Untuk beroleh syafaat PM menjadi "calon winnable", tidak cukup sekadar menyatakan "we love PM". Tidak cukup sekadar mempromosi diri dengan cara "membeli wartawan atau ruangan berita" di TV dan akhbar.
Sejak kebelakangan ini "para incumbent" begitu sibuk dengan "promosi diri" di akhbar dan TV. Mereka sudah jadi "mesra wartawan" dan ramai kalangan wartawan juga seronok kerana mendapat perhatian istimewa dari mereka yang mahu menjadikan promosi media sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan syafaat PM.
Ada pemimpin yang sudah lama lenyap, tiba-tiba kerap kali keluar di tv dan akhbar.
Ada juga Menteri Besar yang menggantungkan sepenuhnya nyawa politiknya kepada "coverage" TV dan akhbar untuk menaikkan kembali persepsi umum dan pucuk pimpinan terhadap kepimpinannya. Mungkin pada pandangannya, PM dan sekelian rakyat "perlu disedarkan" bahawa kepimpinannya lebih baik dari kepimpinan MB sebelumnya.
Mungkin MB ini tidak mahu belajar dari kesilapan Pak Lah yang mengambil pendekatan "mengganyang dan mencemarkan" imej kepimpinan sebelumnya yang telah menjadi punca kepada kejatuhan, bukan saja dirinya, malah kekuatan parti keseluruhannya turut terjejas.
Majoriti Rakyat mahu BN dan UMNO terus memerintah, tapi mereka mahukan pembaharuan dalam kepimpinan di segenap peringkat.
Rakyat mahu lihat PM mengotakan transformasi politik, "berubah atau rebah".
Rakyat mahu lihat PM "benar-benar" mendahulukan keinginan rakyat terbanyak daripada "keinginan terpencil" para pemimpin untuk terus kekal berkuasa.
Rakyat masih rasional. PM boleh terus kekalkan pemimpin yang masih "diterima" dan berstatus "aset" kepada parti dan kerajaan.
Tetapi rakyat juga mahu melihat PM berani untuk mengganti mana-mana pemimpin yang bertaraf "melukut ditepi gantang". Ada tak menambah, ketiadaannya pun tidak menjejaskan BN.
Malah yang paling penting, rakyat mahu melihat "pemimpin berkarat" (meminjam kata-kata Zahid Hamidi) dan sudah bertukar menjadi "liabiliti" kepada parti tidak lagi diberi "peluang subsidi" untuk terus menikmati syafaat sebagai YB atau MB tanpa merit.
Kita sudah ada testimoni, di mana "seorang PM pun terpaksa mengundurkan diri" apabila beliau didapati sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan dan parti. Inikan setakat pemimpin bertaraf YB dan MB yang berliabiliti.
PM juga harus berhati-hati dengan program "window dressing" yang dibuat oleh mereka-mereka yang mahu terus kekal bertanding walaupun sudah "expired".
PM diharap tidak mudah terpesona melihat "pancur bunga telor" yang kelihatan cantik gubahannya, sedangkan di dalamnya hanyalah "bahan kitar semula" yang "disambung-sambung" hingga ramai yang terkeliru dengan kecantikannya.
Zaman di mana "calon-calon yang terpilih" bergantung sepenuhnya kepada "syafaat dan populariti PM" serta "jenama BN" untuk mencari kemenangan sudah berlalu. Rakyat akan membuat keputusan berdasarkan personaliti calon sebagai faktor utama, manakala jenama parti sudah menjadi faktor sampingan bagi mereka.
Sebagai seorang manusia, PM juga ada kelemahan. Beliau tidak mungkin mampu untuk "mengasah batu sepulau" berseorangan.
Hari ini apabila PM diasak dengan pelbagai fitnah kiri dan kanan oleh pembangkang, berapa keratkah di kalangan pemimpin lain yang bangkit mempertahankan PM? Boleh dibilang dengan jari mereka "yang sanggup ke depan" dengan hujah logik dan fakta untuk menepis serangan lawan yang bertali-arus terhadap batang tubuh PM.
Kita lihat kerja tepis-menepis isu seolah-olah sudah di "outsource" kepada para blogger pro-kerajaan untuk mempertahankan kerajaan dan PM DS Najib. Pemimpin-pemimpin sudah tidak mahu buat "kerja tidak popular" seperti ini lagi.
Kita kasihan melihat PM Najib kerana tidak dapat menikmati kelebihan yang pernah dinikmati sewaktu Tun M menjadi PM. Tun M hanya perlu membuat serangan "sesekali yang boleh membawa maut" kepada pihak lawan. Selebihnya semua diurus dan diselesaikan oleh para hulubalangnya yang duduk di kerusi Menteri, MKT dan MB.
PM harus lahirkan pimpinan pelapis yang boleh menjadi benteng pertahanan kebal kepada kerajaan dan parti, dan bukan pemimpin yang hanya pandai menjaga lopak sendiri.
Anwar Ibrahim "sangat berpuas hati" dengan "prestasi BN's Backbencers" yang ada hari ini. Itu tandanya sebahagian besar dari MP BN ini patut dipencenkan.
No comments:
Post a Comment