Tahniah Tan Sri Sidek Hassan, mantan KSN. Kita akurlah dengan perlantikan beliau sebagai Pengerusi Petronas yang baru. Sejak Hassan Merican bersara jawatan Pengerusi dipangku oleh Shamsul Kamar, Presiden Petronas. Mungkin tidak ada sesiapa yang layak dan terpaksa menunggu hingga Tan Sri KSN tamat kontrak sebagai KSN.
Jasa beliau sepanjang menjadi KSN sangat besar dalam memastikan peluang secara adil dan saksama diukur berasaskan meritokrasi. Sejak pentadbiran beliaulah bumiputera tahu apa itu persaingan dan daya saing.
Sejak itu jugalah bumiputera pandai berjalan tanpa tongkat untuk menyaingi pelari pecut dalam acara trek dan padang ekonomi. Tiada lagi agenda bumiputera atau apa-apa keistimewaan di dalam merebut kedudukan teratas dalam larian jarak jauh 1500 meter kek bulat ekonomi. Dengan hanya berbekalkan semangat, bumiputera dengan menggagahkan diri, terpaksa turun padang bersaing dengan pelari handalan lain yang terlatih, sehat dan punya steriod sebagai tambahan.
Walaupun trek dan padang tidak samarata dan trek yang dilalui oleh bumiputera lekuk-lekak dan berlopak, berbanding dengan trek bukan bumiputera, peraturan larian dan sistem penilaian yang digunapakai adalah sama dan menurut garis panduan yang ditetapkan oleh majlis sukan ekonomi liberalisasi antarabangsa.
Peraturan dan kriteria pemilihan peserta acara kek ekonomi ini juga tidak perlu dilakukan menurut kategori umur, liteweight atau heavyweight. Peninju bumiputera yang punya keberatan 60 Kg terpaksa bersaing dengan peserta seberat 125 kg yang makan 20 biji telur ayam kampong dan 3 kg daging se hari. Peninju bumiputera hanya mengamalkan diet makan ketuk ubi dan pisang rebus.
Tetapi demi peraturan meritokrasi liberalisasi, bumiputera tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan segala peraturan daya saing yang telah ditetapkan.
Mungkin sistem meritokrasi di Petronas akan mampu berjalan secara lebih berkesan selepas ini apabila ia dipimpin oleh mantan KSN. Sistem tongkat vendor Petronas yang hidup segan mati tak mahu di dalam Petronas sekarang ini mungkin akan dipotong terus seperti pengidap penyakit kencing manis, sebagai jalan pintas untuk melahirkan rupabentuk usahawan meritokrasi sehat melalui daya saing.
Sekalung tahniah buat Tan Sri Sidek Hassan di atas segala jasabakti di dalam mengubah minda bumiputera sehingga bumiputera hati ini, walaupun bersaiz ketot, tiada glove dan tiada musk, tapi tetap berani bertinju dengan peserta yang bersusuk tubuh besar serta lengkap dengan segala alat perlindungan.
Mungkin sejarah kehebatan 313 ahli badar pimpinan Rasulallah saw dengan hanya bersenjatakan pelepah tamar dan unta yang kurus kering berjaya mengalahkan tentera Kafir Quraisy yang lengkap dengan 1000 kuda berpelana lengkap, akan berulang di tanahair nenek moyang kita.
Ini semua adalah hasil dari penstrukturan semula minda bumiputera secara berani buta dengan beraninya telah membuang tongkat seperti yang direncana oleh mantan KSN ini.
No comments:
Post a Comment