Kesungguhan kerajaan untuk mengembalikan kredibiliti sistem kehakiman telah dipertunjukkan satu per satu kepada rakyat.
Dimulakan dengan pemberian ‘ex-gratia’ kepada Tun Salleh Abbas dan rakan-rakan. Diikuti dengan cadangan penubuhan suruhanjaya kehakiman dalam soal perlantikan hakim. Disusuli pula, yang terbaru, keputusan mendedahkan kepada umum hasil siasatan Suruhanjaya Diraja berkenaan kes video klip VK Linggam, seterusnya arahan serta-merta kepada Peguam Negara untuk menyiasat 6 individu yang disebut dalam kertas siasatan.
Isu ini menarik perhatian semua pihak termasuk mereka yang tidak mempunyai asas pengetahuan undang-undang seperti saya. Rakyat akan bertambah keliru jika lebih ramai rakyat yang tidak faham undang-undang seperti saya memberikan pandangan mengikut persepsi dan kejahilan masing-masing. Apatah lagi jika tulisan ini dijadikan rujukan di dada-dada akhbar dan posting yang tidak diketahui kredibiliti, kefahaman dan kelayakan si penulis tersebut dalam melontarkan pandangan..
Di kalangan pengamal undang-undang pun saya kira masih ramai yang keliru, apatah lagi berjuta-juta pendapat awam yang lain.
Budaya ‘keterbukaan’ ini menjadi luar biasa seolah-olah telah wujud fenomena baru di kalangan rakyat untuk mengetahui setiap dasar dan perlaksanaan kerajaan. Waima, hal ehwal pembelian ‘spanar’ dan ‘calculator’ pun telah menjadi topic perdebatan dan perbincangan. Begitulah ‘standard piawaian’ sebuah kerajaan yang cuba digambarkan pada pandangan umum ketika ini. Bermakna ‘tiada lagi rahsia antara kita'.
Badan pentadbiran tertinggi i.e kuasa eksekutif, kehakiman dan Raja Berpelembagaan semuanya telah menjadi bahan perbincangan, pertikaian dan perdebatan umum, Seolah-olah ia sesuatu benda baru. Rakyat dan pemimpin semua parti yang ada seperti baru dipulihkan oleh dukun, setelah lebih 50 tahun mengalami penyakit hilang ingatan.
Sebaik saja pulih penyakit hilang ingatan, mereka bertanya sesama sendiri ‘kita kat negeri mana ni?’, ‘apa yang berlaku ni’?, ‘ketuanan melayu ni menatang apa?’, ‘badan kehakiman tu apa? ‘hak dan kedudukan raja-raja melayu, DEB, kesamarataan, keadilanlah,..ape bende semua ni? cakap itu perkauman, buat ini perkauman…hai penin-penin!
Apalah agaknya nanti hasil rumusan dari semua perbincangan dan perdebatan ini? Apakah akan ada penyelesaian yang bakal menjadi satu titik pertemuan yang boleh memuaskan hati 20 juta rakyat celik ini?
Syed Pelik bin Syed Ajaib, setelah lebih 50 tahun institusi Raja berpelembagaan, kehakiman dan eksekutif telah menjadi kerangka utama struktur pentadbiran negara, baru kini ia dipertikai dan dipersoalkan satu per satu samada dari segi istilah, tindakan mahu pun perlaksanaannya.
Lebih Raja Pelik bin Raja Ajaib lagi, perkara yang dijadikan bahan pertikaian itu telah lama berlalu, sewaktu kepimpinan kerajaan ini dipimpin oleh orang lain. Pindaan-pindaan perlembagaan yang berhubung kait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, kehakiman dan badan eksekutif yang telah berbelas dan berpuluh tahun dipersetujui oleh 2/3 atau majoriti ahli Dewan Rakyat Negara, telah dipertikaikan kembali.
Dipertikaikan bukan oleh rakyat. Rakyat sudah lupa semua itu tetapi dipertikaikan oleh sebahagian dari orang yang turut sama bersetuju dalam Dewan Rakyat dan Negara ketika itu.
Sebahagian yang belum menjadi Ahli Parlimen ketika itu, tetapi telah menjadi Ahli parlimen dan ada yang menjadi menteri sekarang ini, turut sama ke hulu dan ke hilir berkempen meyakinkan rakyat betapa perlunya pindaan itu dibuat atas alasan itu dan ini.
Kenapa pertanggungjawaban dan amanah mereka terhadap rakyat ketika itu dan ketika ini berbeza? Bolehkah pemimpin-pemimpin seperti ini diberikan amanah dan kepercayaan untuk disandarkan pergantungan dan harapan? Tidak mustahil mereka akan melakukannya lagi apabila Paklah sudah tidak berkuasa nanti. Di kala itu, hukum karma akan berlaku pula kepada Paklah.
Apakah teori yang digunakan? Saya kira, mungkin kena buat buku bertajuk “Management Theory of Hereafter”
Teori ini lebih terkini dari Teori Machiavelli, The End Justify the Means. Teori pengurusan ini adalah satu teori yang diamalkan dengan cara mencungkil segala kesalahan dan kelemahan pentadbiran terdahulu 'ala mahkamah Ilahi' seperti di Padang Mahsyar, di mana setiap apa yang kita lakukan sebelumnya, iaitu semasa di dunia akan dihakimi satu persatu di depan khalayak.
Dengan teori ini, rakyat akan lupa segala kesalahan dan kepincangan pentadbiran yang sedang kita pimpin. Jika pentadbiran hari ini dapat membuktikan pentadbiran terdahulu sebenarnya yang lebih buruk, maka pentadbiran hari ini dengan sendirinya akan dianggap lebih baik, lebih telus dan bertanggungjawab dari pentadbiran terdahulu. Cara ini lebih mudah dan cepat. Memadai dengan hanya mengambil kes-kes tertentu kepimpinan terdahulu untuk dikambing hitamkan.
Hakikatnya, institusi kehakiman hari ini yang perlu bebas dari pengaruh campurtangan pentadbiran sekarang. Bukan pentadbiran terdahulu yang harus diperbetulkan kerana pentadbiran dahulu sudah menjadi nostalgia dan telah membentuk legasinya sendiri. Kenapa harus digali dan dikorek semula 'jenazah legasi lalu' yang telah bertahun-tahun dikebumikan dari ingatan rakyat?
Apa yang cuba di 'postmortem'? Apakah dengan membuat 'postmortem' terhadap 'jenazah legasi lalu' itu akan terus menjadikan batang tubuh pentadbiran hari ini bebas dari segala pertanggungjawaban terhadap rakyat? Apakah segala kelemahan dan kesilapan pentadbiran hari ini boleh dipindahkan begitu saja kepada 'jenazah legasi lalu' atas alasan kesilapan dan kelemahan itu adalah warisan peninggalan mereka?
Sungguh kronik kekeliruan yang timbul mutakhir ini. Mungkin kerana telah terlalu lama mengidap penyakit hilang ingatan!
Setelah penyakit hilang ingatan dipulihkan semula dek tok dukun, rawatan seterusnya ialah menjalani terapi pemulihan dan pembetulan terhadap persepsi salah yang selama ini menghimpit pemimpin dan rakyat dalam mengolah dan menilai sesuatu isu dan permasalahan. Mungkin agak mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Jika tidak dilakukan rawatan pemulihan persepsi ini, segala dasar keterbukaan atau apa juga dasar dan perlaksanaan pentadbiran negara akan sentiasa dihakimi melalui persepsi yang salah tanpa penghujung.
Akibat dari salah persepsi, maka semua percaturan akan menjadi serba tidak kena dan tidak mungkin dijumpai satu titik pertemuan untuk dipersetujui secara majoriti. Perdebatan, perbincangan dan pertikaian akan berterusan tanpa penyelesaian..Bak kata pepatah Negori Sembilan – Habis waktu sembahyang, dek panjang eh obang (azan)
Selamat bersembahyang, cukuplah azan yang pendek-pendek saja.Jangan kerana terlalu panjang azan, sampai terluput pulak waktu sembahyang.
Salam.
I hereby make my entrance to the hottest blog in town ...
ReplyDelete