Wednesday, June 5, 2013

NEGARA SEDANG DIURUS MENURUT TELUNJUK PEMBANGKANG!!

Sudah sampai masanya undang-undang sediada yang melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman awam diperhalusi semula.

Diperhalusi dari sudut "kesalahan-kesalahan" yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan, mengundang perpecahan dan ketegangan antara masyarakat mahupun antara kaum.

Jenis-jenis perbuatan dan pertuturan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan perpaduan antara rakyat dan antara kaum harus dibaca secara lebih khusus atau spesifik.

Ramai kalangan rakyat yang terkeliru di antara "perhimpunan yang dikatakan haram" dan "perhimpunan yang dikatakan halal".

Pembangkang khususnya, sering memanipulasi perhimpunan di atas nama "himpunan aman". Tetapi melalui "perhimpunan aman" inilah yang telah menyumbang kepada ketegangan dan perpecahan yang semakin menjurang di antara masyarakat dan di antara kaum. Masyarakat menjadi buntu, keliru, berbalah dan berpecah di atas sebab yang salah. 

Tuduhan tanpa bukti, fitnah, pembohongan dan penyelewengan fakta telah dijadikan penyeri di setiap himpunan aman anjuran pembangkang. Paling malang, kebangkitan sentimen marah, benci dan dendam di kalangan peserta himpunan ini terbit dari kisah dan isu yang tidak benar dan ada di antara isu tersebut telah diselewengkan sama sekali.

Lihatlah himpunan blackout505 tajaan Anwar-DAP. Berpuluh ribu rakyat berhimpun dan amat yakin SPR telah membenarkan 40 ribu bangla dan 45 ribu pendatang asing Sabah mengundi untuk memenangkan BN.

Suatu keyakinan yang terbentuk dan berteraskan dari cerita palsu dan diada-adakan. Bukankah ini keyakinan yang sesat? Jika dibiarkan tidakkah akhirnya akan merosakkan ketenteraman awam? 

Undang-undang harus diperhalusi secara spesifik, apakah perkara -perkara yang dikatakan salah dan boleh disabitkan sebagai melanggar undang-undang.

Pihak keselamatan tidak harus hanya memandang dari sudut keselamatan "kemungkinan" berlakunya keganasan sewaktu perhimpunan berlangsung semata-mata.

Perhimpunan yang dipenuhi dengan fakta yang mengelirukan, maklumat palsu dan fitnah boleh menjejaskan persepsi dan kredibiliti pihak yang menjadi mangsa tuduhan. Jika pihak yang menjadi mangsa tuduhan bertindakbalas dengan gerakan yang sama, tidakkah ini akan membawa kepada ketegangan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam?

Apabila tiada peraturan khas yang boleh mensabitkan sebarang kesalahan yang berbentuk fitnah dan pembohongan yang boleh menjejaskan kredibiliti mangsa fitnah dan tuduhan, pihak-pihak yang membuat fitnah dan pembohongan ini akan terus bebas melemparkan apa saja tuduhan tanpa sekatan.

Keadaan ini menimbulkan ketidakadilan terhadap mangsa fitnah. Persepsi salah dalam segenap sudut terhadap mangsa tuduhan akan terbentuk dan jika tidak dibendung, persepsi terhadap mangsa tuduhan akan rosak binasa.  

KDN harus lebih spesifik dalam menentukan dan membuat garis panduan apakah jenis-jenis kesalahan dari segi percakapan dan perbuatan yang boleh menyumbang kesan buruk yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam. 

Jika jelas mereka menyebar maklumat palsu dan berbau fitnah yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat terhadap mangsa tuduhan  maka ia harus dikategorikan sebagai satu kesalahan besar. 

Hukuman yang berat harus diperuntukan kepada jenis-jenis kesalahan ini secara lebih spesifik. 

Kredibiliti kerajaan dan pihak keslamatan akan terus terjejas jika peserta dan penganjur perhimpunan aman yang menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam ini kerap kali terlepas dari hukuman disebabkan undang-undang yang longgar dan tidak spesifik.

Jika untuk mendapat perintah remand dari mahkamah pun sudah menjadi satu halangan besar untuk pihak keselamatan bertindak sewajarnya, realiti ini sudah jelas menunjukkan bahawa cara mana masa depan negara ini harus dibentuk, sebenarnya sudah ditentukan oleh "telunjuk" pihak pembangkang. Pihak kerajaan hanya menurut saja modus operandi dan game plan mereka.

No comments:

Post a Comment