Tuesday, May 7, 2013

PM GAGAL LENYAPKAN PERSEPSI NEGATIF RAKYAT!!

Kegagalan untuk mengembalikan kekuatan BN melalui pelan peralihan kuasa membuktikan kepada kita bahawa peralihan kuasa bukanlah formula yang berkesan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Ia hanyalah sebahagian dari pakej pemulihan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Saya masih yakin bahawa masalah terbesar yang dihadapi oleh BN ialah masalah persepsi rakyat yang gagal dimenangi. BN gagal menawan persepsi rakyat. BN gagal "tukar" dari persepsi negatif kepada persepsi positif.

Kegagalan menukar persepsi rakyat ini adalah berpunca dari kesilapan mengesan punca penyakit dan kesilapan mengenakan kaedah merawat penyakit.

Penyakit utama bukan penyakit rasuah tetapi penyakit persepsi rakyat yang sudah terbentuk pemimpin kerajaan rasuah.

Penyakit utama bukan penyakit pemimpin dan kerajaan gagal memberi khidmat terbaik kepada rakyat, tetapi penyakit persepsi negatif rakyat yang sudah beranggapan pemimpin UMNO mahukan kuasa hanya kerana mahu memperkayakan diri, kroni dan keluarga.

Penyakit utama bukan penyakit pemimpin UMNO zalim dan rakus serta menindas rakyat, tetapi "penyakit persepsi" yang sudah tertanam dibenak rakyat bahawa pemimpin UMNO itu zalim, rakus dan menindas.

Semua penyakit ini tumbuh dan berkembang subur adalah hasil dari kejayaan pembangkang menawan persepsi rakyat sehingga menjadi negatif dan pesimis terhadap UMNO dan para pemimpinnya. Apabila persepsi rakyat sudah dapat ditawan pembangkang, maka apa saja yang dilakukan oleh UMNO dan para pemimpinnya akan dipandang serong walaupun perkara yang dilakukan itu sangat murni dan baik untuk rakyat.

Penyakit persepsi negatif ini lebih cepat merebak apabila pemimpin UMNO dan kerajaan membiarkannya tumbuh subur tanpa rawatan. Jenis penyakit sebenar lain, yang dirawat lain.

Penyakit persepsi rasuah cuba dirawat dengan menjadikan program membasmi rasuah sebagai sebahagian dari NKRA. Kerajaan hanya menunjukkan komitmen untuk membasmi rasuah melalui NKRA. 

Mana mungkin persepsi negatif pemimpin UMNO rasuah boleh terhapus dalam pemikiran rakyat. 

Pertama, NKRA itu digariskan sendiri oleh pihak yang menjadi subjek perbincangan di kalangan rakyat siang dan malam. Itu persepsi yang wujud. Soal benar atau tidak amalan itu dilakukan bukan persoalan bagi mereka kerana persepsi mereja sudah ditawan.

Ke dua pula, bermula dari NKRA dilaksanakan hinggalah ke hari ini, pemimpin khususnya Perdana Menteri tidak menampakkan ketegasannya dalam membasmi rasuah bagi melenyapkan persepsi negatif pemimpin UMNO rasuah. PM sepatutnya memperlihatkan sikap tegasnya tanpa kompromi dalam isu rasuah. 

Sehingga hari ini, hanya Khir Toyo saja yang baru dijatuhkan hukuman bersalah dalam kes rasuah. Tindakan yang dilakukan pun lewat dan terlalu perlahan sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dan andaian tambahan dipemikiran rakyat bahawa wujud usaha pihak UMNO untuk menyelamatkan Khir Toyo.

Di sini boleh dilihat, PM gagal memanafaatkan peluang untuk mematikan persepsi buruk rakyat berkaitan amalan rasuah pemimpin UMNO. PM hanya membiarkan pihak berwajib menjalankan tanggungjawabnya untuk melakukan siasatan, mendakwa dan seterusnya menjatuhkan hukuman.

Tindakan PM membiarkan kepada pihak berwajib mengendalikan kes ini memang benar. Tetapi sayangnya persepsi rakyat tidak begitu, kerana persepsi rakyat beranggapan kerajaan tidak tegas menangani isu rasuah. Apatah lagi dengan kelicikan pembangkang yang turut mewujudkan persepsi negatif, "SPRM agen kerajaan yang digunakan untuk melindungi kesalahan pemimpin" turut ditanam di pemikiran rakyat.

Dari segi pendekatan PM, tidak ada salahnya, tetapi PM harus sedar bahawa beliau dan kerajaan sedang berhadapan dengan isu rasuah yang sudah dijadikan isu politik dan sudah menjadi suatu persepsi yang dianggap sebagai benar.

Kalau saya, isu yang boleh memberi natijah politik harus dijawab secara politik. Bukan dijawab secara lurus bendul dengan menyerahkannya bulat-bulat kepada DPRM untuk menjalankan siasatan. Ia tidak akan memberi impak politik yang baik kepada kerajaan.

Rakyat mahu melihat bukti ketegasan kerajaan khususnya Perdana Menteri!

PM gagal menunjukkan imej "tidak bertolak ansur dengan rasuah" kerana belum pernah terkeluar dari mulutnya suara ketegasan apabila muncul isu yang membabitkan pemimpin atau yang berkaitan dengan pemimpin UMNO.

Dalam kes NFC yang melibatkan suami Sharizat, sekali lagi PM gagal memanafaatkan situasi ini untuk memperlihatkan ketegasannya dalam menentang rasuah dan penyelewengan.

Isu ini sudah menjadi isu politik tetapi kerajaan menjawab soal procedure dan entiti perniagaan dan ia tidak kena-mengena dengan Sharizat kerana yang berniaga adalah si suami.

Walaupun dari segi procedure dan business ethic memang tidak salah, tetapi rakyat bukan fikir itu semua. Persepsi mereka tetap berfikir ada unsur perlindungan dari kerajaan untuk menutup kes ini apabila PM tidak memperlihatkan ketegasannya untuk tidak berkompromi dengan sebarang unsur rasuah.

Kalau saya Perdana Menteri, saya beranggapan imej buruk kerajaan dan persepsi negatif yang berlegar di pemikiran rakyat itulah yang paling penting untuk dilenyapkan daripada menjaga hati Sharizat Jalil seorang. Soal business entity yang tidak kena mengena dengan Sharizat walaupun benar, tidak penting.

Apa salahnya dikorbankan seorang Sharizat demi untuk melenyapkan jutaan persepsi rakyat yang skeptikal dengan imej kerajaan? Kenapa PM lebih tumpukan kepada isu dalaman dan tidak mahu wanita UMNO bergolak? Akhirnya Sharizat meletak jawatan juga, tetapi ia tidak membantu dalam melonjakan imej tegas kerajaan untuk tidak bertolak ansur dengan rasuah kerana ia sudah terlewat. Persepsi dan syak wasangka terhadap ketegasan kerajaan dalam membasmi rasuah terus dipertikaikan.

Setakat ini saja untuk kali ini. Nanti panjang sangat. Artikel akan datang akan masuk topik salah kaedah rawatan penyakit. 

Wajarkah penyakit persepsi negatif rakyat yang terhambat dengan persepsi kerajaan rasuah, menindas, mengabaikan khidmat, imej sombong dll persepsi dirawat dengan pemberian BRIM, BLIM, PRIMA dan lain-lain benafaat untuk rakyat? 

Bolehkah persepsi negatif rakyat dalam isu lain diselesaikan dengan memberi benda lain? Wajarkah pesakit yang timbul benci pada kerajaan kerana kerajaan tidak sediakan hospital, dilenyapkan kebenciannya dengan bantuan BRIM?

4 comments:

  1. Kudos sir! U manage to let out the unspoken truth.

    ReplyDelete
  2. salam tuan.. minta copy nak paste dalam fb..

    ReplyDelete
  3. artikel yg patut direnungkan, teruskan sambungannya..

    ReplyDelete
  4. Kali ni den setuju cakap kau Jang ....

    ReplyDelete