Tindakan beberapa pemimpin UMNO bertanding atas tiket bebas atas dasar kecewa tidak terpilih sebagai calon, jelas adalah suatu tindakan emosi. Mendahului kepentingan diri melebihi kepentingan parti.
Suatu tindakan yang dibuat harus rasional dan berpegang di atas justifikasi tertentu. Justifikasi tersebut haruslah bersandarkan kepada maksud yang berlegar dilingkungan kepentingan parti, agama bangsa dan tanah air.
Tindakan sahabat nabi yang melanggar perjanjian Hudaibiah dengan bertindak lari meninggalkan Mekah ke Madinah benar-benar menduga iman Rasulullah, apabila terpaksa menghantar semula sahabat ini kembali ke Mekah kerana akur dengan perjanjian Hudaibiah.
Sahabat ini pula sewaktu dalam perjalanan ke Mekah telah bertindak engkar sekali lagi dengan melarikan diri dan tidak mahu dia dikembalikan ke Mekah.
Keengganan sahabat ini untuk mentaati perjanjian Hudaibiah adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh menggugat perjanjian yang telah dimeterai. Ia boleh ditafsirkan sebagai suatu pengkhianatan.
Tetapi, sahabat ini mempunyai sebab demi kepentingan untuk menyelamatkan iman dan Islam yang ada dalam dirinya. Beliau berfikir, takut iman dan Islamnya akan hanyut jika beliau terus hidup di Mekah bersama dengan kaum Musyhrikin.
Maksud, justifikasi dan niat akan menentukan samada tindakan bertanding di atas tiket bebas oleh sebilangan ahli dan pemimpin UMNO suatu pengkhianatan atau pun tidak.
Jika tindakan itu kerana mahu melayan rasa kecewa semata-mata, ia adalah suatu pengkhianatan kepada parti dan keputusan pucuk pimpinan.
Tetapi jika tindakan tersebut dibuat bagi menyelamatkan parti dari menerima kekalahan disebabkan kesilapan meletakkan "calon boleh kalah", secara peribadi ia tidak boleh dikatakan khianat kepada parti.
Secara teknikalnya, tindakan Che Johan Che Pa tidak menyerahkan borang pencalonan selaku calon yang diamanahkan oleh BN untuk bertanding di Pasir Mas adalah suatu pengkhianatan terhadap parti.
Tetapi, hujah beliau tidak menyerahkan borang pencalonan ada justifikasi yang jelas, iaitu demi menghalang pihak lawan, PAS memenangi kawasan tersebut.
Bermakna, beliau ingin memberi laluan kepada Ibrahim Ali calon bebas yang mesra BN beroleh kemenangan di Pasir Mas.
Maksud Che Johan Che Pa tidak lari dari matlamat untuk menyelamatkan kerusi tersebut dari jatuh ke tangan pihak lawan.
Ia berbeza dengan tindakan Kamelia Ibrahim yang bertanding bebas semata-mata kerana mahu melayan rasa kecewa walaupun kekecewaan itu dilihat mewakili kekecewaan golongan wanita.
Tindakan Kamelia hanya boleh dihalalkan jika calon BN, Wan Khairil adalah "calon pasti kalah" jika bertanding. Jika benar pun Wan Khairil boleh kalah, tetapi Kamelia juga harus menilai samada tindakan yang dibuatnya boleh memberi kelebihan kepada BN atau pun kepada pihak lawan.
Jika tindakannya boleh menyebabkan undi BN berpecah, maka keputusan yang dibuatnya itu adalah jelas merupakan suatu pengkhianatan terhadap parti.
Tetapi, jika tindakan itu boleh memberi keuntungan kepada BN bagi mengekang pengundi BN yang kecewa dari memberi undi kepada pihak lawan, maka justifikasi ini tidaklah boleh dikatakan suatu pengkhianatan. Jika dengan tindakan Kamelia bertanding bebas, boleh menyebabkan pihak lawan menarik diri dan memberi laluan kepadanya, maka itu adalah lebih baik lagi.
Senario ahli UMNO bertanding bebas ini hanya boleh terpakai jika calon-calon yang dikemukakan oleh BN itu benar-benar pasti tidak mungkin boleh menang.
Saya sendiri telah membuat keputusan untuk "tidak mahu bertanding sebagai calon bebas" di DUN Juasseh kerana saya telah membuat kajian bahawa di DUN Juasseh, BN masih berpeluang untuk menang jika semua pihak memberikan kerjasama dan berkorban mendahului kepentingan parti melebihi perasaan tidak puas hati mereka terhadap calon lama yang dikatakan gagal berkhidmat dengan baik selama 2 penggal sebagai YB.
Jika kajian saya tempohari tidak menunjukkan tanda-tanda BN boleh menang dan calon yang diketengahkan pasti kalah, sudah pasti saya akan membuat keputusan bertanding di atas tiket bebas kerana saya berpendirian, saya tidak sekali-kali akan membenarkan DUN Juasseh jatuh ke tangan pembangkang hanya disebabkan kelemahan dan kesilapan lalu khidmat bakti calon BN yang telah diberi semula kepercayaan oleh Mohamad Hasan (bukan keputusan pucuk pimpinan parti) untuk mempertahankan DUN Juasseh.
Saya turut memberi ingatan kepada calon BN Juasseh supaya bekerja keras dan merayu kerjasama semua pihak walaupun terpaksa menerima cacian dan maki hamun akibat dari kegagalannya memberi khidmat secara berkesan selama 2 penggal.
Saya juga mengingatkan beliau, "saya selaku ahli UMNO yang ingin melihat UMNO terus memerintah, tidak akan memaafkan beliau jika disebabkan kegagalannya sepanjang 2 penggal sebagai wakil rakyat akan menyebabkan UMNO dihukum oleh pengundi dengan kekalahan yang mengaibkan".
Belum pernah dalam sejarah, pihak pembangkang memenangi mana-mana kerusi di bawah parlimen Kuala Pilah sejak Merdeka.
Seandainya terjadi kekalahan di mana-mana DUN di Kuala Pilah, tiada siapa yang layak dipertanggungjawabkan kecuali Mohamad Hasan dan batang tubuh calon sendiri. Jangan menuding jari kepada ahli UMNO atau pengundi yang tidak mengundi BN.
"Ahli biasa UMNO" juga adalah "rakyat biasa dan warganegara" yang mempunyai hak untuk memikirkan yang terbaik untuk masa depan diri, keluarga, masyarakat setempat, agama, bangsa dan tanah airnya. Hak ahli dan rakyat ini tidak boleh dinafikan begitu saja. Pemimpin parti tidak boleh dengan bebas bertindak sesuka hati mencalon sesiapa tanpa mengambilkira perasaan, kehendak dan kemampuan ahli dan rakyat untuk menilai kelayakan dan kemampuan seseorang wakil untuk mewakili mereka.
Suara UMNO suara rakyat. Seharusnya Kembalikanlah suara rakyat di dalam UMNO. Kembalikan suara ahli UMNO yang mewakili aspirasi dan cita-cita rakyat. Itu sahaja jalannya bagi mengembalikan kekuatan majoriti umat melayu agar terus bersama UMNO dulu, kini dan selamanya. Singkirkan sesiapa saja "petualang dan pengkhianat parti" tanpa mengira siapa, jawatan mahupun pangkat, jika mereka turut didapati menjadi penyebab dan penyumbang sehingga UMNO disisihkan, dijauhi serta dijadikan bahan jenaka oleh majoriti rakyat.
No comments:
Post a Comment