Thursday, March 22, 2012

PEMIMPIN UMNO YANG TAK SEDAR DEK TUA...

Selepas Tun M mengambilalih kepimpinan Umno dan kerajaan, rakyat telah diberi harapan dan pelbagai persepsi baru bagaimana kepimpinan baru mengurus parti, negara dan rakyat.

Dalam kerajaan, pelbagai dasar baru telah diperkenalkan. Di dalam kepimpinan parti pula, PRU 1982 telah dijadikan platform terpenting oleh kepimpinan Tun M untuk melahirkan seramai mungkin pelapis dan pemimpin muda.

Sebahagian besar dari negeri-negeri telah diberi kepercayaan kepada pemimpin muda untuk mengetuai kerajaan. Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan melaka diketuai oleh MB yang berumur di bawah 40 tahun. Paling muda ketika itu, DS Najib dan TS Sri Isa Samad, masing-masing berumur 29 dan 32 tahun. 

Hari ini di dalam Umno, "persepsi muda" sudah jauh berbeza. Umur sudah menjangkau  hampir 50 tahun pun masih mahu dianggap muda dan mentah. Jadi, bila sebenarnya seseorang itu boleh dianggap muda dan bila pula seseorang itu boleh dianggap lanjut usia? 

Bagi pemegang jawatan yang berumur 40an, mereka-mereka yang berumur 30an dianggap masih terlalu muda dan mentah untuk diberi kepercayaan. Bila sipemegang jawatan ini sudah meningkat 50an, mereka anggap pula yang berumur 40an, masih muda dan masih banyak peluang.

Tapi, bila orang yang dianggap muda ini sudah berumur 50an, sipemegang jawatan yang sudah berumur 60an ini, kata umur 50an sudah terlalu tua untuk mula memegang jawatan. Akhirnya bakat dan kepimpinan mereka berlalu begitu saja. 

Mereka yang sudah berumur lewat 60an ini pula terus mahu memegang jawatan dengan anggapan parti sudah tiada pemimpin pelapis. Konon kepimpinan mereka masih diperlukan oleh parti dan kerajaan. Mereka berasa bahawa jika mereka tiada dalam kepimpinan, maka parti akan hancur.

Inilah mentaliti yang ada di kalangan sebahagian sebahagian besar pemimpin lama yang sedang memegang jawatan di dalam Umno. Terlalu sukar untuk mereka memberi kepercayaan dan laluan kepada bakat-bakat baru untuk mengisi kepimpinan.

Akhirnya, hari ini kita lihat parti-parti pembangkang dibarisi rata-rata oleh kepimpinan muda. Tidak menghairankan hari ini orang muda lebih cenderung untuk bersama parti pembangkang kerana mereka merasakan parti pembangkang lebih mewakili aspirasi mereka.

Pimpinan hari ini harus faham bahawa keberanian Tun M menampilkan pemimpin muda ketika itu bukanlah disebabkan pemimpin yang ada ketika itu sudah tua dan sudah tidak mampu lagi berkhidmat. Tetapi adalah disebabkan suntikan tenaga muda memang menjadi suatu kemestian bagi mana-mana parti dan kerajaan supaya terus relevan pada setiap golongan dan masa.

Penulis amat bersetuju dengan pandangan Tun Daim dalam hal ini. BN hanya akan diterima oleh majoriti rakyat jika pimpinannya ada keberanian untuk membarisi calon-calon muda dan dinamik di dalam kepimpinan parti.

Tindakan ini bukan bermaksud pemimpin cukup haul ini sudah tidak layak atau tidak mampu lagi memimpin, tetapi ia adalah disebabkan keperluan dan tuntutan yang wujud. Sebahagian besar golongan muda hari ini ingin melihat UMNO bersedia mengambil peranan dan memenuhi aspirasi golongan yang seangkatan dengan mereka.

Jika tidak, UMNO akan dianggap setaraf dengan organisasi kelas mengaji Al Quran dan berzanji yang dipimpin oleh golongan tua berpengalaman dan mahir selok-belok pengajian. Maka UMNO hanya akan jadi parti "rujukan" bila ada keperluan saja.

Jika kepimpinan terdahulu telah memberi kepercayaan kepada kamu tatkala diusia sebegitu muda, kenapa kamu tidak mahu memberi kepercayaan yang sama kepada pelapis muda selepas kamu?

1 comment:

  1. Jawapan kepada masaalah yg di kemukakan diatas ialah hawa nafsu, memandangkan umno kini berada dipuncak kuasa, maka banyak perkara yang boleh di perolehi melalui umno.

    Kepada yang sudah memperolehinya ( pemimpin tua ) nafsu meronta minta ditambah lagi sementalahan masih di percayai orang.

    Tiada ubat bagi mengubati penyakit umno ini melainkan di bersarakan, setelah bersara nanti barulah ada peluang kepada golongan muda yang ikhlas berjuang untuk rakyat.

    Sebenarnya penyakit hawa nafsu ini bukan sahaja berada didalam tubuh umno tetapi dipercayai juga berada di dalam tubuh Pas, Pkr, juga Dap.

    Salah satu cara bagi menghindarinya ialah di gilirkan bagi mereka-mereka ini berkuasa, beri masa hanya selama 10 atau 15 tahun sahaja bagi satu-satu pihak untuk berkuasa.

    Barulah negara aman dari gejala rasuah dan pelbagai penyelewengan kerana tiada lagi istilah " sampah sarap di sapu dibawah permaidani "...

    ReplyDelete