Monday, December 14, 2009

TITAH TUANKU

Sultan Selangor sekali lagi meluahkah kebimbangan baginda. Sekali lagi baginda ingatkan pentadbiran selangor supaya fokus kepada tanggungjawab sebenar iaitu penyelesaian terhadap soal pembangunan untuk rakyat.

Keutamaan kepada soal politik, politik dan politik yang tidak berkesudahan hanya akan mencacatkan proses pembangunan yang sepatutnya menjadi tumpuan utama sesebuah kerajaan yang memerintah.

Sultan selalunya jarang sekali memberi nasihat kerana baginda semua maklum bahawa kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan hasil pilihan rakyat.

Sultan selalunya bertindak macam bapa mertua. Tidak mahu campur urusan anak menantu kerana itu urusan rumahtangga mereka. Lagi pun menantu tu adalah pilihan anak sendiri.

Tapi kalau pak mertua dah selalu sangat memberi nasihat, ertinya, mesti ada yang tak kena dalam rumahtangga anak menantu.

Mana tidak. Isteri makan hati dek ragam suami. Anak cucu terbiar dek karenah bapak yang membiarkan anak membesar sendiri tanpa pimpinan dan pertanggungjawaban dari seorang bapak. Mestilah bapak mertua bersuara. Yang makan hati anak dia. Yang terbiar anak cucu dia.

Kerajaan yang dipimpin oleh PKR ini adalah kerajaan baginda. Rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan PKR ini adalah rakyat baginda.

Bila baginda sultan sudah bersuara dan menyatakan kebimbangan, sudah tentulah baginda sultan sudah tidak berapa yakin bahawa kerajaan PKR ini tidak berbuat seperti mana yang sepatutnya sebagai pemegang amanah kepada kerajaan baginda.

Rakyat bergaduh sama sendiri sehingga proses pembangunan terjejas. Kerajaan baginda sudah digunakan sebagai barang dagangan politik yang tak berkesudahan. Akhirnya rakyat yang sepatutnya dibela dan dibangunkan terbiar dan terjerat ke dalam mainan politik keterlaluan si pemegang amanah.

Sebagai raja yang bertanggungjawab, sudah tentulah baginda bimbang penularan budaya politik yang lambat laun jika dibiarkan boleh menjahanamkan keharmonian dan kemakmuran rakyat baginda.

Sekarang rakyat dan ramai pemerhati nak tunggu sejauh mana kerajaan PKR mahu mengambil berat terhadap nasihat dan saranan baginda sultan.

Kalau tiada perubahan, maka sahlah pemegang amanah kepada kerajaan baginda ini sudah tiada rasa hormat lagi kepada yang empunya kerajaan.

Jika begitu keadaannya, terpulanglah kepada rakyat untuk membuat pilihan, samada ingin terus membiarkan diri mereka terus jadi alat dan mainan sentimen politik pimpinan PKR, atau mahu menyahut pembelaan ke Bawah Duli Tuanku tehadap masa depan mereka.

Tuanku Sultan sudah meluahkan kebimbangan baginda, tapi kalau rakyat baginda terus lesu dan mengikut saja apa yang dilakukan oleh kerajaan pilihan mereka, maka tiada siapa yang boleh dipersalahkan lagi jika terbukti suatu hari nanti pandangan baginda sultan itu benar.

Wednesday, December 9, 2009

BTN : NAZRI CERCA ISTERI DAN ANAK SENDIRI

Ke mana sebenarnya halatuju Nazri Aziz? Apa sebenarnya yang dia mahukan? Sebagai pemimpin kerajaan, rasionalkah pemikirannya dalam memberi pandangan soal berkaitan BTN?

Kenapa tiba-tiba Tun Mahathir pulak yang dijadikannya sasaran paling utama dan bukannya pembangkang?

Bukankah dia yang selalu melatih pemuda UMNO melalui BTN dulu? Memanglah BTN pun ada menjalankan kursus untuk ahli UMNO. Bila kursus yang melibatkan ahli UMNO, sudah semestinya kepala ahli UMNO akan dicuci sesuai dengan modul yang berasaskan idealogi dan perjuangan UMNO.

Tapi bila BTN melatih pegawai dan penjawat awam, mereka ada modul yang berlainan sesuai dengan kepeluan latihan yang direka khusus mengikut kesesuaian fungsi dan peranan para pelatih sebagai penjawat awam di dalam sebuah kerajaan.
Seharusnya pegawai dan penjawat awam ini diberi pendedahan dan dilatih serta diindoktrinasikan mengikut acuan dan halatuju sebagai sesuah kerajaan yang memerintah. Kalau tidak, bagaimana mahu mentadbir jika antara pemimpin kerajaan dan penjawat awam berkomunikasi seperti bahasa ayam dan itik.

Tanyalah kepada penjawat-penjawat awam yang telah mengikuti kursus anjuran BTN, adakah pernah mereka diindoktrinasi mengikut modul latihan UMNO?

Nazri mungkin tak tahu atau buat-buat tak tahu perkara ni sebab dia selalu datang sebagai penceramah di atas tiket UMNO dan memberi ceramah pun kepada peserta UMNO. Dia pun terlibat sama menanamkan semangat melayu di dalam jiwa para peserta.

Dia yang terlibat secara langsung dalam membawa perjuangan rasis ini, kalau benar dia beranggapan modul BTN rasis.

Tindakan Nazri mencerca modul BTN ini bolehlah diibaratkan sama seperti dia mencerca isteri yang dikahwininya dan mencerca anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang dia sendiri akadkan.

Apa pandangan kita pada Nazri Aziz, jika dia mencerca perempuan yang dikahwininya sebagai kolot dan ketinggalan zaman?

Apa komen kita, kalau Nazri mencerca anak yang dilahirkan oleh isterinya tidak sepatutnya berwajah dan berperangai seperti itu? Bapak jenis apakah boleh dilabelkan JIKA ada bapa dan suami yang bermulut celupar seperti ini?

Lebih 20 tahun Nazri terlibat dengan BTN, baru sekarang dia memberitahu seluruh negara bahawa dia bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh pembangkang, bahawa BTN sudah melakukan kesilapan dengan membawa obor perjuangan rasis.

Tun Mahathir yang mempertahankan modul BTN pun tidak pasal-pasal dilabel rasis!

Bagaimana UMNO dan kerajaan mahu bangkit dan diterima kembali oleh rakyat jika terdapat sebahagian dari kalangan pemimpin yang memimpin UMNO tidak yakin dengan apa yang UMNO lakukan?

Pemimpin yang diamanahkan untuk meneruskan perjuangan UMNO tapi tidak bersetuju dengan kaedah yang dilakukan oleh UMNO, adalah tidak layak memimpin UMNO. Jika golongan ini terus-terusan diberikan amanah untuk menjaga UMNO, alamat makin cepatlah UMNO akan dibatu nisankan.

Mana-mana institusi samada organisasi politik, syarikat perniagaan atau pun persatuan akan gagal jika mereka yang mengemudi organisasi itu tidak yakin terhadap apa yang organisasi itu lakukan.

Pemimpin-pemimpin yang mahu diberikan amanah di dalam UMNO harus dinilai semula kelayakan dan ketahanan mereka dalam mempertahankan perjuangan parti. Jika perkara ini tidak dilakukan jurublog tidak nampak UMNO akan berjaya melalui proses pemulihan kepercayaan rakyat.

Presiden dan Timbalan Presiden parti harus memikirkan perkara ini secara serious kerana ujian sebenar PRU 13 mahu tidak mahu terpaksa juga dihadapi dalam tempoh dua atau tiga tahun ini.

Monday, December 7, 2009

KJ ATAU NAJIB JADI IDOLA ZAHID..?

Tiada rombakan kabinet yang melibatkan menteri. PM pun sudah buat penjelasan semalam. Kalau ada pun mungkin di peringkat timbalan menteri.

Malam tadi jurublog terima sms dari salah seorang ketua pemuda bahagian yang baru saja mengikuti majlis penutup kursus latihan pemuda di Janda Baik.

Smsnya berbunyi begini; (sebiji sepertimana dihantar)

“Ucapan Zahid d Janda Baik semasa menutup kursus pemuda….andai saya dilantik menjadi PM jam 12.50, 12.51 saya lantik KJ sebagai menteri….Oleh yang demikian relakah kita mbiarkan Zahid jadi PM???”

Kalau tak silap jurublog, semasa PRK Dun Permatang Pasir tempohari, DS Zahid pun ada menyebut perkara yang memberi maksud lebih kurang sama.

Manifestasi dari ucapan Zahid, jurublog ambil 2 kesimpulan;

1. Dato Zahid cuba mempertimbangkan kepentingan politik parti, atau pun;
2. Dato Zahid cuba mempertimbangkan kepentingan politik selain dari yang tersebut di atas.

PM Najib memberi alasan tiada rombakan di peringkat menteri kerana tidak mahu menjejaskan tumpuan menteri-menteri yang ada. Lagi pun kabinet yang ada baru berusia 7 bulan, jadi tak sesuai dan pentadbiran tidak akan berkesan kalau barisan kabinet asyik berubah.

Ucapan Zahid ini berlaku sesudah PM Najib mengumumkan tiada rombakan kabinet.

Jadi, apa sebenarnya agenda di sebalik saranan Zahid yang tidak pernah kenal erti jemu mengharapkan KJ dimasukkan dalam jemaah menteri?

Kalau pada pandangan Zahid perlantikan KJ sebagai menteri boleh menambah kekuatan parti, maka bolehkah disimpulkan bahawa PM Najib sudah tersilap perhitungan kerana tidak menamakan KJ sebagai salah seorang jemaah menteri?

Dari segi kepentingan parti, siapakah yang betul dalam soal KJ? Zahid atau PM Najib?

Kenapa bacaan Najib dan bacaan Zahid bertentangan sama sekali?

Lapuran mana yang dibaca Najib dan lapuran mana yang dibaca Zahid sehinggakan tafsiran yang keluar dari ke dua-duanya begitu bercanggah?

Kalau benar tafsiran Zahid yang betul, ini bermakna kerajaan sedang berada di dalam kerugian kerana tidak membawa KJ ke dalam kabinet.

Bagaimana pula kalau keputusan PM Najib yang betul?

Selaku pemegang kuasa prerogative, Najib sudah tentu mempunyai perkiraan yang sudah semestinya bertujuan untuk memulihkan sokongan terhadap parti dan kerajaan pimpinannya.

Selama ini Zahid memang sudah maklum tentang gaya pimpinan Najib kerana pernah jadi Supol dan Ketua Penerangan sewaktu Najib jadi menteri dan ketua pemuda.

Tapi dalam soal KJ ni nampak Zahid seolah-olah tidak memahami pulak bacaan politik bos yang mana jika tidak kerananya, kerjaya politik Zahid tak tau ada ditahap mana sekarang ni.

Dari bacaan politik jurublog, jurublog rasa Zahid ni memang ada agenda yang selain dari ‘demi kepentingan parti’.

Pertamanya, mungkin untuk buat ‘booking awal’ sokongan pemuda jika dia ada menyimpan cita-cita untuk jadi Timbalan kepada Najib.

Keduanya, mungkin hati masih sakit dengan mantan PM yang pernah mencacatkan kerjaya politiknya satu ketika dulu. Sedikit sebanyak mungkin jugak dia ‘semak mata’ bila masih ada waris peninggalan Tun Mahathir dalam kabinet Najib. Manalah tahu kot-kot waris peninggalan Tun Mahathir ni boleh menjadi penghalang kepada cita-cita besar Zahid pada masa depan.

Jurublog rasa Zahid perlu lebih bijak sedikit dari tahap kebijaksanaan yang dia miliki sekarang ni.

Dia perlu membuat kajian kes;

1. Adakah lebih berbaloi dia mengambil langkah mengikut arus perdana yang sedang cuba dilakukan oleh Najib untuk memulihkan sokongan terhadap parti, atau pun;
2. Mengambil langkah memperjuangkan KJ supaya diberi segala senapang, peluru berpandu dan pesawat Sukhoi, dengan harapan KJ akan mempergunakan semua peralatan dan senjata canggih ini untuk membantu Zahid mencapai cita-cita yang selain dari untuk kepentingan parti.

Pandai-pandailah Zahid memilih juruterbang yang amanah untuk mengendalikan pesawat Sukhoi ni. Jangan nanti terpilih juruterbang yang menjahanamkan kubu pertahanan sendiri.

Dato Zahid perlu ingat… kubu pertahan tu bukan milik peribadi tapi ia adalah milik seluruh bangsa melayu bernaung….

Tuesday, December 1, 2009

NIK AZIZ MEMBELAKANGKAN NABI MUHAMMAD?

Apa beza sunnah Nabi Muhammad saw dengan sunnah nabi-nabi terdahulu?

Kalau pada zaman nabi-nabi terdahulu beban menyebar agama hanya terletak di bahu para-para nabi. Umat mereka hanya bertindak mengikut dan taat kepada ajaran nabi-nabi. Pendek kata umat nabi terdahulu hanyalah bertaraf ‘abid’ atau ahli ibadat, manakala nabi-nabi mereka berfungsi sebagai penyebar agama.

Tetapi, umat Nabi Muhammad saw tidak begitu. Tugas umat Muhammad sama seperti tugas Muhammad, iaitu beribadat dan pada masa yang sama bertindak sebagai penyebar agama sepertimana juga nabinya.

Itu sebab umat Muhammad sangat istimewa berbanding dengan umat nabi terdahulu. Itu sebab jugalah nabi-nabi terdahulu ramai yang memohon untuk menjadi nabi akhir zaman.

Hinggakan Nabi Musa as pun berdoa, kalau tak dapat jadi nabi akhir zaman, dapat jadi umat kepada nabi akhir zaman pun sudah memadai.

Kenapa Nabi Musa berdoa sebegitu rupa?

Sebab baginda tahu kemuliaan umat nabi akhir zaman. Kemuliaan yang dimaksudkan ialah di bahu umat nabi akhir zaman juga terpikul keistimewaan nubuwah, iaitu fungsinya sama seperti mana fungi kenabian.

Apa yang ingin digambarkan di sini ialah tentang tentang kemuliaan umat Muhammad, doa nabi-nabi dan perbezaan doa Nabi Muhammad saw dengan doa nabi-nabi terdahulu.

Sudah tercatat di dalam Al Quran tentang kisah nabi-nabi terdahulu. Ada di antara nabi-nabi terdahulu yang mendoakan agar diturunkan bala atau musibah kepada umat-umatnya yang engkar kepada ajaran yang mereka bawa.

Nabi Noh dan Nabi Lut adalah di antara beberapa nabi yang berdoa sedemikian rupa sehingga doa mereka dimakbulkan tuhan.

Tapi Nabi Muhammad tidak pernah mendoakan umatnya sedemikian rupa, walau pun berbagai rintangan dan kesulitan yang tidak masuk akal telah dilakukan oleh umat baginda sewaktu baginda menyebar agama Allah.

Malahan, sewaktu peristiwa hijrah ke Taif, Allah swt telah mengarahkan para malaikat bersiap sedia di gunung-gunung dan bukit sekitar Taif bagi menunggu apa juga permintaan Nabi Muhammad.

Jika nabi bermohon kepada Allah supaya diterbalikkan bukit bukau dan gunung-gunung ketika itu, maka para malaikat akan lakukannya.

Walau pun Nabi Muhammad dihina, dihalau dan dibaling dengan batu-batu di sepanjang perjalanan baginda keluar dari Kota Taif, sehingga berdarah, tetapi Nabi Muhammad tetap mendoakan hidayat dan kebaikan untuk umatnya yang masih engkar.

Baginda berpendapat, jika umat baginda di Taif hari ini engkar dan menolak ajaran yang dibawa, mungkin cucu-cicit kepada mereka akan menerima ajaran baginda.

Sekarang mari kita bandingkan pendekatan Muhammad saw dengan pendekatan mereka yang digelar pewaris-pewaris nabi yang telah menjerumuskan diri di dalam gerakan demokrasi berparlimen di negara ini.

Bukankah ianya amat berbeza sama sekali?

Pewaris ajaran Nabi Muhammad saw hari ini lebih cenderung untuk mengikuti pendekatan nabi-nabi terdahulu yang mendoakan agar diturunkan bala kepada umat mereka yang engkar…!

Alasan mereka ialah nabi-nabi terdahulu pernah lakukannya dan adalah tidak salah untuk mereka mengikutinya, sedangkan Nabi Muhammad tidak pernah sekelumit pun mendoakan sesuatu yang buruk tertimpa, walau pun kepada Abu Jahal dan Abu Lahab..!

Adakah tindakan pewaris ajaran Muhammad ini boleh dianggap sebagai tindakan yang cuba membelakangkan pendekatan Nabi Muhammad?

Barang diingat, pada suatu hari Umar Al Khattab pernah dengan bangga membawa kitab-kitab nabi terdahulu untuk ditunjukkan kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad saw berpaling darinya sambil berkata, “Jika mereka-mereka itu masih hidup di zamanku, nescaya mereka juga akan beriman dengan apa yang aku bawa.

Ulamak-ulamak sohor yang sedang sibuk berpolitik pada hari ini adalah dicadangkan agar menilik semula kisah-kisah di atas supaya mereka tidak tersasar lebih jauh lagi sehingga kekeliruan dalam masyarakat menjadi lebih kronik.

Lebih banyak kekeliruan masyarakat yang timbul akibat dari fatwa mereka, maka akan lebih besarlah lagi risiko yang bakal mereka hadapi selepas hari kematian mereka kerana mereka adalah “warisatul-anbiya”.

Salam.