Friday, May 23, 2008

PENGORBANAN AHLI VS PENGORBANAN PEMIMPIN

Senarai Vitamin Pulih Tenaga ahli:
1. Individu tidak penting, parti yang lebih utama.
2. Kita tidak boleh gadaikan parti hanya kerana seorang individu.
3. Bukan tak sayang beliau, cuma saya lebih sayangkan parti.
4. Adanya saya berdiri di sini adalah kerana umno.
5. Kesetiaan kepada parti lebih utama dari kesetiaan terhadap individu pemimpin.

Semua pihak mengunakan ungkapan ini, samada atas maksud dan keikhlasan sebenar atau di atas maksud selain darinya, tidaklah dapat diketahui selagi pembuktiannya tidak diterjemahkan.

Hari ini kadar penggunaan perkataan ini semakin kerap digunakan oleh pemimpin dan ahli-ahli parti. Penggunaan ungkapan ini berkadaran dengan suhu kepanasan sesuatu isu atau pergolakan. Semakin tinggi suhu pergolakan yang berlaku dalam parti, semakin keraplah ungkapan ini digunakan. Tidak dapat dikenal pasti siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang menyalahgunakannya.

Ahli bawahan sudah ‘immune’ dan sesetengahnya ‘over dose’ dek terlalu banyak disumbatkan vitamin pulih tenaga cap ‘LOYAlti . Walau pun baik untuk kesihatan perjuangan ahli dan seisi rumah umno, tapi jika terlalu banyak disuapkan pun, akhirnya akan membawa mudarat atau termuntah.

Apatah lagi kalau yang memberi itu sendiri tidak yakin dengan berkat, hikmah dan khasiat vitamin tersebut. Apabila sampai ketika mereka kehilangan tenaga untuk memimpin, mereka mengelak untuk menelannya atas alasan sokongan masih sehat dan kuat.

Selama ini ahli umno telah membuktikan kesetiaan dan kesanggupan mereka mendahului kepentingan parti dari kepentingan diri. Setiap kali pilihanraya dan setiap kali berlaku krisis dalaman parti, mereka tetap mendahului parti. Mereka telah buktikan kesanggupan untuk meninggalkan pemimpin-pemimpin yang telah banyak berjasa, jika mereka diminta untuk memilih samada pemimpin tersebut atau pun parti kerana mereka telah dididik untuk mementingkan parti melebihi segala-galanya.

Hari ini, giliran mereka pula ingin melihat pemimpin-pemimpin mengamal dan mengotakan apa yang selalu diucapkan dari mulut mereka. Permintaan mereka bukan di atas dasar kepentingan diri tetapi semata-mata di atas kepentingan parti, survival bangsa dan agama. Permintaan mereka tidak lari dari maksud sebenar perjuangan seperti mana didikan yang telah mereka terima dari pemimpin mereka selama ini.

Adakah tindakan mengundur diri atau terus memegang jawatan lebih baik untuk parti, bangsa, agama dan negara? Sudah pasti seseorang Perdana Menteri mendapat segala maklumat yang tepat dari segala saluran yang sampai ke mejanya. Sudah pasti beliau lebih maklum samada beliau harus kekal atau berundiur dari jawatannya.

Cuma yang ditakuti kalau-kalau lapuran dan maklumat yang diterima sama seperti lapuran unjuran sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional dalam PRU 12 yang telah terbukti salah.

Kalau begitu keadaannya, tidak menjadi suatu yang menghairankan jika PM membuat keputusan untuk terus memegang jawatan disebabkan lapuran yang sampai ke mejanya mungkin merumuskan bahawa beliau masih diperlukan untuk memimpin.

Dalam ertikata lain, parti, ahli parti, rakyat, bangsa, agama dan negara masih memerlukan khdmatnya. Maka, tidak salah baginya untuk terus kekal dan masih layak untuk mengungkapkan kata-kata keramat seperti di para 1 –8 di atas.

Sebaliknya, jika lapuran itu benar mengatakan PM harus berundur maka dengan penuh keinsafan demi parti, ahli parti, rakyat, bangsa, agama dan negara, Pak Lah harus mengotakan apa yang selalu diungkapkan seperti mana para 1 –8.

Inilah pengorbanan terhadap perjuangan sebenar yang seharusnya diamalkan oleh Pak Lah. Ketepikanlah segala kepentingan diri dan agenda peribadi. Parti lebih utama dan individu tidak penting. Tidak guna kita kuat di dalam parti, tetapi lemah apabila dihadapkan kepada rakyat dalam pilihanraya.

Berdirinya Pak Lah di situ adalah kerana umno. Inilah masanya untuk membalas kesetiaan ahli kepada parti dengan kesanggupan untuk mencontohi semangat dan pengorbanan seperti yang telah mereka buktikan sejak dulu.

Janganlah meminta 3 juta ahli berkorban hanya kerana Pak Lah seorang. Adalah lebih mulia Pak Lah menunjukkan sifat sebagai seorang negarawan tulin dengan berkorban bukan sahaja untuk survival parti dan 3 juta ahlinya, malah lebih bermakna lagi untuk kemakmuran dan kesejahteraan agama, juga seluruh bangsa dan negara.

Inilah di antara tugas terpenting dari sebanyak-banyak tugas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh Pak Lah. Tugas-tugas lain pasti akan diteruskan oleh penggantinya kerana memang menjadi tugas seorang Perdana Menteri untuk melunaskan segala janji, tugas dan tanggungjawab seseorang Perdana Menteri kepada sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.,

Jika sudah ada riak penolakan terhadap gaya dan idealisma yang dibawa, pemimpin harus mendahului kehendak sebenar ahli dan parti dari dirinya sendiri. Pemimpin harus berkorban asal parti tidak terkorban. Datok Onn Jaafar telah membuktikanya. Tun Hussein Onn juga telah melakukannya. Keturunan ini terbukti faham maksud sebenar ungkapan tersebut dan telah beramal dengannya.

Wahai pemimpin-pemimpin rakyat…Beranikanlah hati untuk menelan vitamin tersebut seperti mana yang selalu Tan Sri / Dato Seri / Dato sarankan kepada ahli, walau pun ia sepahit hempedu.. Kalau ahli boleh, mesti pemimpin boleh. Jangan takut…

Selamat mencuba..


.

1 comment:

  1. salam bro..dgr cite Datuk Seri Hisham cukup marah dgn bro n rakan2.walau apa yg berlaku saya yakin pendirian bro n rakan2 x kan berubah.teruskan perjuangan.setia kita pada parti bukan pada kepimpinan yang lemah.Salam suaraperubahan.

    ReplyDelete