Sejak merdeka, UMNO dan pemimpin melayu adalah pemimpin kepada seluruh bangsa di Malaysia. Semua bangsa menghormati dan menerima pemimpin melayu sebagai pemimpin mereka.
Inilah rahsia kejayaan Barisan Nasional dan kepimpinannya di negara kita hingga kekal berkuasa sehingga kini. Semua kaum memberi kepercayaan dan mandat kepada UMNO sebagai teras kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin melayu melalui Barisan Nasional.
Jika kepimpinan melayu melalui UMNO itu kuat, maka bangsa melayu akan dihormati oleh kaum lain, khususnya cina dan India. Kuasa melayu diperkuatkan lagi apabila UMNO dikembangkan ke Sabah yang turut menerima keanggotaan bumiputera Sabah sebagai ahli. Melayu/ bumiputera di Sarawak pula terus kekal sebagai kerajaan yang diterima oleh seluruh rakyat Sarawak melalui parti-parti yang mewakili etnik bumiputera masing-masing.
Tetapi, Kekuatan dan penghormatan lain-lain kaum terhadap kepimpinan melayu/ bumiputera mula terlerai sejak PRU2008.
Kekuatan melayu/bumiputera itu adalah umpama kuasa graviti pada sesuatu magnet. Kapasiti (K/Watt@ megawatt) kuasa graviti magnet melayu/bumiputera ini bergantung kepada perpaduan melayu/bumiputera. Jika perpaduan mereka kuat dan padu, maka kuatlah kapasiti atau kuasa tarikan magnet tersebut. Lemah dan berpecah kekuatan melayu/bumiputera maka kuranglah kapasiti atau kuasa tarikan magnet melayu/bumiputera.
Apabila kapasiti atau kuasa tarikan magnet ini berkurangan, maka semakin kuranglah kapasiti atau kemampuan kepimpinan melayu untuk menarik sokongan kaum-kaum lain. Kaum lain juga akan beransur tidak lagi menghormati kepimpinan melayu. Hati mereka sudah "kurang lekat" dengan kepimpinan melayu/bumiputera.
Kepimpinan melayu UMNO tidak boleh semata-mata mempersalahkan orang-orang melayu kerana bertindak mencari haluan perjuangn lain dan meninggalkan UMNO.
Sebab-musababnya harus dikaji kerana bukan mereka meninggalkan perjuangan melayu melalui UMNO dengan sengaja tanpa sebab. Bukan juga kerana mereka sudah tidak mahu mengaku melayu atau mereka sudah hilang jati diri dan naluri sebagai seorang melayu.
Orang melayu yang meninggalkan perjuangan melayu melalui UMNO tidak boleh dipersalahkan jika UMNO masih berhasrat untuk berkuasa atau kembali diterima oleh hampir seluruh bangsa melayu. Mereja bukan bergantung hidup kepada UMNO, apatah lagi dalam dunia yang sudah cukup serba-serbi ini.
Jika tidak kaya pun, orang melayu sebahagian besarnya sudah mempunyai kemampuan dalam memenuhi keperluas asas diri, keluarga dan masa depan generasi mereka. Pendidikan dan pengetahuan yang diberi kepada anak dan generasi mereka sudah lebih dari mencukupi untuk jaminan hidup masa depan mereka secara individu.
Hakikatnya, orang melayu hari ini tidak perlu bergantung hidup samada kepada parti politik samada UMNO, PAS mahupun PKR untuk survival peribadi, keluarga dan generasi masing-masing.
Tanggungjawab sebenar untuk menjaga kedaulatan, maruah, kuasa dan lain-lain agenda besar bangsa melayu bukan terletak kepada orang melayu secara individu, tetapi sebaliknya tertanggung di atas platform batu jemala wadah@jemaah@parti atau lebih tepat lagi pemimpin dan kepimpinan yang mengaku dan telah bersumpah-setia untuk memegang dan menjaga tanggungjawab dan amanah dalam membela agama, bangsa dan negara mereka.
Jika pemimpin dan kepimpinan UMNO yang selama ini menawarkan diri sendiri untuk menjaga kedaulatan bangsa mereka, maka merekalah yang sepatutnya berkewajiban untuk melunaskan segala amanah dan tanggungjawab yang sewajibnya selaku pemimpin UMNO yang mewakili bangsa melayu.
Orang-orang melayu sebagai individu memberikan mandat kepada UMNO dan kepimpinannya di atas rasa percaya dan yakin bahawa UMNO dan kepimpinannya boleh diharapkan untuk melunaskan segala amanah dan tanggungjawab ini.
DAN, selama ini kekuatan seluruh bangsa melayu berdiri teguh di belakang UMNO "secara semula jadi" kerana apa yang ada di dalam roh, jiwa dan jati diri mereka sebagai bangsa melayu, itulah yang ada dan diperjuangkan oleh UMNO dan kepimpinannya. Dalam erti kata lain, "Aspirasi bangsa melayu berpadanan (matching) dengan perjuangan UMNO dan kepimpinannya". Bagaimana "prototype" begitulah "produknya".
Selama mana roh, jiwa dan jati diri semulajadi sebagai bangsa melayu ini berpadanan dengan roh, jiwa dan perjuangan UMNO, selama itulah bangsa melayu akan percaya dan yakin terhadap UMNO secara semula jadi juga.
Jika di antara dua entiti ini sudah tidak selari atau sepadan lagi, maka akan bermulalah konflik atau krisis kepercayaan dan keyakinan bangsa melayu terhadap UMNO dan kepimpinanya.
Semakin besar "ketidaksepadanan" naluri bangsa melayu dengan wadah atau platform perjuangannya yang bernama UMNO, maka akan semakin jauhlah bangsa melayu dari tubuh UMNO itu sendiri.
Apabila hati sudah berjauhan, maka mata pun mula melihat pelbagai alternatif lain yang dirasakan mampu mengisi naluri dan jiwa yang sudah kosong.
Apabila bangsa melayu merasakan UMNO dan kepimpinannya tidak lagi prihatin dan mengabaikan naluri, roh dan aspirasi mereka sebagai bangsa melayu, tidak mengejutkan jika bangsa melayu kini berpecah membawa haluan masing-masing menurut kepercayaan dan keyakinan yang terbit di hati dan pemikiran mereka.
Dengan hujah dan analogi ini, wajarkah UMNO hari ini menyalahkan bangsa melayu dengan pelbagai tuduhan dan tanggapan yang salah? Wajarkah UMNO "bersungut" mengatakan orang melayu sudah lupa asal usul, tidak mengenang budi atau pun tidak berterimakasih kepada UMNO yang sudah banyak berjasa?
Wajarkah seluruh bangsa melayu saja yang harus diperingatkan supaya insaf dan sedar akan asal usul serta betapa pentingnya perpaduan demi menjamin kesinambungan bangsa, sedangkan UMNO dan kepimpinannya terus membawa UMNO dan perjuangannya tersisih jauh dari naluri, roh dan jati diri semula jadi bangsa melayu?
Naluri, roh dan jati diri bangsa melayu begitu sensitif dengan apa saja yang berhubungkait agama, bangsa dan tanah airnya. Walaupun melayu itu sedang minum arak, tetapi apabila ada orang lain cuba mencemar agama, bangsa dan tanah airnya, mereka akan bangkit. Itulah sifat semulajadi orang melayu.
Harus diingat naluri, roh dan jati diri perjuangan bangsa melayu sudah dizahirkan secara bertulis di dalam perlembagaan parti mahupun di dalam perlembagaan persekutuan.
Tanya UMNO dan para pemimpinnya hari ini, sejauh mana kamu telah berpegang dengan apa yang telah dizahirkan di dalam perlembagaan yang mana kamu telah pun diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya?
Jika persoalan ini dijadikan kriteria utama untuk pemilihan parti yang bakal berlangsung tahun ini, mungkin tidak sampai 10% di kalangan barisan kepimpinan yang ada hari ini layak untuk diberi kepercayaan dan amanah untuk memadankan semula naluri bangsa melayu dengan batang tubuh UMNO, seterusnya memulihkan kembali sokongan bangsa melayu terhadap UMNO.
Untuk mengembalikan penghormatan kaum cina dan India terhadap kepimpinan bangsa melayu jauh sekali la..
No comments:
Post a Comment