Friday, June 27, 2008

PRESIDEN PARTI TERSELAMAT DARI JADI MANGSA TATACARA ETIKA PEMILIHAN...

Buku Etika Ahli UMNO telah dikeluarkan sebaik sahaja presiden parti menamatkan siri perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan seluruh negara. Johor, merupakan negeri terakhir yang didatangkan ke PWTC untuk bertemu presiden.

Presiden parti bernasib baik kerana Tatacara Etika Pemilihan yang terdapat dalam Buku Etika Ahli UMNO itu hanya dikeluarkan sebaik berakhirnya siri perjumpaan tersebut. Mengikut Tatacara Etika Pemilihan, siri perjumpaan bersama presiden itu boleh dikira sebahagian dari kempen ke arah pemilihan kerana penyandang presiden parti akan turut bertanding mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Sudah menjadi rahsia umum, semua ketua-ketua cawangan yang hadir telah disediakan hotel penginapan, wang saku RM100, kain batik dan pelikat. Pengurus kepada pemberian buah tangan ini adalah di kalangan pegawai JASA kerana program ini telah menggunakan peruntukan JASA yang bukan kecil jumlahnya.

Penggunaan peruntukan JASA ini tidak kena mengena dengan objektif penubuhan JASA. Ia hanya platform yang digunakan untuk mengukuhkan kedudukan presiden parti yang memerintah. Kenapa dipanggil Ketua Cawangan dan tidak Pengerusi JKKK? Peruntukan ini mungkin halal kalau Pengerusi JKKK yang dipanggil.

Atas dasar inilah saya katakana presiden parti bernasib baik kerana ketika program ini dijalankan Kod Tatacara Etika Pemilihan masih belum dikuatkuasakan. Kalau tidak, pasti presiden parti akan menjadi mangsa pertama Tatacara Etika Pemilihan ini.

DILEMA BAKAL-BAKAL CALON….

Tatacara pemilihan yang dikeluarkan ini hampir mematikan keseluruhan roh demokrasi dalam UMNO. Demokrasi dalam UMNO hampir tinggal nama. Akibat suntikan ‘botok etika’ yang keterlaluan, telah menyebabkan budaya dan rupabentuk demokrasi UMNO bertukar wajah.

Ada cadangan ‘kedai kopitiam’ agar setiap calon mempelajari bahasa isyarat. Mereka berpendapat mungkin penggunaan bahasa isyarat sebagai ganti ucapan boleh mengatasi segala peraturan yang ditetapkan dalam buku etika tersebut. Sudah pasti calon yang mahir berbahasa isyarat akan terlepas dari hukuman.

Ada juga mencadangkan dipinda undang-undang tubuh parti agar sistem pemilihan secara demokrasi dihapuskan. Sistem lantikan akan dapat mengelakkan dari berlakunya kempen, dan ini akan menghapuskan sama sekali amalan politik wang.

Walau pun kenduri dan tahlil telah dibenarkan semula tak sampai 24 selepas larangan dikeluarkan, calon, pengurus calon dan agen sudah pasti bersalah jika hadir pada majlis tersebut. Tidak mungkin calon dari Negeri Sembilan hadir ke majlis tahlil rumah perwakilan di Tawau semata-mata kerana Allah. Walau pun tak dinyatakan secara rasmi melalui kata-kata agar menyokong mereka.atau calon tajaan meeka, tuan rumah pasti faham akan maksud sebenar kedatangan tersebut.

Kalau hadir kenduri kahwin biasanya ada buah tangan yang ditinggalkan. Kali ini, calon, pengurus atau agen yang hadir kenduri rumah perwakilan dalam tempoh 6 bulan sebelum dan 6 bulan selepas pemilihan pasti akan terdedah kepada nasib Tan Sri Isa Samad.

Begitu juga calon, pengurus, agen atau perwakilan yang telah menetapkan tarikh perkahwinan anak mereka, jika termasuk dalam tempoh tersebut, mereka perlu meminda ke satu tarikh lain selepas Jun 2009.

Bagi isteri atau suami atau anak-anak calon yang selama ini mencari makan melalui kontrak, perlu menghentikan sebarang urusan tender dan lobi kontrak sehingga Jun 2009. Jika tidak, calon berkaitan akan terdedah kepada tindakan disiplin parti.

Mungkin tarikh kematian sanak saudara kepada calon, pengurus, agen atau perwakilan juga perlu dipinda. Elakkanlah saudara-mara dari meninggal dalam tempoh tersebut. Jika ada juga yang meninggal, elakkanlah dari menganjurkan majlis tahlil…takut nanti ada calon yang jadi mangsa tindakan disiplin parti.

Yakinkanlah diri sendiri bahawa UMNO masih kuat dan gagah. Tidak perlu fikirkan bagaimana agaknya rakyat memandang apa yang pemimpin-pemimpin sedang lakukan terhadap UMNO…..Ahli umno tidak ada masalah…bisa diurus. Hanya perlu jalankan sesi penerangan dan panggil semua ketua-ketua cawangan menginap di hotel lima bintang, beri wang saku dan kain batik

Semua akan beres…business as usual…

2 comments:

  1. Salam,

    Sebagai ahli akar umbi UMNO, saya amat kecewa dengan keadaan ini.

    Terutama sekali apabila ianya kelihatan sangat ad-hoc.

    Masalah besar PM kalau ahli parti sendiri semakin "restless".

    Beranikah cawangan saya mengeluarkan usul meminta Pak Lah letak jawatan?

    http://umnodu.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Andainya muncul agen-agen upahan yang mengaku bertindak bagi pihak calon melakukan seanika macam kesalahan yang digariskan oleh tataetika, tindakan yang dikenakan adakah semata-mata ke atas agen atau melibatkan calon yang diperakui oleh agen itu nanti. Jika tindakan meliputi calon yang diperakui oleh agen yang kantoi, kita menjangka akan muncul sebilangan agen palsu yang bertujuan untuk mengantoikan calon-calon yang tidak direstui oleh pucuk pimpinan.
    Kalau orang tidak siuman di Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan baca tataetika ini pun mungkin akan ketawa terbahak-bahak.

    ReplyDelete