Wednesday, April 6, 2011

BUKAN NAK JUAL AGAMA....

Masa membelek kitab Fadhilat Zikir karangan Muhadditsin Allama Mohammad Zakaria terjumpa pulak hadis dan keterangan yang mungkin amat relevan dengan keadaan yang sedang bermaharajalela.

Saya jangka hadis ini lebih penting untuk rujukan ulamak PAS dan lain-lain ulamak yang berkaitan sama ada yang masak mahupun separuh masak. Saya tuliskan semula apa yang telah ditulis dan dikarang oleh penulis kitab ini tanpa apa-apa penambahan.

Abdullah ibnu Umar r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda;

Barangsiapa mengucapkan Subhanallah alhamdulillah Allahuakbar maka ditulis baginya 10 hasanat dengan tiap-tiap hurufnya. Dan barangsiapa yang memihak kepada yang bersalah di dalam perkelahian atau pergaduhan maka ia dimurkai Allah selagi ia tidak bertaubat. Dan barangsiapa yang meminta supaya hukuman Allah tidak dikenakan ke atas yang bersalah (yakni menghalangi perintah-perintah Allah) maka ia membantahi Allah. Dan barangsiapa yang melemparkan tuduhan (YANG TIDAK BERASAS) kepada seorang mukmin lelaki atau perempuan maka dia akan dipenjarakan pada hari kiamat di dalam radghatil Khabal sehingga ia menarik balik tuduhan itu, bagaimana ia akan menarik balik tuduhan itu di sana.

KETERANGAN;

Memihak kepada yang bersalah telah menjadi perkara yang lumrah dewasa ini. Mengenai sesuatu perkara yang kita tahu akan kesalahannya tetapi disebabkan masalah keluarga, parti dan lain-lainnya ia menghalangi kita daripada memihak atau menyokong kepada yang benar. Dengan memihak kepada yang salah kita tidak akan menghiraukan sama sekali akan kemarahan dan kemurkaan tuhan, kita tidak berani menegur orang yang membuat salah malahan kita menyokongnya dan menentang bermati-matian kepada pihak lawannya.

Jika seseorang rakan kita terlibat dengan mencuri, merompak, perbuatan yang keji seperti perzinaan dan sebagainya maka kita memberi sokong dan galakan kepadanya. Yang itukah kehendak iman kita, yang itukah kehendak dan ajaran agama kita dan dengan sikap kita itukah kita membangga-banggakan keislaman kita, tidakkah kita memburuk-burukkan nama baik Islam pada pandangan bangsa-bangsa asing dan kita menghina diri kita sendiri pada pandangan Ilahi?”

Di dalam sebuah hadis ada disebutkan;

Bahawa barangsiapa mengumpulkan manusia kepada ta’asub atau membantu pihak yang zalim kerana ta’asub maka ia bukan dari golongan kami”.

Di dalam hadis yang lain ada disebutkan bahawa erti Ta’asub di sini ialah membantu kaum kerabat yang melakukan kezaliman.

Radghatul Khabal ialah tasik yang lumpurnya ialah darah dan nanah dari ahli-ahli neraka jahanam. Alangkah kotor dan derita di tempat itu di mana orang-orang yang melempari tuduhan yang tidak benar kepada seseorang itu akan dipenjarakan.

Menuduh seseorang dengan sekehendak hati kita, kita menganggapnya sebagai perkara lumrah dewasa ini. Akan tetapi pada besok hari (hari kiamat) semestinyalah kita kena buktikan segala sesuatu yang diucapkan oleh lidah kita dan bukti yang diterima di sana hanyalah bukti-bukti yang sah dari segi syarak. Bukanlah seperti di dunia ini di mana kita biasa membisukan seseorang dengan kelancaran lidah kita tetapi di sanalah akan ternyata nanti bahawa percakapan itu benar atau salah.

Baginda saw pernah bersabda;

Seseorang yang berbicara akan sesuatu tanpa hiraukannya sedikit pun walhal dengan kerananyalah ia akan dilemparkan ke dalam neraka jahanam”.

Dalam sebuah hadis yang lain pula telah menyatakan bahawa barang siapa yang memalukan seseorang kerana sesuatu maksiat maka dia sendiri akan terlibat dengan maksiat itu sebelum ia mati.

Di dalam mensyarahkan hadis ini, Imam Ahmad ibnu Hanbal rah.menerangkan bahawa erti maksiat di sini ialah maksiat yang telah ditaubatkan daripadanya oleh pelakunya.

Sekian sahaja untuk peringatan kita semua. Salam.

1 comment:

  1. sgt setuju ngan pandangan saudara. mereka yg bebal ni sentiasa mencari helah utk menutup maksiat yg dilakukannya, bahkan bawa pulak org lain utk bantu menyembunyikan maksiat yg dilakukannya.dan pusing pulak tuduh org lain yg buat konpirasi....bodoh tul

    ReplyDelete