Apabila ditanya kenapa beliau berlakon dalam video klip Tahun Baru Cina, Perdana Menteri menjawab itu adalah sebagai tanda dan contoh yang beliau ingin tunjukkan kepada rakyat betapa semua rakyat harus saling menghormati perbezaan di dalam kepelbagaian yang wujud di antara kaum yang wujud di negara ini.
Tiada formula yang lebih berkesan di dalam usaha memupuk budaya saling "menghormati kelebihan dan memahami kekurangan" yang terdapat pada sesetengah kaum dengan kaum yang lain, melainkan semua pihak harus mengamalkan prinsip "menerima dan menghormati" hak, budaya dan hari-hari kebesaran serta amalan kepercayaan yang diamalkan oleh setiap kaum tanpa mana-mana kaum mengeji mana-mana kekurangan yang terdapat pada kaum yang lain, dan pada masa yang sama tidak mendabik dada mengatakan kaum mereka lebih mulia dari kaum yang lain.
Di tanah Arab suatu waktu dahulu, "budaya memuliakan darah keturunan" telah mendominasi kehidupan mereka di mana masing-masing kabilah merasakan kaum atau kabilah mereka lebih tinggi kedudukan dan kemuliaannya dari kabilah atau kaum yang lain.
Begitu juga dengan kaum Bani Israel. Mereka merasakan darah mereka lebih mulia dari semua bangsa yang terdapat di dunia ini. Mereka beranggapan Allah swt telah meninggikan kedudukan dan kemuliaan kaum bani Israel berbanding bangsa lain atas alasan sebahagian besar nabi-nabi dan rasul yang dihantar ke mukabumi adalah dari kalangan bangsa yahudi.
Nabi Muhammad saw, utusan Allah yang membawa rahmat keseluruh alam telah berjaya menghapuskan sikap buruk yang memandang mulia terhadap kaum sendiri dan memandang rendah kemuliaan kaum lain.
Kemuncak kepada kejayaan Nabi Muhammad saw di dalam melupuskan sifat bangga terhadap supremacy kaum masing-masing boleh dinilai dari kewujudan negara yang dinamakan "Madinah Al Munawwarah".
Seluruh kaum dan kabilah yang wujud di tanah Arab akhirnya telah berjaya "disatukan" di atas kalimah "Lailahaillallah, Muhammad Rasulullah". Malah, kaum yahudi yang tinggal di Madinah juga turut "akur dalam diam tanpa dapat melakukan apa-apa" di atas kerberkatan, hikmah dan khasiat tersembunyi di sebalik keagungan kalimah Allah yang didakwahkan oleh Nabi Muhammad saw.
Kesan dari pegangan kuat para sahabat terhadap kalimah Allah dan ajaran Muhammad saw ini, boleh dilihat dari sikap masing-masing kabilah atau kaum telah berubah dari berbangga dengan supremacy sendiri kepada konsep "menerima" dan "mengiktiraf" kelebihan, kemuliaan dan hak yang ada pada kaum yang lain. Bangsa arab ini juga turut "menerima" dan "memahami" setiap kekurangan yang wujud di antara kabilah atau kaum masing-masing.
Semua ini berjaya dilakukan oleh Nabi Muhammad saw adalah di atas faktor "anugerah" Allah swt yang telah menganugerahkan sebahagian dari "maha BijaksanaNya" terhadap baginda di dalam membimbing bangsa arab keluar dari kepompong "sifat bangga diri, ketamakkan serta sifat assabiah kaum yang begitu menebal".
Bangsa arab yang sebelum itu sentiasa berpecah-belah, bersifat tamak dan berperang sesama sendiri kerana menuntut hak, wilayah dan "pengiktirafan" telah bertukar wajah menjadi sebuah bangsa yang begitu toleransi sifatnya. Sifat mereka telah berubah dari saling menuntut hak kepada saling melunaskan hak kepada kaum atau kabilah lain.
Kesatuan dan perubahan sifat bangsa arab ini hanya "terzahir" melalui KPI "kesanggupan melakukan pengorbanan" yang telah menjadi "core value" terpenting di jiwa bangsa arab hasil dari bimbingan dan didikan yang dibawa oleh Muhammad saw.
Kaum Ansar, iaitu kaum asal bumi Madinah telah melepasi KPI, iaitu melakukan pengorbanan besar "dengan cara" melepaskan sebahagian dari hak dan supremacy mereka untuk dikongsi bersama dengan kaum pendatang, iaitu kaum Muhajirin yang berhijrah dari Mekah.
Kaum asal Madinah ini telah mengorbankan sebahagian dari tanah dan kediaman milik mereka dan dilepaskan tanpa syarat kepada kaum muhajirin untuk membolehkan kaum muhajirin Mekah ini memulakan kehidupan baru di negeri baru dan asing bagi mereka.
Lebih menyentuh perasaan Rasulullah saw, ada dikalangan kaum asal Madinah ini yang telah menceraikan sebahagian dari isteri mereka untuk dikahwinkan dengan mana-mana lelaki Muhajirin yang tidak beristeri.
Pelbagai etnik dan kabilah arab yang majmuk sifatnya telah dapat menjalani 1kehidupan sebagai 1rumpun umat yang bersatu di atas 1landasan dan 1fikir di dalam 1negara baru yang terbangun di atas 1kalimah yang menjamin kejayaan buat mereka di dunia dan di akhirat.
Adakah terdapat mana-mana sejarah ketamadunan bangsa di dunia dan di sepanjang zaman yang lebih tinggi dari nilai KPI ketamadunan sebagaimana yang telah dibina oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw di Madinah Al Munawwarah ini?
Adakah terdapat mana-mana bangsa di dunia ini yang telah melepasi KPI "pengorbanan" sebagaimana kPI pengorbanan yang telah dilakukan oleh kaum asal Madinah terhadap kaum yang berhijrah?
Jawabnya, tiada mana-mana bangsa di dunia yang telah melepasi KPI pengorbanan sebagaimana kaum asal Madinah, melainkan ianya pernah dilakukan "oleh sebuah bangsa di negara Timur Jauh yang bernama MELAYU"!!
Jika KPI pengorbanan dan sifat mulia kaum Ansar telah benar-benar mengembirakan Allah dan RasulNya, sudah pasti sifat "pengorbanan dan kemuliaan yang sama" sepertimana yang dilakukan oleh bangsa Melayu pasti akan menyebabkan Allah dan RasulNya juga turut gembira.
Mana mungkin Allah dan RasulNya bersifat pilih kasih dengan melebihkan kemuliaan kaum Ansar melebihi kaum melayu yang turut dan telah melakukan KPI pengorbanan yang hampir sama.
Kaum Ansar melakukan pengorbanan sewaktu bersama Nabi Muhammad saw, sebaliknya kaum melayu telah melakukan pengorbanan yang "hampir-hampir mirip" 1400 tahun selepas kewafatan baginda. Bangsa melayu melakukan pengorbanan hanya bersandarkan kepada "keyakinan terhadap amalan toleransi" yang diwarisi dari ajaran dan nilai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.
Persoalan seterusnya yang harus ditanya ialah, adakah terdapat mana-mana kaum pendatang yang terdapat di dunia ini dulu, kini dan selamanya yang telah melepasi KPI lebih baik dari KPI yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin Mekah selaku kaum yang berhijrah?
Adakah terdapat mana-mana kaum pendatang di dunia ini yang telah mendapat keistimewaan dan pengiktirafan seterusnya telah diberi peluang "berkongsi negara dan segala hasil mahsyulnya" sebagaimana yang diperolehi kaum Muhajirin Mekah?
Jawabannya sudah pasti "tiada", melainkan ulangan peristiwa ini hanya berlaku di bumi Tanah Melayu. "Jus soli" adalah bukti jelas bahawa apa yang dinikmati oleh kaum pendatang yang berhijrah ke negara ini telah menikmati kenikmatan hidup sepertimana yang diperolehi kaum Muhajirin Mekah.
Peristiwa "mirip" kepada "persefahaman di antara Kaum Ansar Madinah dan Kaum Muhajirin Mekah" hanya "termeterai semula" di tanah melayu, di mana kaum yang berhijrah dari negeri China dan Asia Selatan sewaktu negara ini di ambang kemerdekaan telah diterima oleh seluruh umat Melayu sebagai sebahagian dari warganegara di Tanah Melayu.
Jika KPI kaum Ansar adalah berasaskan kepada kesanggupan melakukan pengorbanan, KPI Kaum Muhajirin pula ialah, "BERSYUKUR dan BERTERIMA KASIH" di atas apa yang telah diterima dan dinikmati.
Mereka tidak pernah minta lebih dari apa yang telah dikorbankan dan diberikan oleh Kaum Ansar kepada mereka. Sifat "menuntut hak, diberi betis mahukan peha" tidak pernah wujud pada diri kaum Muhajirin, manakala sifat "menuntut kembali hak" yang telah dilepaskan kepada Kaum Muhajirin juga tidak pernah wujud dikalangan kaum Ansar.
Di Negara Madinah Al Munawwarah tidak pernah timbul isu "kaum asal" menuntut kembali hak mereka. Begitu juga dengan Bangsa MELAYU. Hingga kini Melayu tidak pernah menuntut kembali apa yang telah mereka korbankan. Apa yang dilakukan oleh bangsa Melayu hari ini hanyalah mempertahankan "baki hak" yang masih tinggal pada mereka.
No comments:
Post a Comment