Thursday, January 23, 2014

BAYANGAN ANARKI SEMAKIN BERSINAR...

Antara manifestasi kegagalan BN berpegang kepada Manifesto Aku Janji PRU13.

PM dan isteri diboo, kritikan rasional terhadap pemimpin bertukar kepada sendaloka dan mainan, penganut kristian semakin lantang bersuara menuntut hak adalah antara tanda-tanda besar atau manifestasi yang "terpancar" dari rasa hilang hormat rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan yang memerintah.

Di dalam masa yang sama situasi dan persepsi rakyat yang sebegini juga wujud terhadap kepimpinan barisan pembangkang.

Kredibiliti, kekeramatan dan perasaan hormat serta pengharapan rakyat terhadap kedua-dua belah pihak, baik terhadap pemimpin kerajaan mahupun pemimpin pihak pembangkang, semakin luput.

Manifestasi dari situasi ini amat merbahaya dan boleh mengancam kedudukan sesebuah negara.

Banyak negara telah dan sedang hilang kedaulatannya dan terjerumus ke lembah anarki dan kemusnahan disebabkan rakyat tidak lagi dapat mempercayai dan mengharapkan kepada mana-mana pihak untuk memimpin mereka dan negara.

Trend dan kecenderungan yang mirip kepada senario ini sudah menjengah ambang pintu negara Malaysia yang berdaulat.

Jika diamat-amati dengan pandangan mata hati yang benar, realiti yang sedang dan telah berlaku di banyak negara hari ini berkemungkinan besar akan berlaku juga di negara ini.

Jika Idris Jala pernah meramalkan negara bakal bankrap pada 2019 jika kerajaan terus mengamalkan sistem subsidi, maka tidak salah rasanya kalau saya meramalkan bahwa pentadbiran negara ini akan hilang kawalan dalam mengurus hal-ehwal negara dalam tempoh tidak sampai 2 tahun dari sekarang, jika dasar, corak pentadbiran dan kepimpinan yang sedang digayakan oleh DS Najib hari ini terus berlangsung bak "business as usual".

Rakyat mungkin boleh menunggu hingga PRU14 akan datang untuk bertindak menukar kerajaan, jika majoriti mereka melihat pimpinan alternatif yang ada, "meyakinkan dan boleh dipercayai". 

Tetapi, hari ini majoriti rakyat juga tidak dapat meletakkan kepercayaan terhadap barisan kepimpinan pihak pembangkang. Jika BN dirasa oleh rakyat telalu masin, barisan pembangkang pula dirasakan terlalu tawar hingga langsung tidak bergaram.

Segala kegagalan yang sedang dihadapi oleh BN hari ini seperti mengurus keamanan dan keharmonian antara agama, kenaikan kos hidup yang sedang menghimpit golongan berpendapatan rendah hingga golongan sederhana dan isu-isu keselamatan lain, akan terus berlangsung dan mungkin lebih dahsyat lagi jika negara ini ditadbir oleh barisan pembangkang yang ada hari ini.

Dilema rakyat hari ini ialah, jika rakyat terus mengekalkan kepimpinan yang ada hari ini, rakyat harus menerima apa saja kesan yang bakal terjadi akibat dari kegagalan kerajaan hari ini mengurus negara dan menyelesakan serta menyelesaikan masalah rakyat.

Sebaliknya pula, jika rakyat bertindak menukar kerajaan yang ada kepada barisan kepimpinan pembangkang yang ada hari ini pada PRU14 akan datang, maka rakyat bakal memperjudikan nasib dan masa depan mereka dan negara keseluruhannya. Untung sabut timbul. Untung batu tenggelam.

Mengulangi formula transisi dari Pak Lah kepada Najib, tidak mungkin lagi boleh menjadi pilihan.  Realitinya, UMNO kini sedang menghadapi bahaya "muflis kepimpinan yang boleh diyakini". Tiada lagi kalangan pemimpin kanan UMNO yang dilihat boleh menjadi galang ganti atau pemikat yang mampu menarik keyakinan majoriti rakyat terhadap UMNO.

Jika kita lihat pula kepada muka-muka barisan pemimpin pembangkang, juga tiada bezanya dengan UMNO dan BN. 

Pendek kata ke dua-dua pihak sudah sedang menghadapi krisis dan "bahaya muflis pemimpin dan kepimpinan" yang boleh diharapkan oleh majoriti rakyat untuk mengeluarkan negara ini dari krisis dan kemelut yang sedang dan bakal dihadapi.

Rupabentuk penyelesaian terhadap krisis kenaikan kos hidup yang mendadak dan polemik kalimah Allah hingga kini belum dilihat lagi formula penyelesaiannya. 2 isu ini bakal mengundang musibah buat negara dan rakyat jika tiada formula yang berunsur "pertimbangan tegas" dan berkesan dari pemimpin kerajaan sebagai jalan keluar dari kemelut yang berlaku.

2 isu ini saja sudah memadai untuk membuatkan negara ini berhadapan dengan anarki.

Ke dua-dua pilihan parti yang ada sudah terbukti tidak mampu menyelesaikan 2 isu besar ini kerana mereka juga adalah faktor penyumbang yang membawa kepada berlarutannya isu ini.

Ke dua-dua pihak lebih cenderung menggunakan isu ini untuk tujuan politik daripada menyelesaikannya demi negara dan keharmonian rakyat.

Mungkin jalan penyelesaiannya hanya akan berlaku sesudah berlaku anarki dan pertarungan yang melibatkan nyawa dan kelumpuhan sistem pentadbiran seperti yang sering berlaku di banyak negara.

Jika pemimpin tidak tahu melakukan inisiatif, kita tunggu saja alternatif dan inisiatif hukuman dari Allah..

3 comments:

  1. SATU ISU BESAR YANG DIHADAPI OLEH KERJAAN BN NAJIB IALAH TERKIKISNYA KEPERCAYAAN RAKYAT KEPADA SEBAHAGIAN BESAR ANGGOTA KABINET. MAJORITI MENTERI YANG TAK EFFECTIVE, YANG TIDAK INNOVATIVE, YANG TIDAK 'DOWN TO EARTH" BILA BERTEMU DENGAN RAKYAT DENGAN IMEJ VVIP YANG KETERLALUAN YANG MEMBUATKAN RAKYAT MENYAMPAH. KETIDAKBOLEHAN MEREKA MENYELESAIKAN MASAALAH RAKYAT DALAM TEMPOH YANG CEPAT MEMBUATKAN RAKYAT LEBIH MENYAMPAH DENGAN PAK-PAK MENTERI INI.

    ReplyDelete
  2. Kerajaan Najib FAIL dlm masalah Islam ...kalimah tauhid, masalah kaum pelampau termasuk pelampau Islam seperti syiah dan pelampau cina dan kristian, kenaikan harga barang, penyalahguna duit rakyat dan sebagainya.

    Setakat ini apa yang Najib buat yang benar2 betul untuk semua rakyat? TAK ADA kecuali kes lahad datu....itu pon LAMBAT BERTINDAK.

    ReplyDelete