Thursday, April 11, 2013

INGATAN TUN M: AYAM TAK KOKOK PUN HARI TETAP AKAN SIANG!!

KUALA LUMPUR, 10 April – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan anggota Barisan Nasional (BN) yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) harus menerima keputusan itu dengan fikiran terbuka.

Bekas perdana menteri berkata penyandang kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak terpilih perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya mereka perlu berundur.

“Kalau betul-betul sayang parti, mereka akan terima dengan fikiran terbuka malah harus sokong parti dan calon ganti itu. Kena ingat dulu mereka menang sebab orang-orang (penyokong) itu juga, jadi kena kembali menyokong calon baharu,” katanya dalam program ‘Soal Jawab’ yang disiarkan TV3 malam ini.

Dr Mahathir berkata penggantian calon perlu dilakukan pada setiap pilihan raya bagi memberi peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada parti.

Mengambil contoh parti UMNO, beliau berkata tindakan memilih orang lama parti untuk bertanding akan menyebabkan ramai orang tidak akan menyertai parti itu.

“Ini menyebabkan UMNO makin lama makin kecil atau diisi oleh orang-orang yang tidak berbakat".

Itu antara intipati dalam Program Soal Jawab TV3.

Walau bagaimana pun saranan Tun M ini seharusnya turut dijadikan peringatan oleh semua pihak, termasuk calon-calon yang dinamakan.

"Penerimaan" terhadap sebarang "ketentuan" harus menjadi pakaian asas setiap individu, bukan saja dalam ertikata politik, malah harus dijadikan pakaian di dalam apa saja ruang lingkup kehidupan.

Bagi memudahkan kita "menerima ketentuan" dan "menerima saranan" yang diberikan oleh Tun M ini, di bawah adalah antara petua yang harus diamalkan oleh setiap bakal calon, samada mereka yang di dalam kategori mahu dicalon semula, mahupun mereka yang di dalam kategori bakal calon baru;

1. Ada orang berusaha keras untuk menjadi calon, dan akhirnya berjaya.
2. Ada orang berusaha untuk menjadi calon, tapi tidak berjaya.
3. Ada pula orang tidak berusaha menjadi calon, tapi dapat pulak. 
4. Ada orang tidak melakukan apa-apa usaha, dan mereka tidak mendapat apa-apa.
5. Ada yang berusaha agar terus dicalonkan semula, dan mereka berjaya.
6. Ada yang berusaha agar terus dicalonkan semula, dan mereka gagal.
7. Ada yang tidak berusaha pun untuk dikekalkan, tapi akhirnya dikekalkan juga.
8. Ada yang tidak berusaha untuk dicalonkan semula, dan akhirnya memang benar-benar tidak dicalon semula.

Jika 8 "rumusan takdir dan ketentuan" ini boleh diterima, maka tidak akan timbul isu kecewa tidak dicalon semula. Tidak akan timbul isu kecewa kerana gagal lagi. Tidak akan gentar berhadapan dengan takdir yang tidak menyebelahi kita. 

Kita juga tidak akan melakukan sesuatu perkara dan tindakan yang "mendahului tuhan" atau "mendahului Presiden parti" dengan melakukan pelbagai gerakan dan misi politik atau pun membuat kenyataan yang boleh menyulitkan parti dan Presiden parti untuk membuat keputusan yang terbaik untuk parti.

Kta boleh melihat dengan jelas bagaimana karakter-karakter para "pemegang jawatan" yang tidak sanggup menerima hakikat "kemungkinan tidak lagi memegang jawatan" selepas ini. Pelbagai gerakan dilakukan untuk "memintas" kemungkinan "ketentuan tidak terpilih lagi" samada sebagai calon, sebagai menteri ataupun Menteri Besar.

Bagi yang memahami dan menerima pakai 8 rumusan takdir ini, mereka hanya "tertawo" melihat kelakuan, ragam dan karenah puak yang takut mengharungi hari-hari suram, seolah-olah jika tidak lagi memegang jawatan, ayam akan berhenti berkokok dan hari tidak akan siang lagi.

No comments:

Post a Comment