Kesilapan percaturan pilihan calon di pihak pembangkang dan BN tidak memberi kelebihan di kedua-dua belah pihak kerana masing-masing mencipta kelemahan tersendiri.
Kesilapan menentukan calon yang sesuai di sesetengah tempat oleh pembangkang akan memberi kelebihan di pihak BN jika BN memilih calon yang tepat. Begitu juga sebaliknya.
Terdapat juga kawasan di mana ke dua-dua belah pihak melakukan kesilapan percaturan dalam menentukan calon yang sesuai.
Ke dua-dua senario ini dilihat agak ketara berlaku di Negeri Sembilan dan Selangor.
Kesilapan percaturan ini akan memberi kelebihan kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka sendiri.
Dalam senario begini, pengundi tidak terikat dengan faktor calon sedangkan ke dua-dua BN mahu pun pembangkang "mengakui", faktor kesesuaian calon adalah faktor paling penting yang menjadi pertimbangan utama pengundi pada kali ini.
Pengundi hari ini rata-rata berpendapat dasar atau manifesto yang baik tidak semestinya memberi benafaat langsung kepada mereka jika wakil rakyat yang mewakili mereka tidak berkeupayaan untuk menterjemah manifesto yang dijanjikan secara berkesan di kawasan yang diwakilinya.
Buah manggis yang berkualiti tinggi akhirnya akan gagal untuk dinikmati jika "jurukait" yang mengait buah manggis ini dipertanggungjawabkan kepada orang yang salah. Buah manggis akan "bonyo dan korang" jika jurukait yang diamanahkan hanya menjolok dan merembat pengolan ke daun dan dahan untuk tujuan "menurunkan" buah manggis.
Manifesto yang baik hanya boleh dinikmati oleh rakyat jika sistem atau pihak penyampai berupaya menyampaikannya kepada rakyat dengan berkesan, penuh ikhlas dan wujud perasaan yang benar-benar jujur ingin supaya rakyat yang diwakilinya dapat menikmati semua janji ini secara langsung.
Ramai wakil rakyat dari ke dua-dua belah pihak telah gagal menjalankan khidmat sepertimana sepatutnya di kawasan-kawasan yang diwakilinya.
Faktor inilah yang telah menjadi penyumbang terbesar kepada kekecewaan rakyat di banyak kawasan.
Janji bulan bintang yang dijanjikan oleh pakatan, mahu pun janji realistik yang diakujanjikan oleh BN hanya akan tinggal janji jika agen penyampaian atau wakil rakyat yang diamanahkan oleh ke dua-dua parti untuk mewakili rakyat gagal berperanan dan malas berkhidmat.
Jika persepsi sebegini menguasai pemikiran majoriti pengundi, maka ke dua-dua pihak mempunyai peluang samarata untuk menang dalam PRU kali ini.
Jika majoriti pengundi lebih pentingkan rekod pemerintahan, maka BN akan menjadi pilihan utama pengundi.
Jika majoriti pengundi mengundi kerana parti, maka BN juga akan menang besar.
Jika majoriti pengundi lebih terkesan dengan kepimpinan transformasi yang dibawa oleh DS Najib, BN juga akan menang besar.
Jika majoriti pengundi mengundi berdasarkan emosi dan sentimen semasa maka peluang ke dua-dua belah pihak akan banyak bergantung kepada faktor individu calon dan keberkesanan jentera di peringkat kawasan.
Jika perhimpunan 60 ribu kaum cina di Kelang bersama DS Najib tempohari memberi mesej "show of support" pengundi cina keoada BN, maka sahlah BN akan menang 2/3.
Sebaliknya jika perhimpunan tersebut lebih kepada "acara keraian" semata-mata, maka berkemungkinan besar "status quo" akan kekal.
Jika status quo kekal, maka tidak boleh ditolak MCA dan Gerakan akan berkubur buat selamanya.
Jika prinsip patah tumbuh hilang berganti tergunapakai di dalam prinsip perkongsian kuasa, dan negara ini tidak boleh lari dari konsep perkongsian kuasa, maka tidak boleh ditolak juga kemungkinan DAP yang mungkin terbatal pertubuhannya akan menjelma di dalam bentuk baru di dalam Barisan Nasional Baru.
Jika itu yang terjadi, maka rakyat negara ini mungkin akan menerima "kejutan terbesar" apabila struktur politik negara berpindah ke paradigma alternatif baru sebagai penyelesaian total untuk rakyat dan kestabilan politik negara yang bebas dari peliwat.
No comments:
Post a Comment