Apakah yang dimaksudkan oleh PM DS Najib formula "national reconciliation" adalah jalan penyelesaian holistik kepada masalah politik dan perpaduan negara, sewaktu beliau mengulas kemenangan majoriti mudah BN pada malam keputusan PRU13 yang lalu?
Apakah "national reconciliation" yang dimaksudkan itu hanya sekadar untuk mengingatkan semua pihak supaya berfikir secara rasional dan menghentikan segala polemik politik yang berpanjangan dan menumpukan seluruh tenaga dan fikiran untuk bergerak ke hadapan?
Atau, apakah ia bermaksud semata-mata untuk meredakan situasi tegang penyokong ke dua-dua pihak supaya menerima keputusan yang telah mereka buat?
Atau, apakah ia bermaksud untuk memberi mesej kepada pihak lawan bahawa BN bersedia membuka pintu rundingan demi mencapai hasrat ke arah national reconciliation yang sebenar?
Jika hanya disebabkan 3 maksud di atas, ia tidak akan membawa apa-apa makna kerana semua itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan berdasarkan senario yang ada hari ini.
National Reconciliation seharusnya lebih besar dari semua itu. Reconciliation adalah suatu penyelarasan semula suatu senario atau perkara sediada agar ia kembali menuruti sistem norma yang lazim.
Penyelarasan semula seharusnya melibatkan soal prinsip dan dasar atau pun "foundation" yang bersifat fundamental. Reconciliation sebenar seharusnya melibatkan perubahan struktur, integrasi dan applikasi (hardware, integration & software).
Penyelarasan semula bermaksud "readjustment", "realignment", "restructuring" dan "correction" dari suatu amalan atau senario sedia ada kepada amalan dan senario baru yang lebih baik di atas maksud memperbetulkan semula senario tersebut tetapi ia haruslah menurut sistem nilai yang bersandarkan prinsip, dasar dan amalan atau piawaian yang benar dan lazim.
Jika benar asas ini yang dimaksudkan di sebalik apa yang diungkapkan oleh DS Najib, ia pasti bakal melibatkan sesuatu Reconciliation yang benar-benar besar dan signifikan kesannya, dan semestinya ia menuju kearah langkah penyelesaian yang bersifat menyeluruh.
Allahyarham Tun Razak pernah melakukan "reconstruction of nation building" sebagai langkah penyelesaian menyeluruh kepada krisis ketidakseimbangan kaum di dalam kuasa politik, pendidikan, ekonomi dan sosio-masyarakat dengan menjadikan langkah menyusun semula masyarakat serta membasmi kemiskinan tanpa mengira ras dan kepercayaan sebagai asas pembinaan semula negara bangsa. DEB menjadi medium penyampaian dan perlaksanaan bagi mencapai matlamat yang digariskan, manakala dari segi politik, Barisan Nasional telah diwujudkan menggantikan Perikatan yang lebih terangkum perkongsiannya.
Hasil dan kejayaan formula ini tiada siapa yang boleh menafikan.
Sepatutnya suatu formula penyelesaian yang menyeluruh sudah pun dirangka dan dilaksanakan sebaik saja negara menyaksikan berlakunya ulangan peristiwa ketidakstabilan politik dan sosio-masyarakat yang mirip kepada senario yang berlaku pada pasca PRU1969.
Tapi sayang, pemimpin-pemimpin negara yang ada ketika itu samada dari kalangan pemimpin kerajaan mahupun pembangkang tidak lagi mampu berfikir dan bertindak sehebat pemimpin berjiwa besar yang ada sewaktu berhadapan dengan krisis pasca PRU1969.
Masing-masing gagal berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Kepentingan politik kepartian dan ego siapa lebih berkuasa dan diberi mandat oleh rakyat telah melebihi segala-galanya.
Masing-masing bertahan dan mempertahankan kepentingan kepartian dan ego kekuasaan politik masing-masing. Mereka, masing-masing parti menyusun matlamat dan segala strategi serta mempersiapkan segala kekuatan masing-masing untuk berusaha memenangi mandat dari rakyat pada pada pertarungan seterusnya di PRU13.
Mereka, masing-masing parti menyerahkan bulat-bulat kepada rakyat untuk menentukan dan membuat pilihan bagi menyelesaikan segala permasalahan dan implikasi krisis yang muncul selepas PRU2008 dengan cara memaksa rakyat memilih samada parti mereka atau lawan mereka.
Akhirnya, apa yang berlaku, inilah keputusan yang kita terima hasil dari tindakan parti-parti politik ini menyerahkan bukat-bulat kepada rakyat berlawan dan beradu kekuatan di medan demokrasi!
Tiada mana-mana pihak yang benar-benar mendapat mandat secara mutlak, malah kedudukan dan senario politik menjadi semakin sengit dan getir kerana kemenangan yang diperolehi BN semakin marginal.
Apakah rakyat bersedia dan sanggup untuk terus berhadapan dengan situasi politik melampau sebegini 5 tahun lagi sehingga berlangsungnya PRU14?
Apakah pemimpin-pemimpin politik hari ini masih terus mahu melakukan pendekatan yang sama tanpa penyelesaian mutlak dengan terus mempersiapkan segala kekuatan dan strategi masing-masing untuk memenangi hati rakyat sehingga berlangsungnya perlawanan merebut mandat rakyat pada PRU14?
Berapa lama dan berapa kali PRU lagi harus diulangi kaedah menyerahkan bulat-bulat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan ini? Apakah kaedah penyelesaian kepada semua krisis politik yang membebankan dan keterlaluan ini hanya mahu dilepaskan kepada rakyat untuk membuat pilihan hingga munculnya pemenang mutlak yang bakal membentuk sebuah kerajaan yang stabil untuk rakyat dan negara?
Apakah masih ada lagi senario di mana parti politik di negara ini akan diberi mandat secara 2/3 oleh rakyat?
Pemimpin-pemimpin politik negara ini sudah tidak memahami budaya dan resepi politik bangsa dan tanah air sendiri hingga membiarkan politik negara ditentukan secara mutlak oleh market forces(pengundi) secara mutlak. Negara ini belum mencapai dan tidak mungkin sesuai untuk mengadaptasi 100% demokrasi ala barat. Kematangan dan budaya berpolitik negara ini tidak sama keperluan dan masalahnnya dengan demokrasi negara barat.
Bukti jelas baru saja kita lihat. Sehingga kini Anwar Ibrahim "tidak terucap" untuk memberikan ucapan TAHNIAH kepada pihak yang menang. Anwar tidak mampu melakukan kematangan politik sepertimana Al Gore mengucapkan tahniah kepada G.Bush sebaik saja beliau tewas!
Jika calon pemimpin sendiri tidak mampu bersikap matang dan mengakui proses demokrasi yang dianuti, apatah lagi para penyokong di bawah! Pemimpin pun sudah mengamalkan budaya kencing berdiri, apakah kita mahu mengharapkan rakyat dan penyokong di bawah akan kencing duduk?
Sesuatu wajib dilakukan oleh YAB Perdana Menteri bagi memimpin dan memperbetulkan semula amalan demokrasi di negara ini agar tidak membiarkan negara ini meniru bulat-bulat demokrasi ala Amerika. Ia tidak mungkin sesuai untuk negara ini. Kembalilah mengamalkan demokrasi gaya Malaysia yang lebih sesuai dan praktikal.
Allahyarham Tun Razak mengamalkan "budaya berunding dalam gelap, memutus dalam terang". Itulah yang dilakukannya selepas PRU1969 hingga membawa kepada penyelesaian secara holistik yang merangkumi penyelesaian masalah politik, ekonomi dan sosio-masyarakat.
Setelah dicipta formula dan model yang begitu terangkum@inklusif barulah diserahkan kepada rakyat untuk diuji samada rakyat menerima atau tidak model yang telah dirundingkan di dalam gelap bersama seluruh pemimpin-pemimpin kaum, masyarakat, industri dan pelbagai segmen pemimpin yang mewakili pelbagai komuniti yang berkepentingan.
Hasilnya pada PRU1974 rakyat telah memberi mandat sebagsi menunjukkan mereka menerima dan bersetuju dengan apa yang telah dirangka oleh Allahyarham Tun Razak.
BN/Dacing parti yang telah ditransformasi dari Perikatan/Kapal layar telah diberi mandat secara mutlak oleh rakyat untuk melaksanakan segala proses transformasi yang melibatkan prinsip, dasar dan perkaksanaan yang bersifat affirmatif, pragmatik dan dinamik yang telah dirangka oleh Kerajaan Barisan Nasional Baru pimpinan Razak.
Sekarang DS Najib masih berpeluang untuk memperbetulkan seluruh keadaan. Tetapi formula dan modelnya harus benar-benar terangkum mewakili seluruh dan segenap aspirasi rakyat.
Persoalannya adalah political will. Sejauh mana keberanian untuk melakukannya?
Diharapkan, barisan kabinet yang bakal diumumkan minggu hadapan adalah permulaan kepada mesej "national Reconciliation" yang dimaksudkan.
Pandangan saya, dalam keadaan ini beberapa perubahan/transformasi besar harus dilakukan UMNO segera. Antara yg utama:
ReplyDelete1) Anjakan paksi perjuangan UMNO drpd Melayu kepada Islam, tanpa meminggirkan Melayu sebagai bangsa teras Islam di negara ini. Harus bermula dengan penubuhan Majlis Syura UMNO yang memandu perjalanan parti. Perjuangan mempertahankan Islam dan Perlembagaan diperteguhkan pada peringkat ini
2) Pembukaan keahlian penuh UMNO kepada Cina Muslim, India Muslim, dan Bumiputera Muslim lain seperti Siam, Orang Asli, serta suku2 di Sabah & Sarawak, berbanding sekadar ahli bergabung kini. Sayap khusus untuk setiap kelompok ini diwujudkan demi memperjuangkan hak masing-masing. Parti-parti Bumiputera di Sabah & Sarawak dijemput bergabung dalam satu Gagasan Mega ini
3) UMNO harus menjuarai isu hudud dan negara Islam, berbanding PAS yang semakin tenggelam. Pelaksanaan secara hemah dan tertib amat penting, mengambil kira kewujudan masyarakat non-Muslim. Ini juga mendekatkan penyatuan UMNO-PAS.
4) Berdasarkan perubahan 1, 2 dan 3 di atas, Cadangan penukaran nama asal UMNO kepada United Muslim & Native Organisation/ Pertubuhan Muslim & Bumiputera Bersatu
5) Imbangan perubahan kepada parti komponen BN yang lain. Dengan UMNO kekal sebagai teras, parti lain harus berusaha kuat memahamkan kaum diwakili masing-masing supaya menerima realiti dan kemahuan masyarakat majoriti tanpa hak minoriti ini diambil
6) Setelah pihak minoriti akur, usaha dakwah kepada mereka harus digiatkan dan mereka diajak menyertai pihak majoriti dengan menerima Islam. Penyusunan ekonomi dan lain-lain sesama masyarakat Islam adalah lebih mudah.
7) Pergi lebih jauh dr itu, keadaan ini akan menjadi teras kekuatan baru di peringkat global yg memungkinkan keupayaan kita utk memecahkan penguasaan negara2 maju dengan adunan harmoni masyarakat berbilang kaum ini
Persoalannya beranikah UMNO melakukan perubahan ini?