap mulut melafaz ketaatan kepada Allah, tapi perbuatan mereka hakikatnya lebih "taat dan taksub" kepada makhluk seperti yang digariskan oleh golongan Anwarinas.
Jika ada yang mengatakan sokongan melayu/Islam terhadap UMNO semakin berkurang disebabkan perjuangan semangat melayu/Islam yang semakin longgar, maka sokongan melayu/Islam kepada PAS juga pasti berkurangan disebabkan dasar-dasar PAS akhir-akhir ini semakin menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.
No comments:
Post a Comment