Friday, October 17, 2008

DAULAT TUANKU...DAULAT TUANKU...DAULAT TUANKU..!

"Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

Kenyataan ini jelas menggambarkan kebimbangan Raja-Raja Melayu terhadap salah faham dan kedangkalan mereka-mereka yang berkaitan terhadap rupabentuk pembinaan sebuah negara bangsa yang telah dibangunkan selama ini.

Kenyataan berupa peringatan semula terhadap seluruh rakyat bahawa betapa perlunya mereka menghormati persefahaman di antara sesama rakyat, di antara sesama pemimpin dan di antara rakyat dan pemimpin yang telah sekian lama terjalin. Keharmonian serta kesejahteraan rakyat yang telah terbina bukanlah terhasil secara semulajadi. Sudah pasti apa yang telah termaktub dalam perlembagaan dan apa yang telah diterjemahkan melalui perlaksanaan dalam pemerintahan telah menghasilkan keharmonian dan kesejahteraan ini.

Apakah faktor yang mendorong Majlis Raja-Raja memberikan peringatan ini? Antara keyataan yang dikeluarkan;

“Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga.
Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.”

Mungkin Raja-Raja Melayu memikir bahawa sudah sampai masa dan ketikanya untuk Majlis Raja-Raja melakukan peranan seperti mana kuasa yang diperuntukan melalui perlembagaan.

Sudah sampai masa membawa makna yang mendalam untuk difikir bersama. Sudah tentu Raja-Raja Melayu memikir bahawa keadaan sudah berada pada tahap merbahaya yang memaksa mereka campurtangan. Seingat kita, belum pernah lagi Majlis Raja-Raja mengeluarkan keyataan sebegini rupa. Kenyataan yang dikeluarkan juga menyatakan dengan jelas sebab-sebab yang menjadi punca timbulnya persoalan;

"Antara sebab-sebab yang dikenal pasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini.”

Kita ingin melihat sejauh mana keberanian pihak-pihak yang sentiasa mempertikaikan perkara asas pembinaan negara ini. Mereka telah merobohkan persefahaman tentang perkara ini dipandangan mata rakyat. Mereka telah leraikan kefahaman ini dikalangan rakan komponen BN. Mereka juga telah wujudkan ‘benteng hindraf’ yang tinggi di kalangan masyarakat india terhadap kejernihan hubungan kaum yang telah sekian lama terjalin. Mereka juga telah mencabut dari pemikiran bangsa melayu agar mencampakkan ‘tongkat keistimewaan’ semata-mata di atas keyakinan kononnya orang melayu sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain.

Perlakuan ‘kufur nikmat’ yang cuba dibudayakan di kalangan rakyat telah menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu. Segala ‘resepi berkesan’ yang selama ini mewujudkan keharmonian dan keamanan seluruh rakyat sudah diberi persepsi baru. Semua definasi tentang sesuatu perkara yang selama ini menjadi amalan dan ikutan di negara ini telah cuba diberikan definasi baru yang kononnya lebih sesuai, manakala definasi dan amalan lama dikatakan semuanya sudah usang.

Kita kini ingin lihat adakah mereka ini juga akan mengengkari peringatan yang diberi oleh Majlis Raja-Raja. Kita tidak hairan jika mereka terus-terusan menidakkan apa juga peringatan dari kerajaan. Kita tidak pelik kalau mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang ada. Tapi kita boleh beranggapan mereka telah ‘derhaka’ kepada raja jika mereka terus-terusan menanamkan kekeliruan dan membibit rasa syak wasangka dan prejudis di antara kaum sehingga semua kaum sudah menjadi tamak dan hanya mementingkan kaum sendiri.

Seruan menuntut keadilan dan kesamarataan sudah menjadi umpama ‘semburan minyak’ ke dalam api yang asalnya dalam sekam dan akhirnya telah naik menjulang tinggi. Semakin hari semakin jelas siapa watak sebenar yang menjadi punca kepada kekeliruan dan kekalutan yang berlaku. Watak itu pernah membuat pembakaran terbuka terhadap kekeliruan masyarakat pada zaman pelajar. Watak itu kemudian menukar pendekatan menjadi ‘pemimpin rasional’ tapi sebenarnya menjadi pembakar api dalam sekam dengan menganggotai kerajaan atas hasrat dan niat untuk menjadi Perdana Menteri.

Akhirnya watak tersebut sekali lagi membuat ‘pembakaran terbuka’ terhadap keharmonian dan keamanan rakyat setelah terpelanting dari pintu kuasa atas nama kesamarataan dan keadilan.

Watak ini sewaktu bergerak dalam NGO juga pernah memperlekehkan institusi raja-raja dengan memberi gelaran ‘Tok Pekong’, kononnya seperti tuhan yang hanya perlu disembah dan ditaati. Kalau watak ini berjaya menjadi Perdana Menteri dulu, mungkin negara ini sudah menjadi ‘Republic of Malaysia’….

DAULAT TUANKU……!

No comments:

Post a Comment