Sunday, June 17, 2012

PKR SEDANG JUAL STOK PENGHABISAN....

Pemimpin, pendokong dan penyokong parti bukan merupakan majoriti rakyat, sebaliknya mereka merupakan kumpulan paling minoriti di negara ini. Mereka-mereka ini dilihat dominan kerana merekalah golongan yang paling banyak bercakap dan turun padang.

Jika kita minta semua pemimpin, pendokong dan penyokong parti masing-masing bercuti dari bercakap dan tidak turun padang selama 3 hari pun sudah cukup untuk membuktikan negara ini akan aman, harmoni dan masing-masing rakyat hanya dilihat sibuk menguruskan hal keluarga, perniagaan dan kerjaya mereka.

Yang bikin "pona", "bendang" dan "ribut" dalam negara ini adalah orang politik, samada dari parti pemerintah mahu pun pembangkang. Tapi hakikatnya, golongan ini sebenarnya bersifat minoriti. Buktinya, dari 3 juta ahli UMNO berapa ratus ribu saja yang menjadi aktivis dan pendokong parti? Dari hampir sejuta ahli PAS, berapa ratus ribu yang aktif? Dari hampir sejuta ahli PKR, berapa puluh ribu saja yang bikin ribut?

Yang selain dari itu walaupun mereka adalah ahli atau penyokong parti, tapi mereka harus kita letakkan di dalam kategori sebagai rakyat biasa yang lain. Golongan ini mungkin ibubapa, abang, adik atau kakak kita. Mereka bukan aktivis dan mungkin tak ambil pusing pun pasal politik. 

Senario ini macam senario antara pengguna dan peruncit/peniaga. Peruncit/peniaga di dalam rumah kita mungkin 1 atau 2 orang. Ahli keluarga peruncit itu bukan peruncit, dan mereka tergolong dalam kategori pengguna. Mereka ini merupakan majoriti.

Kumpulan majoriti rakyat biasa ini menonton dan menilai ragam dan karenah golongan aktivis politik.

Golongan majoriti inilah sebenarnya yang bakal menentukan nasib golongan politik dan parti mana akan membentuk sesebuah kerajaan.
 
Matlamat akhirnya golongan ini ialah mereka mahukan nikmat dan pembelaan terhadap kehidupan mereka. Siapa yang boleh dipercayai untuk mereka mendapat pembelaan dan nikmat kehidupan, maka bagi mereka parti itulah yang akan menjadi pilihan mereka. 

Golongan ini akan beli barangan berdasarkan keperluan mereka dan pastinya yang lebih murah. Tidak semestinya mereka mesti beli di kedai saudara mereka. Kalau di kedai saudara mereka lebih mahal dan tidak sesuai dengan keperluan, mereka tidak akan beli. Mereka bertindak secara silent.

Kecenderungan golongan silent majority ini adalah kepada siapa yang berupaya menyediakan nikmat kehidupan, kestabilan politik, pembelaan dan lebih dipercayai sebagai pentadbir kerajaan. Pilihan mereka bukan berdasarkan asabiah parti. Mereka asabiah kepada keperluan mereka sendiri.

Parti mana yang mampu mengisi kecenderungan dan keperluan golongan silent majoriti ini, maka parti itulah yang bakal menjadi kerajaan memerintah.

Hiruk-pikuk politik yang ada hari ini adalah hiruk-pikuk ciptaan kalangan minoriti. Mereka adalah kalangan penjual produk iaitu parti mereka. Kalau penjual produk politik ini gagal mewakili aspirasi golongan silent majoriti, mereka tidak akan disokong. 

Kalau penjual politik ini melakukan promosi secara berlebih-lebihan dan produk pula tidak serupa bikin, silent majoriti selalunya akan menolak mereka. Jika penjual produk politik ini mempromosi produk mereka dengan cara memburukkan produk politik lawan dengan pelbagai fitnah dan pembohongan, silent majoriti selalunya akan lebih benci lagi.

Penulis rasa, hari-hari mendatang bakal memalangkan nasib para penjual produk tiruan dan promoter yang selalu menjual dengan fakta yang bohong dan fitnah.

No comments:

Post a Comment